Kedudukan kampung itu yang boleh dikatakan tidak pernah menerima pengunjung luar, tiba-tiba bertukar menjadi meriah.

Ini berikutan kehadiran lebih 35 pengunjung yang tertarik dengan keindahan serta budaya penduduk di kampung tersebut. Kedatangan mereka adalah bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat termasuk penyampaian bantuan.

Selain menerima barangan keperluan dapur termasuk beras, gula dan minyak masak, penduduk kampung juga berpeluang beramah mesra dan mengenali lebih rapat karektor selebriti terkenal, Suhaimi Abdul Rahman atau dikenali sebagai Amy Search yang mudah tersentuh hati melihat penduduk yang hidup dalam serba kekurangan.

Program tanggungjawab sosial melibatkan selebriti serta Bank Muamalat Malaysia Berhad itu turut menyediakan kemudahan serta bantuan perubatan dari Hospital Beacon, Petaling Jaya, yang diketuai Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid.

Untuk menjayakan program tersebut dan atas dasar mahu membantu, Amy bersama pengurusan Bank Muamalat turun padang untuk tinggal selama lima hari bersama penduduk Kampung Pulau Selakan baru-baru ini.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa jiwa penyanyi berkenaan selama ini lebih banyak tertumpu untuk membantu penduduk yang kurang bernasib baik, tidak kira mereka berada di mana sahaja.

S2 dimaklumkan, Amy sebelum ini telah berkunjung lebih awal ke kampung berkenaan dan mendapati penduduk yang berjumlah kira-kira 300 orang dari keturunan Bajau itu perlu dibantu sebaik sahaja dia melihat kehidupan mereka yang serba kekurangan.

Tambahan pula sekolah sedia ada di kampung itu telah musnah dalam kebakaran, menyebabkan murid terpaksa belajar di kantin sekolah serta bangunan tambahan.

Apabila didekati wartawan S2, Amy memberitahu, dia tersentuh hati melihat kehidupan penduduk di situ.

Namun begitu, katanya, walaupun dalam serba kekurangan termasuk pelajaran anak-anak, penduduk tetap mesra menerima pengunjung.

“Bermula dengan kunjungan pertama itulah, saya serta beberapa rakan kemudian mendapatkan kerjasama dari Bank Muamalat,

“Syukur...,pihak bank berkenaan sanggup mengeluarkan bajet untuk membantu penduduk terbabit,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Amy memberitahu, untuk membantu penduduk atau menjalankan sesuatu program tanggungjawab sosial, seseorang itu tidaklah perlu bersikap ‘tunggu’ dan ‘lihat’ atau tunggu orang lain buat dahulu, baru hendak mula.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia, kita perlu membantu penduduk tanpa mengira keturunan. Jangan bersikap tunggu dan lihat.

“Bagi saya, hulurkan apa jua bentuk bantuan yang termampu. Tidak kira sama ada bantuan itu besar ataupun kecil,’’ katanya.

Program tanggungjawab sosial melibatkan Bank Muamalat dan Amy bersama penduduk Kampung Pulau Selakan itu mendapat kerjasama dari syarikat pengurusan program, Mesra Alam serta Red Divers Borneo dan kelab selam skuba #genghafizmahmud.

Turut diadakan dalam program tersebut ialah aktiviti korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu. Aktiviti itu diadakan secara gotong-royong bersama penduduk yang memasak daging korban untuk dinikmati bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid memberitahu, menjadi amalan pihak bank berkenaan menggalakkan kakitangannya terlibat dalam program tanggungjawab sosial.

Atas dasar itu, katanya, sejumlah kakitangan bank berkenaan secara sukarela berkunjung ke Kampung Pulau Selakan, bukan sahaja untuk menghulurkan bantuan, malah mahu mengenali lebih rapat penduduk di pulau itu.

Sementara itu, Pengarah Mesra Alam, Jay Jamal Salim memberitahu, walaupun menghadapi beberapa rintangan bagi menjayakan program tersebut, berkat kerjasama semua pihak, ia berjalan lancar dan berjaya.

“Mesra Alam mendapat kerjasama pihak bank, Amy Search dan penduduk tempatan. Yang paling menarik, penglibatan sejumlah besar kakitangan Bank Muamalat,” katanya sambil menambah pihak bank berkenaan telah menyatakan minat untuk meluaskan program tersebut ke tempat lain.

Dalam pada itu, pemilik Red Divers Borneo, Aminor Azmi memberitahu, dalam program tersebut, turut diadakan ialah aktiviti laut dan air.

“Beberapa kakitangan Bank Muamalat mengambil lesen selam skuba.

“Kita pilih kawasan laut sekitar Kampung Pulau Selakan disebabkan keunikan serta keindahan lautnya,” ujarnya.