Sajian nasi Malaya ini memang popular di negeri Johor semasa era selepas kemerdekaan dahulu, ketika Malaya baharu ditubuhkan.

Selain mengembalikan semula nostalgia silam, niat Mahani Awang memperkenalkan Restoran Nasi Malaya adalah bagi menawarkan sesuatu ringkas dan mudah untuk mereka yang mengejar masa.

Katanya, buat masa ini terdapat tiga pilihan lauk untuk menu nasi Malaya, yang merupakan lauk lazim bagi kebanyakan masyarakat negara ini.

“Konsep nasi Malaya cukup popular di Johor pada sekitar 1950-an selepas Malaya ditubuhkan. Ia diilhamkan daripada cara makan yang ringkas dan segera, iaitu nasi campur pada zaman itu.

“Sebenarnya nasi campur juga berbeza-beza mengikut negeri termasuk nasi berlauk, nasi ambang, dan nasi lemak bungkus. Malah, semua itu juga adalah konsep nasi Malaya kerana lauk-pauk tidak dihidangkan di dalam pinggan berasingan tetapi dilonggok dalam satu pinggan.

“Jadi ,sesuai dengan konsep dan makan cara ringkas, nasi Malaya memang relevan untuk hidangan masa kini ketika masyarakat semakin sibuk dan mahukan yang mudah, cepat dan sedap dengan harga yang berpatutan,” ujarnya yang ditemui di restorannya yang terletak di 1513-A, Jalan Bangi, Kampung Sungai Tangkas, Kajang, Selangor.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai konsep nasi Malaya, Mahani memberitahu ia merupakan nasi putih berlauk sama ada ayam goreng telur masin, daging dendeng atau sambal sotong.

Kesemua sajian ini akan dihidangkan bersama sayur kobis dan kuah kari, yang dimakan beralaskan kertas bungkus makanan dan bukannya di dalam pinggan.

Selain tampil dengan tiga pilihan lauk kegemaran ramai, seperkara lagi yang membuatkan nasi Malaya istimewa ialah rasa sambalnya yang enak, iaitu manis-manis pedas.

Bercerita lebih lanjut mengenai restorannya itu, kata Mahani, ia diusahakan bersama suaminya yang sebelum ini membuka cawangan Restoran Tupai-Tupai.

Mempertaruhkan resipi dari ideanya sendiri, Mahani ingin memberi kelainan dan kesegaran rasa kepada pengunjung.

Selain nasi Malaya, restoran itu turut menyediakan kari kepala ikan jenahak stim dan ikan tilapia stim sos soya.

Kedua-dua menu ini merupakan pilihan pengunjung sekiranya mereka tidak mahu menikmati nasi Malaya.

Memulakan operasi sejak penghujung Oktober lalu, dia turut menampilkan menu tambahan lain seperti nasi goreng daging, yee mi Kantonis, bihun goreng Singapura, nasi goreng corn beef, dan bubur ayam.

“Menu-menu lain merupakan pilihan kepada pengunjung jika mereka ingin mencuba selera lain.

“Selain menu yang sedap, kami turut menawarkan minuman istimewa, iaitu Malaya smoothies mango dan jagung, yang sekali rasa pasti hendak lagi,” katanya.

Restoran yang boleh memuatkan sehingga 150 orang pada satu-satu masa ini juga menerima tempahan untuk pelbagai majlis seperti hari jadi, korporat, akikah atau pelbagai majlis lain.

Mempunyai tiga orang tukang masak dan empat orang pekerja, restoran Nasi Malaya mengamalkan perkhidmatan layan diri bagi memudahkan pelanggan dan menjimatkan kos agar makanan boleh dijual pada harga mesra pelanggan.

Dibuka bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, Mahani berkata, pihaknya bercadang untuk menambah beberapa menu lain pada masa akan datang. - Gambar MOHD. NOOR MAT AMIN