Antara sebab ia dibina sebagai tempat penyimpanan barang mahupun stor atau menempatkan barangan apabila banjir berlaku.

Disebabkan peredaran masa dan perubahan struktur pembinaan zaman sekarang, ruang ini seakan-akan dilupakan dan tidak lagi diperlukan.

Namun, ruang ini kembali menjadi fenomena setelah dikomersialkan sebagai ruang untuk istirahat keluarga, tambahan bilik untuk anak, ruang penyimpanan barang ataupun ruang privasi serta pejabat sendiri.

Menurut Pengurus Operasi The Loteng, Kamarul Azuan Shah Mohd. Mashuti, pihaknya telah mengkomersialkan pembinaan loteng di rumah-rumah pelanggan sejak lebih setahun lalu.

Alhamdulillah, katanya, setakat ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama yang berada di bandar dan taman-taman perumahan.

“Saya melihat pembinaan loteng kini merupakan satu keperluan kepada institusi keluarga dan bukan hanya sekadar ruang untuk mencantikkan dekorasi dalaman. Ini kerana apabila anak-anak sudah besar, masing-masing memerlukan sebuah bilik yang privasi, tambahan pula ruang juga diperlukan untuk meletakkan barang-barang yang semakin banyak di dalam rumah yang telah kita tinggal bertahun-tahun.

“Justeru, kita teroka konsep yang banyak dilakukan di luar negara seperti di Eropah terutama United Kingdom. Masyarakat di sana menjadikan bumbung rumah sebagai kawasan paling sesuai untuk menambah ruang, tanpa perlu ahli dalam rumah itu keluar mencari rumah lain ataupun menyewa ruang lain.

“Konsep ini adalah satu idea yang bijak,” katanya ketika ditemui di salah sebuah rumah yang sedang dalam proses pembinaan loteng di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Kamarul Azuan Shah memberitahu, dengan pembinaan loteng, pemilik rumah dapat memaksimumkan penggunaan ruang tanpa penggunaan bajet yang besar.

Ubah suai ruang juga boleh dilakukan mengikut pilihan pelanggan itu sendiri hasil perbincangan dengan pihaknya, yang menguruskan perniagaan bersandarkan perniagaan keluarga bawah Syarikat Anjung Mega (M) Sdn. Bhd.

Katanya, terdapat dua konsep pembinaan, iaitu loteng biasa yang berbentuk anjung atau pangkin yang boleh dilihat dari luar rumah dan loteng yang ‘luar biasa’, iaitu dibina di dalam bumbung.

Bagi pembinaan konkrit di dalam bumbung adalah lebih baik sekiranya rumah mempunyai bumbung yang tinggi atau mempunyai air well (lohong udara). Ini membolehkan pembinaan loteng dilakukan dengan agak mudah tanpa perlu ‘mengacau’ struktur atap yang sedia ada.

“Banyak bilik atau kawasan rumah yang mempunyai lohong udara. Kawasan inilah yang akan dibina loteng mengikut ukuran saiz dikehendaki pelanggan, termasuk tingkap dan pembinaan tangga sama ada kekal mahupun tangga yang mudah alih atau yang ditarik.

“Begitu juga sekiranya pelanggan mahu meletakkan tandas atau dekorasi lain di dalamnya, juga boleh dilakukan, termasuk dinding dan tingkap skyview.

“Pembinaan loteng daripada kayu lebih cantik dengan hiasan dalaman yang mempesona dan kukuh, serta ciri-ciri tradisional bersuasana kampung. Kami menggunakan kayu balau, cengal, resak, meranti dan kekatong, tetapi harganya pasti agak tinggi. Jika pelanggan mahukan ruang yang lebih minimalis, pembinaan loteng menggunakan besi disarankan dengan penambahan ruang kaca yang lebih moden.

“Harganya juga jauh lebih murah,” kata anak kelahiran Perak yang memberitahu ruang yang dikehendaki akan diubah suai mengikut bajet pelanggan.

Tambahnya, mungkin ramai yang menyangka loteng yang berada pada bumbung akan membuatkan suhu di dalam panas.

Andaian ini adalah tidak benar kerana turut dibina sistem pengudaraan sendiri, iaitu kipas ekzos yang menyedut udara sejuk dari bawah ke atas dan mengeluarkan udara panas.

Pembinaan loteng dalam rumah juga tidak perlukan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) setempat kerana dikategorikan sebagai hiasan dalaman.

Harga loteng berukuran 10x10 kaki bagi kayu bermula pada harga RM9,800, manakala konkrit besi bermula dari RM5,800, Bagi mereka yang berminat melihat rekaan loteng, boleh layari www.theloteng.com