Davao City, adalah daerah yang terletak di kepulauan Mindanao selatan Filipina, amat terkenal dengan gunung berapi, Mount Apo serta beberapa keindahan khazanah alam semula jadi dan air terjun Aliwagwag.

Menariknya tentang daerah ini, mereka menjadikan durian, yang begitu sinonim di Malaysia sebagai tarikan buat pelancong.

Tetapi media Malaysia yang berada di sana selama tiga hari tidak berkesempatan merasai keistimewaan durian Davao kerana berada di luar musim. Yang dijual di pasar raya pula kebanyakannya adalah durian diimport dari Thailand.

Wilayah Davao secara umum­nya merangkumi Davao City, Davao Del Sur, Davao del Norte, Lembah Compostella, Davao Occidental dan Davao Oriental dengan jumlah penduduk lebih enam juta orang.

Tahun lalu, wilayah ini mencatat kadar Pertumbuhan Kasar Domestik Serantau pada 9.4 peratus.

Bandar ini, bukan sahaja bakal memiliki tarikan daripada segi pelancongan bahkan mempunyai peluang pelaburan untuk dite­rokai oleh usahawan di negara ini.

Berdasarkan pemerhatian ka­sar penulis, kesedaran terhadap produk halalnya lebih tinggi iaitu pensijilan halal diberikan mengikut jenis produk dan bukannya kepada syarikat.

Misalnya, jika syarikat A mengeluarkan lima produk, hanya satu sahaja disahkan halal.

Bagi yang bertanya tentang makanan halal pula, terdapat segelintir hotel mengasingkan seksyen makanan halal dan bukan halal bagi memudahkan pelancong beragama Islam.

Untuk ke Davao, secara dasarnya tanpa laluan terus mungkin mengambil masa sehingga 10 jam termasuk transit. Ini kerana dari Kuala Lumpur ke Manila atau Cebu memakan masa perjalanan antara empat hingga lima jam, transit antara dua hingga tiga jam sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Davao yang mengambil masa selama dua jam.

AirAsia Bhd. (AirAsia) merupakan satu-satunya syarikat penerbangan tempatan yang menawarkan laluan terus dari Kuala Lumpur ke Davao mulai 21 Disember 2017 setelah meng­umumkan laluan keempatnya di Filipina, 21 Julai lalu sempena Persidangan Pelaburan Davao 2017 (ICON 2017).

Pelancaran laluan baharu itu dibuat selepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte pada Mei lalu yang memintanya mempertimbangkan laluan ke Davao, iaitu beliau pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Datuk Bandar.

Namun, bercakap tentang Davao pastinya tidak terlepas tentang isu keselamatannya kerana seperti yang diketahui umum, daerah tersebut masih dalam kawalan undang-undang tentera (martial law) sejak 24 Mei lalu.

Bahkan, kawalan tersebut yang sepatutnya berakhir dalam tempoh 60 hari telah dilanjutkan sehingga hujung tahun ini dalam usaha menangani isu keganasan di Mindanao.

Datuk Bandar Davao City, Sara Duterte-Caprio dalam sidang akhbarnya 21 Julai lalu selepas menyampaikan ucap tama pada ICON 2017, bagaimanapun memberi jaminan bahawa kawalan tentera itu berbeza jika diban­dingkan dengan 1972 sebaliknya menyifatkan ia mampu menjadi tarikan kepada pelabur luar.

Bahkan, Sara yang juga anak Presiden Filipina berkata, de­ngan kawalan keselamatan ini juga secara tidak langsung akan menjadikan aktiviti perniagaan dijalankan dalam suasana lebih aman.

“Saya yakin penerbangan secara terus antara Kuala Lumpur dan Davao ini akan membuka le­bih banyak peluang kepada pelabur untuk datang ke wilayah ini.

Apatah lagi, Davao merupakan kampung halaman presiden dan kami amat optimis untuk membina lebih banyak jaringan perniagaan,” katanya.