Dengan populasinya kira-kira 450,000 orang, Bratislava mungkin salah sebuah bandar paling besar di Slovakia dan terletak berhampiran Austria. Bahasa yang digunakan pula sama dengan bahasa digunakan penduduk Republik Czech.

Tiada yang menarik. Kedatangan saya ke bandar itu juga bukanlah dirancang seperti pertemuan saya dengan Lily. Walaupun tidak lama di Bratislava iaitu kira-kira dua hari, saya terus meluangkan masa bersiar-siar dan memikirkan destinasi seterusnya kerana segala perancangan telah berubah serta tidak tahu apa akan berlaku nanti. Keadaan itu sama seperti kehidupan yang perlu saya tempuhi.

Selepas pelbagai peristiwa berlaku di Hungary dan kini berada di Bratislava, saya nekad melakukan sesuatu supaya lebih banyak tempat, pengalaman dan pelajaran dapat diperoleh. Yang penting, masa tidak berlalu begitu sahaja.

Walau bagaimanapun, ketika berada di sini saya hanya berpeluang melawat beberapa tempat sahaja, antaranya Istana Bratislava, Óld Town, bangunan teater Slovak dan tempat lain. Mungkin menyeronokkan jika saya seorang peminat seni bina. Selebihnya terasa sama seperti membuang masa!.

Oleh itu, saya membuat keputusan untuk ke Split, Croatia dengan meng­gunakan bas. Perjalanan memakan masa kira-kira 12 jam. Satu perkara saya tidak berpuas hati adalah sikap kebanyakan pekerja di kaunter yang agak biadab dan tidak mesra.

Ada satu ketika, saya ditengking semasa bertanyakan pelbagai soalan untuk mengetahui tambang dan destinasi ke Viena atau Wien dalam bahasa mereka.

“This is not information counter. Go there!,” kata pekerja terbabit dengan kasar dan biadab sambil mengetuk cermin di kaunter tersebut.

Saya terkejut dengan cara dan layanan yang diberikan. Selain itu, satu lagi perkara yang saya hadapi adalah sikap prejudis dan rasis daripada mereka. Mungkin pada mereka renungan mata merupakan satu ancaman, lebih-lebih lagi ketika berada di bar dan pengunjung tersebut berkulit hitam atau bersawo matang.

Cukuplah dalam tempoh dua hari ini, saya mengetahui setiap sudut dan sisi ‘luar dan dalam’ Bratislava. Kesimpulannya, inilah ‘harga’ sebenar sebuah perjalanan yang tidak boleh dijangka.

Akhirnya, saya meninggalkan Bratislava sama seperti saya tinggalkan Lily untuk ke destinasi seterusnya, iaitu Split, Croatia.