Tiada lagi tanggapan negatif terhadap pemain permainan video atau siber yang pernah dianggap umum sebagai aktiviti yang tidak berfaedah.

Bagi Nicholas Lim, 20, seorang penuntut di sebuah universiti swasta tempatan, menghabiskan masa sehingga 12 jam sehari adalah sesuatu berbaloi baginya apabila berjaya mengecapi beberapa pencapaian yang signifikan dalam permainan siber.

Beliau berkata, minat terhadap permainan siber iaitu Defence of The Ancient (Dota) sejak 10 tahun lalu membantunya untuk fokus sehingga dapat menyertai pelbagai pertandingan seperti Malaysia Cybergames (MCG) 2018.

"12 jam adalah masa yang paling lama saya peruntukkan dalam sehari ketika waktu lapang untuk fokus bermain permainan siber.

"Dota adalah permainan yang amat saya gemari. Selain bermain, saya turut mengikuti perkembangan permainan itu daripada Dota 1 hinggalah hari ini bermain Dota 2 dan mengenali semua karakternya.

"Walaupun masih bergelar penuntut di universiti, saya boleh mendisiplinkan diri untuk bahagikan masa untuk bermain permainan siber dan belajar," katanya selepas menamatkan permainan Dota 2 di MCG 2018.

Beliau dan kumpulannya yang berjaya mendapat tempat ke tiga dalam MCG 2018 bagi kategori permainan Dota 2 itu sudah beberapa kali menyertai pertandingan seumpama itu dan menganggapnya sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

Begitu juga dengan juara kategori sama iaitu Joseph Loh, 25 dari kumpulan 'The 5ive' yang menghabiskan masa antara lima hingga enam jam sehari untuk mengasah kemahiran bermain Dota.

Pekerja swasta itu memberitahu, beliau bersama rakan-rakan sekadar memenuhi masa lapang bermain permainan siber di kafe siber sebelum bergelar juara dalam permainan Dota 2 MCG 2018.

"Berjaya sampai ke peringkat akhir Dota dalam MCG 2018 pun sudah cukup membanggakan apatah lagi bergelar juara.

"Jadi usaha kami berhabis duit dan masa di kafe siber ternyata tidak sia-sia apabila berpeluang menyertai pertandingan ini dan lebih manis apabila menjuarainya," ujarnya.

Pencapaian dalam permainan siber dalam dan luar negara sememangnya diimpikan oleh peminat-peminat permainan itu.

Menurut Muhammad Rozaidi Yusak, 39, beliau sudahpun menyertai pelbagai pertandingan dalam permainan Tekken serta mempunyai penaja rasmi dan hari ini beliau memburu gelaran Top 32.

"Permainan siber memang berbaloi bagi mereka yang fokus dan bijak memanfaat setiap peluang yang ada termasuk menyertai pelbagai pertandingan dalam dan luar negara.

"Sebelum ini pun saya pernah menyertai pelbagai pertandingan permainan Tekken termasuk peringkat antarabangsa di Singapura tahun lalu.

"Selain menyasarkan gelaran juara, saya juga mengejar beberapa pencapaian seperti di MCG 2018 supaya dapat menarik lebih ramai penaja untuk membantu mencapai impian," katanya.

MCG 2018 anjuran Suara Anak Muda 1Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pertandingan yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Record sebagai penganjuran pertandingan permainan siber terbanyak.

Ia mempertandingkan sembilan permainan seperti Mobile Legends, Dota 2, Injustice 2, Street Fighter 5, Counter Strike Go, Tekken 7, Player Unknown's Battelground, Formula 1 dan Fifa 2018.

Hadiah keseluruhan bernilai RM300,000 untuk dimenangi dalam pertandingan yang bermula semalam 13 Januari dan akan berakhir pada pukul 9.00 malam nanti. - UTUSAN ONLINE