Ketika berusia 12 tahun, dia sudah mula membantu bapa, Abdul Malick Abdul Ghaffar, 63, di kedai runcit dan dilantik sebagai pengarah di syarikat milik keluarga pada usia 18 tahun.

Tidak pernah merasakan itu sebagai beban, sebaliknya anak kelahiran Pulau Pinang itu mengambil kepercayaan yang diberi oleh bapa sebagai satu tanggungjawab besar untuk meneruskan apa yang telah dimulakan oleh keluarga.

Jika sebelum ini bapanya membekalkan pelbagai rempah ratus, Abdul Ghaffar bertukar selera ketika mengambil alih syarikat berkenaan 19 tahun lalu dengan memfokuskan kurma serta barangan dari tanah Arab.

Katanya, 20 tahun dahulu bekalan buah kurma sukar untuk diperoleh memandangkan ia bermusim, yang lazimnya menjadi buah tangan dibawa pulang oleh jemaah yang menunaikan umrah atau haji.

Melihat daripada kesukaran itu, Abdul Ghaffar yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Syarikat Abdul Ghaffar Trading Sdn. Bhd., membawa bisnes baharu dalam perusahaan keluarganya yang telah bertapak sejak 69 tahun lalu.

Membawa nama Saudagar Kurma, menurut Abdul Ghaffar, sebelum ini, datuknya merupakan pengimport barangan komoditi seperti bawang merah, cili merah dan bawang putih, manakala bapanya pula membawa masuk pelbagai jenis rempah dan herba.

Sebagai generasi ketiga dalam perusahaan itu, dia pula memilih untuk mengimport 150 jenis kurma dari seluruh tanah Arab.

Dia mula berjinak-jinak sebagai pengimport kurma bagi membolehkan masyarakat di negara ini menikmati kurma sepanjang tahun dan bukan pada bulan puasa mahupun musim haji sahaja.

Katanya, kurma yang diimport merupakan kurma terbaik di dunia, malah menawarkan harga lebih rendah berbanding pembekal lain memandangkan syarikat itu menjual terus kepada pelanggan.

Selain kurma, syarikat itu menawarkan 13 jenis produk lain. Antaranya, buah-buahan kering, kekacang, minyak, madu, kosmetik. cuka, halwa, coklat, bijian serta bahan masakan dan bahan bakeri.

“Kita menawarkan kurma serendah RM1 hingga RN300 sekilo dan antara kurma yang paling menjadi tumpuan adalah jenis medjool dari Palestin yang lazimnya hanya dapat ditemui dan dinikmati dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Selain dari Palestin, kita turut mengumpulkan kurma dari tanah Arab lain seperti Tunisia, Mesir, Libya, Algeria, Qatar, Dubai dan Oman, selain kurma popular iaitu jenis Ajwa.

“Di sini terdapat 60 jenis pilihan kekacang dan antara yang jarang ditemui di pasaran ialah kacang dari Brazil, serta kacang-kacang premium yang dijual dengan harga jauh lebih murah daripada kedai biasa,” jelasnya yang turut membawa masuk 12 jenis minyak termasuk minyak zaitun dan minyak habatussauda.

Susun aturnya yang kemas serta mudah dilihat menjadikan suasana membeli-belah di kedai berkenaan menyeronokkan lebih-lebih lagi buat penggemar makanan dan produk dari tanah Arab.

Syarikat yang diusahakan anak jati Pulau Pinang ini, mempunyai 30 cawangan di seluruh negara. Ia juga telah memulakan perniagaan francais pada 2012 bawah dana Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

Menurut Abdul Ghaffar, syarikat itu menyasarkan setiap bulan satu francais akan dibuka dan terbaru bakal beroperasi di Cyberjaya selepas Ipoh dan Lapang Terbang Kuala Lumpur Dua (KLIA2).

“Di bawah PNS, kita memperoleh kemudahan pembiayaan francaisi, pembiayaan francisor serta skim penyewaan dan pemilikan hartanah dengan jumlah terkumpul RM20 juta bagi membantu lebih ramai memperoleh peluang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghaffar juga mahu melebarkan sayap perniagaan dalam bidang makanan dan minuman (F&B) apabila bakal membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan dari negara Uzbekistan pertengahan Jun ini di Cyberjaya.

Restoran yang diberi nama Astana itu bakal menghidangkan makanan tradisional negara berkenaan, yang mana tukang masaknya dibawa khas dari Uzbekistan.