Bayou Lagoon Park Resort merupakan resort gabungan yang berintegrasikan taman air dan kemudahan lain seperti teater 9D, Muzium Magic Art dan Amusement Park di dalam satu kawasan.

Pelancong boleh menginap di resort ini sambil mandi-manda dengan rakan taulan atau bersama keluarga. Resort ini mempunyai sebanyak 532 unit pangsapuri yang terdiri daripada 284 unit bilik studio, 163 unit pangsapuri dua bilik, 83 unit pangsapuri tiga bilik serta empat unit penthouse.

Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn. Bhd., Datuk Marco Seow Chee Han berkata, bilangan dan jenis bilik yang disediakan amat sesuai untuk menghimpunkan peniaga, seminar, perkahwinan serta acara sosial.

“Sekiranya anda ingin ke Bayou Lagoon, jangan lupa menginap di unit pangsapuri menghadap taman tema air yang dibina di antara dua blok pangsapuri kerana pemandangannya sungguh indah,” katanya kepada S2.

Taman air Bayou Lagoon terbuka kepada penginap resort mahupun orang awam. Yuran masuk yang berpatutan dikenakan iaitu RM22 bagi dewasa, RM16 untuk kanak-kanak bawah umur 12 tahun pada hari biasa, hari minggu atau cuti sekolah, tiket dewasa pada harga RM28 dan RM20 untuk kanak-kanak pada cuti umum.

“Gelongsor air yang disediakan di taman air ini sesuai untuk pelbagai peringkat usia sama ada dewasa atau kanak-kanak, tanpa mengira had umur dan anda sekeluarga boleh menikmati keseronokan bersama-sama,” tambahnya.

Teater 9D iaitu teater digital interaktif yang terdapat di taman air tersebut memberikan penonton teater digital nafas baharu dengan kelengkapan laser blasters, selain cermin mata tiga dimensi.

Setiap satu pengalaman menggabungkan gerakan roller-coaster dengan cabaran menembak interaktif. Peserta dapat menikmati pengalaman skrin komputer yang dihasilkan melalui bunyi keliling, pergerakan, bau dan kesan visual 3D.

Menurut Marco, Muzium Seni Silap Mata atau 3D Magic Art Museum disediakan untuk mereka yang menyukai aktiviti bergambar iaitu semestinya menjadi tempat tarikan santai di kawasan seluas 929 meter persegi yang turut menempatkan sejumlah 55 lukisan dinding dengan tema Angkor Wat dan Mesir Purba.

“Aksi yang dilakukan semasa bergambar di muzium ini memberi kelainan, sekali gus mampu memberikan kepuasan kepada keluarga dan rakan yang suka bergambar,” kata beliau.

Bagi peminat yang sukakan cabaran, aktiviti memanah dan memancing udang yang terdapat di sini dapat membina konsentrasi dan kesabaran, selain mandi-manda.

Pengunjung juga boleh menarik busur dengan anak panah yang ada dan mula membidik pada sasaran pada harga RM10 untuk 12 anak panah. Kaki pancing pula boleh mengail udang sebesar tapak tangan. Yuran memancing adalah RM25 satu jam termasuk kemudahan joran dan umpan.

Selain kemudahan seisi keluarga yang disediakan, pihak resort juga mempunyai sebuah pusat konvensyen yang besar, seluas 2,199 meter persegi yang mampu menampung sejumlah 1,800 tetamu.

Pusat konvensyen ini dapat dibahagikan kepada dua buah dewan besar dengan kapasiti maksimum 800 dan 600 orang. Kelebihan itu menjadikan Bayou Lagoon salah satu pilihan ideal untuk mengadakan jamuan gala, persidangan, konsert dan pameran.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri keseronokan di Bayou Lagoon, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan layari laman web www.bayoulagoon.com.my, selain mengikuti perkembangan dan promosi resort dari semasa ke semasa di www.facebook.com/bayoulagoon.