Namun, masih ramai yang tidak mengambil tahu atau memandang ringan tentang bahaya penyakit ini.

Di negara ini, tekanan darah tinggi menduduki tempat kedua sebagai penyakit paling berisiko mengakibatkan kematian dengan dua pertiga daripada kes-kes sebelum ini masih belum didiagnosis.

Menurut Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH), Prof. Datin Dr. Chia Yook Chin, tekanan darah tinggi dikenali sebagai pembunuh senyap kerana ketiadaan simptom yang ketara.

Katanya, jika dibiarkan tanpa sebarang kawalan, ia boleh membawa kepada lebih banyak penyakit kardiovaskular seperti strok dan kegagalan jantung, yang akhirnya membawa kepada kematian.

“Gaya hidup tidak aktif dan pemakanan yang tidak seimbang adalah dua punca utama penyakit darah tinggi selain faktor seperti sejarah keluarga, pengambilan natrium yang berlebihan, tekanan, ketagihan alkohol dan obesiti.

“Oleh itu, amat penting oleh setiap individu untuk mengetahui tentang punca, simptom serta cara yang betul untuk menguruskan penyakit ini,” katanya dalam sesi meja bulat Omron HealthinUrHands bersama media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Omron, selaku peneraju global dalam teknologi automasi dan produk penjagaan kesihatan di rumah, melancarkan kempen HealthinUrHands bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mencegah dan menguruskan darah tinggi melalui pemantauan tekanan darah di rumah secara konsisten.

Dr. Yook Chin berkata, pemantauan tekanan darah secara berkala di rumah menggunakan alat pemantau tekanan darah, amat disarankan sebagai langkah pertama dalam mengesan ketidakseimbangan dalam pembacaan tekanan darah.

Ini kerana katanya, setiap individu perlu memahami bahawa bacaan tekanan darah boleh berubah mengikut jangka masa tertentu.

Pemantauan bacaan tekanan darah penting sekiranya terdapat sebarang lonjakan dalam bacaan dan ia digunakan sebagai rekod untuk memantau tekanan darah tinggi pesakit secara konsisten, supaya pesakit berjaga-jaga dengan status kesihatan mereka.

Dalam pada itu, Pakar Kardiologi Hospital Gleneangles Kuala Lumpur, Dr. Azani Mohamed Daud berkata, mengawasi tekanan darah di rumah juga akan membantu keberkesanan ubat darah tinggi yang diambil oleh pesakit.

Ini secara tidak langsung membolehkan pesakit dan doktor membuat penyesuaian rawatan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

“Apabila pesakit mengetahui kadar tekanan darah, mereka cenderung untuk mengawasi keadaan diri dengan lebih baik tanpa bergantung kepada ubat semata-mata.

“Sebagai contoh, apabila berlaku lonjakan tekanan darah mereka akan berasa bimbang dan mula menjaga tabiat pemakanan dan melakukan rutin senaman.

“Selain itu, alat pemantau tekanan darah yang digunakan boleh dikongsi bersama ahli-ahli keluarga yang lain. Kita perlu sedar bahawa penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa sebarang simptom, jadi dengan adanya alat tersebut di rumah, seluruh anggota keluarga mempunyai kesedaran untuk memeriksa tekanan darah mereka sekurang-kurangnya setahun sekali seperti yang disyorkan pakar perubatan,” katanya.