Namun, di sebalik sifatnya itu banyak terselit nilai murni yang sekali gus boleh menggambarkan tentang prinsip hidupnya yang suka berterus terang serta tegas dalam membuat keputusan hidup.

Seniman dari Terengganu ini asalnya bukanlah pelukis tersohor seperti pada hari ini, sebaliknya beliau terlebih dahulu mencipta nama sebagai seorang artikek berjaya sejak puluhan tahun yang lalu.

Tetapi kerana menyahut cabaran pihak yang telah memandang rendah bakatnya sebagai pelukis menyebabkan beliau yang mesra dengan panggilan Pak Mail telah tampil serius dalam bidang itu.

“Saya jadi pelukis pada tahun 1991. Tidak ada niat pun mahu menjadi pelukis sebelum itu. Di Malaysia sebelum itu tiada lukisan yang berkonsepkan realism, semuanya abstrak.

“Ketika itu, ada balai seni lukis yang telah tolak lukisan-lukisan saya kerana kononnya tidak mencapai standard yang mereka mahu. Saya pula yang jenis ‘kaki melawan’ dan tidak mahu mengalah.

“Saya tidak puas hati dan berjumpa Ketua Pengarah DBKL ketika itu dan akhirnya dapat buat pameran di sana. Pameran itu mendapat liputan yang baik daripada media massa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut bapa kepada 11 orang anak ini, beliau tidak menyesal beralih bidang daripada seni bina kepada lukisan kerana melaluinya secara tidak langsung ia telah mengangkat seni budaya bangsa.

Kebanyakan lukisannya bermotifkan seni-seni tempatan terutamanya budaya serta warisan orang Melayu yang semakin terhakis oleh arus kemodenan yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Saya anggap khazanah seni di negara kita banyak yang telah ‘disorok di bawah karpet’. Kita sebut pembangunan sedangkan pembangunan itu membunuh peradaban dan kesenian Melayu.

“Apa yang Melayu ada semuanya ‘dibunuh’ secara diam-diam. Kita ada banyak kampung Melayu. Tetapi banyak yang telah dihapuskan dengan alasan mahu buat jalan raya dan sebagainya,” ujarnya.

Pengalaman beliau belajar di England pada awal tahun 1970-an dan bergaul dengan masyarakat Barat banyak mencetuskan inspirasi serta kesedaran akan peri pentingnya perkara tersebut.

Warisan

Jelas pelukis yang juga terkenal sebagai Pakar Rujuk Seni Negara ini, sikap masyarakat Barat yang amat menghargai seni serta warisan mereka banyak mempengaruhi motif lukisan beliau selama ini.

“Saya mahu hidupkan semula busana-busana lama di Malaysia. Dalam setiap lukisan itu ditonjolkan wajah sesuatu etnik, pakaian, seni bina dan aksesori yang semuanya digabungkan dalam sebuah lukisan.

“Saya melukis sebab mahu ‘melawan’ perkara-perkara seperti itu. Saya harap pihak kerajaan dapat ‘buka mata’ dan membina industri yang berkaitan barangan seni dan kraf tempatan,” katanya.

Tambahnya, pendekatan yang diketengahkannya melalui lukisan merupakan suatu tanggungjawab sosial terhadap kaum Melayu yang kini berdepan dengan pelbagai krisis identiti dan jati diri.

Jelas Pak Mail, segala bentuk paparan dalam lukisan yang diketengahkannya itu diharap dapat dijadikan khazanah agar ia terus dipertahankan oleh orang Melayu dari semasa ke semasa.

“Saya rasa bertanggungjawab dalam perkara seperti ini mengikut kapasiti bidang yang saya ceburi. Kalau tidak buat bermakna kita mengalah dengan apa yang sedang berlaku ketika ini.

“Saya tidak mahu bumi ini digadai kepada bangsa-bangsa asing. Apa lagi yang tinggal di kampung Melayu sekarang ini? Sedangkan orang Melayu dipindahkan ke rumah-rumah flat.

“Penempatan kaum-kaum lain dijaga sedangkan orang Melayu semakin ramai yang berpindah ke rumah-rumah flat. Lagi 100 tahun orang akan kata orang Melayu pula yang jadi kaum pendatang.

“Ketika itu di mana lagi kampung-kampung Melayu yang masih tinggal? Jadi kita janganlah kita hanya pandai ‘memelayukan’ Melayu sedangkan hakikatnya bangsa kita semakin ‘terhapus’,” katanya.