Jika dahulu, ia dibuat secara tradisional dengan nasi ditanak lembut dan kemudian diletakkan di dalam bekas sebelum ditindih dengan batu atau besi berat agar tekstur nasi himpit itu pejal namun lembut.

Namun, perubahan teknologi membolehkan nasi himpit segera dihasilkan menggunakan plastik dan hanya perlu direbus sebelum dipotong dan hidangkan.

Pun begitu, berdasarkan kajian, nasi himpit yang dimasak dalam plastik pada suhu mengakibatkan bahan kimia dari plastik dirembes keluar, yang boleh mendatangkan bahaya pada pengguna seperti mengakibatkan gangguan hormon dan barah.

Rentetan itu, Rosnah Alias, 62, yang merupakan pengasas Nasi Himpit Salsabila, tampil mengeluarkan nasi himpit yang lebih selamat dimakan.

Katanya, ramai yang tidak menyedari bahaya nasi himpit menggunakan plastik memandangkan terpedaya dengan rasa sedap, mudah diurus serta harga murah yang ditawarkan di pasaran.

Jelasnya, nasi himpit dibalut plastik mengandungi bahan memudaratkan seperti Bisphenol A dan dioxin yang merupakan agen penyakit kanser.

“Lazimnya kita akan merebus nasi himpit berkenaan selama satu jam dan bayangkan betapa tingginya risiko penyakit yang diperoleh akibat merebus plastik bersama makanan,” ujarnya.

Telah memulakan pembuatan nasi himpit kain sejak dua tahun lalu, menurut Rosnah, pada awalnya, nasi himpit berkenaan hanya dijual kepada rakan sekerja anaknya yang bekerja di hospital.

Lama-kelamaan, nasi himpit berkenan mendapat sambutan daripada orang ramai, menyebabkan dia mengusahakan secara komersial bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya, sekali gus dapat memberi kesedaran tentang kebaikan menggunakan kain dalam pembungkusan makanan.

Istimewanya, nasi himpit kain ialah ia menggunakan kain kapas sebagai pembalut dan diyakini selamat, selain tempoh masa merebus juga hanya selama satu jam setengah dan masih mendapat kualiti yang segar dan selamat.

“Nasi himpit kain bebas bahan kimia dan toksin dan ia selamat digunakan pada suhu tinggi selain mudah untuk dimasak serta sesuai dibawa mengembara kerana saiznya yang kecil,” katanya.

Dijual dengan harga RM9, Nasi Himpit Kain Salsabila merupakan satu-satunya produk di Malaysia, malah di dunia, yang dibungkus di dalam kain serta dijamin kebersihan dan keselamatannya daripada risiko kanser.