Kisah-kisah itu yang diceritakan oleh ibu bapa dahulu kepada anak-anak sama ada ketika waktu senggang mahupun ketika mahu tidur.

Ibu bapa hari ini sentiasa sibuk sehingga tiada masa untuk bercerita dengan anak-anak, membuatkan manfaat bercerita berlalu begitu sahaja.

Sebenarnya, banyak teknik dan cara untuk bercerita dengan kanak-kanak. Mereka boleh bercerita menggunakan buku, boneka, gambar bersiri, cerita berpandu, teater bercerita, teka-teki dan sebagainya.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Robe’ah Yusuf, berkata, banyak kelebihan yang diperoleh oleh anak-anak jika ibu bapa bercerita pada mereka.

Katanya, anak-anak boleh menyuarakan pendapat secara lisan, melatih kemahiran mendengar dan bertutur dengan cara yang menyeronokkan, penglibatan ibu bapa dalam aktiviti anak-anak, serta menggalakkan literasi dari rumah.

Menurutnya, fungsi cerita adalah sebagai bahan hiburan (bagi cerita jenaka), alat pendidikan dan pengajaran, serta pendorong atau motivasi seperti cerita Sang Kancil.

Bercerita juga sebagai alat sosialisasi seperti dalam cerita Upin dan Ipin atau Chibi Maruko Chan (animasi Jepun).

Robe’ah berkata, bercerita membolehkan kanak-kanak menjelajah dunia kanak-kanak dan remaja mereka dengan bebas, memelihara serta membentuk keadaan sesuai bagi perkembangan emosi dan kognitif kanak-kanak, menggalakkan kanak-kanak menikmati hidup, membina jiwa mereka sendiri dan mengalami atau menyelami sendiri dunia orang lain.

“Sebelum bercerita, pilih cerita yang sesuai, menentukan fokus cerita, memikirkan soalan yang boleh dikemukakan, menentukan perkataan (frasa yang hendak difokuskan), fahami cerita dan menentukan alat atau bahan yang akan digunakan masa bercerita (prop).

“Semasa bercerita pula, pastikan keadaan kanak-kanak selesa dan sedia, kanak-kanak memberi tumpuan, gerak badan, aksi dan mimik muka yang sesuai, bahan-bahan yang sesuai bagi membantu pemahaman kanak-kanak tentang isi cerita.

“Berceritalah dengan suara lantang, penuh perasaan dan mengikut kesesuaian ayat. Anda boleh menggunakan boneka kerana dapat mengelakkan kebosanan dan menarik perhatian kanak-kanak,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Teknik Storytelling untuk Perkembangan Anak.

Robeah berkata pada seminar Anakku Permataku yang diadakan di Auditorium, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy adalah anjuran Jawatankuasa Pengurusan Taska Permata PPUKM dan Kelab Wanita UKM.

Seminar ini diadakan bagi memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai kepentingan ilmu keibubapaan terutama dalam aspek penjagaan dan perkembangan anak-anak.

Peserta juga berpeluang menimba ilmu serta mendapatkan informasi terkini mengenai teknik dan pendidikan yang bersesuaian untuk anak-anak mereka.

Antara pembentang kertas kerja ialah Don Daniyal Don Biyajid dengan kertas kerja bertajuk Merangsang IQ, EQ dan SQ; Pensyarah Program Dietetik UKM, Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf dengan kertas kerja bertajuk Pilihan Makanan: Keperluan atau Kegemaran; dan Pegawai Analisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim dengan kertas kerjanya Keselamatan Anak dan Cabaran Masa Kini.

Elak beri makanan tidak sihat

Obesiti atau kegemukan merupakan antara masalah yang paling ketara dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Statistik obesiti menunjukkan, bagi sekolah rendah, satu hingga dua orang bagi setiap 10 kanak-kanak, manakala bagi sekolah menengah, dua hingga tiga orang bagi setiap 10 orang.

Pensyarah Program Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf berkata, tidak sama seperti kanak-kanak dahulu yang sangat aktif bermain di luar rumah, jadual kehidupan kanak-kanak sekarang terlalu padat.

“Pagi ke sekolah, petang sekolah agama, malam tuisyen, hujung minggu pun tuisyen, sehingga anak-anak tidak ada masa hendak bermain di luar rumah.

“Apabila obesiti berlaku pada usia muda, penyakit pun mudah dapat. Kanak-kanak sekarang ada yang menghidap darah tinggi, diabetes dan berdengkur. Ironinya, pada masa sama, tumbesaran kanak-kanak terbantut dan Malaysia antara ramai kanak-kanak yang mengalami kebantutan.

“Di luar sekolah, peniaga menjual makanan rapu (jajan) yang banyak mengandungi pengawet, perasa tiruan dan pewarna. Minuman pula air berkarbonat. Tiada makanan yang dimasak.

“Sebenarnya anak-anak dari kecil diberi makanan yang tidak sihat. Ibu bapa mesti mendidik anak supaya tidak mudah tergoda dengan jajan. Apabila sudah terbiasa dengan makanan ini, reaksi mereka makanan tersebut sedap dan manis.

“Ramai ibu bapa mengambil mudah penyediaan makanan anak. Nasi, telur goreng atau ayam goreng, mereka kata itu yang anak suka dan boleh makan habis.

“Sedangkan pinggan sihat seharusnya ada bijirin, sayuran, protein dan buah supaya anak mendapat zat yang diperlukan bagi melawan penyakit, nampak ceria, otak cergas, bertenaga dan memiliki berat badan normal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Don Daniyal Don Biyajid yang lebih dikenali sebagai Ustaz Don berkata, untuk membina generasi akan datang, ibu bapa harus memberikan contoh yang baik kepada anak-anak.

“Doa penting untuk keturunan jadi hebat. Keimanan dan kepercayaan mesti diterapkan dalam pendidikan anak. Kisah para Nabi akan memberi kesan kepada anak-anak dan mereka akan berfikir. Ada 25 orang rasul dan setiap hari boleh diceritakan seorang rasul. Setelah habis 25 orang, boleh diulang semula. Anak-anak akan mengingati dan mencontohi sikap murni rasul-rasul tersebut,” katanya.

Ujarnya, generasi zaman ini dan akan datang mesti bijak menggunakan teknologi maklumat, maka didik generasi mengikut zaman, tetapi jangan dibuang generasi terdahulu.