Apatah lagi aspek penjagaan pemakanan ketika dalam pantang adalah penting, bukan sahaja untuk mengembalikan tenaga yang banyak hilang ketika bersalin, malah makanan yang baik dapat membantu pertumbuhan bayi yang disusui.

Menerusi perkhidmatan ini sedikit sebanyak membantu golongan ibu tersebut dalam pemakanan mereka tanpa perlu bersusah-payah memasak di dapur, selain dapat mengikut diet khas selepas bersalin.

Pengusaha perkhidmatan penghantaran makanan siap dimasak dan dibekukan, Foodzyla Delivery (Foodzyla), Norshazilawati Mohd. Rodzi, mula memperkenal makanan berpantang sejuk beku kerana sering ditanya pelanggan mengenainya.

“Pengalaman menghantar makanan ke rumah pelanggan, sering saya disambut oleh anak-anak kecil yang datang mengambil makanan dan membuat pembayaran. Apabila ditanya tentang ibu mereka, anak-anak ini akan menjawab ibu dalam pantang dan sedang menjaga adik.

“Dari situ timbul idea dan saya mengambil inisiatif memperkenal makanan dalam pantang sejuk beku. Saya yakin dengan perkhidmatan ini sedikit sebanyak membantu ibu-ibu yang sedang berpantang.

“Mereka cuma perlu panaskan sahaja makanan tersebut. Tidak perlu bimbang kerana rasa, kualiti serta kebersihannya amat dijaga, selain menggunakan kaedah penyediaan dan penyimpanan yang paling selamat,” katanya semasa ditemui Mega Rona di premis perniagaannya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Norshazilawati mengakui, kebanyakan ibu muda hari ini terutama di Kuala Lumpur tidak biasa menyediakan makanan dalam pantang kerana tiada pengalaman dan maklumat daripada orang tua mereka.

Justeru, tidak hairan apabila makanan sejuk beku yang diperkenalnya mendapat sambutan amat menggalakkan di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Kajang.

Foodzyla, yang diperkuat dengan 13 pekerja, setakat ini menyediakan lebih 20 jenis menu berpantang seperti daging batang pinang bakar lada hitam, sup ikan haruan, ayam kampung kukus halia dan kari ikan merah.

Menu berpantang ini disediakan untuk makan tengah hari dan malam.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Perak ini memberitahu, perkhidmatan penghantaran makanan sejuk beku yang diusahakan itu sedikit sebanyak membantu wanita bekerja yang tidak sempat ke dapur menyediakan hidangan untuk keluarga.

Malah, katanya, kaedah seperti ini adalah yang paling selamat kerana menggunakan suhu sejuk di bawah - 18 hingga -22 darjah Celsius.

“Idea ini tercetus kerana dahulu pun saya melakukan perkara yang sama apabila sibuk dengan anak-anak. Apabila saya masak, makanan tersebut saya sejuk bekukan dan akan dipanaskan semula apabila hendak makan.

“Rasanya tetap sama dan bersih kerana kaedah yang digunakan adalah daripada apa yang saya pelajari di universiti dahulu,” jelas ibu dua anak ini yang juga lulusan Perkhidmatan Makanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Buat masa ini, dia menyediakan lebih 75 jenis menu harian yang boleh dipilih oleh pelanggan.

Menu yang diketengahkan oleh Norshazilawati adalah sajian sihat tanpa pengawet, tanpa bahan perisa, tiada pewarna dan menggunakan gula molases (gula asli) tidak menggunakan gula putih.

Bagi mereka yang mahu maklumat lanjut boleh layari Facebook Foodzyla Brand atau emel www.foodzyladelivery.com.