Itu yang dilihat murid tahun empat Sekolah Rendah Islam Integrasi Pintar, Denai Alam, Shah Alam, Selangor, Karl Iskandar Ahmad Bakri, ketika mengambil keputusan untuk menghulurkan bantuan telur kepada mereka yang memerlukan.

Baru berusia 10 tahun, namun Karl Iskandar mempunyai jiwa yang besar apabila gemar melakukan kerja-kerja amal, malah sanggup mengetepikan waktu bermain untuk membantu golongan yang memerlukan pada hujung minggu.

Bergerak di bawah projek amal Kongsi Pahala Kasihnya Karl sejak Oktober tahun lalu, Karl Iskandar yang dibantu ibunya, Noorianti Zainol Abidin, 45, mendapat idea berkenaan selepas melihat almari menempatkan barangan asas yang diletakkan di masjid di bawah program Gerobok Rezeki bagi keperluan golongan mereka yang kurang bernasib baik.

Melihat almari berkenaan lazimnya hanya dipenuhi makanan seperti beras, gula, tepung, makanan dalam tin serta minyak masak, terdetik di hatinya bertanya tiadakah insan yang memberikan telur, sekurang-kurangnya makanan itu boleh dijadikan lauk, pelengkap kepada nasi?

Dari situ, tercetus idea Karl Iskandar untuk memberikan telur sebagai sumbangan bagi melengkapkan almari berkenaan memandangkan telur mudah didapati, senang dimasak serta mempunyai khasiat yang mencukupi kerana tinggi protein yang baik untuk perkembangan kanak-kanak.

Bagi memudahkan pemberian telur kepada mereka yang memerlukan, Karl Iskandar akan memberikan kepada pihak pengurusan masjid bagi membolehkan ia diagihkan.

Akui Karl Iskandar, dia berasa sangat seronok melakukan kerja amal berkenaan walaupun perlu mengangkat berpuluh-puluh papan telur ke dalam kereta pada setiap hujung minggu.

“Saya dan mama akan memperuntukkan beberapa jam pada hujung minggu untuk menghantar telur ke masjid-masjid dan rumah anak-anak yatim serta orang perseorangan dan saya pastikan aktiviti ini tidak mengganggu waktu menelaah pelajaran.

“Seronok dapat tengok wajah mereka yang menerima bantuan telur ini. Lagi seronok jika melibatkan anak-anak yatim kerana mereka akan mendoakan kesejahteraan kita.

“Saya cukup teruja sampai lupa dan hilang rasa penat walaupun perlu punggah telur-telur berkenaan dengan berhati-hati secara berulang-ulang kali,” katanya yang ramah dan matang berbicara.

Sebati dengan kerja amal, kumpul dana

SERING memuat naik aktiviti Projek Kongsi Pahala di laman sosial menyebabkan projek berkenaan mendapat perhatian masyarakat sehingga ramai yang mahu turut sama menyumbang mengumpul dana bagi membolehkan lebih ramai terima sumbangan berkenaan.

Turut mempunyai wakil di tiga negeri lain iaitu Pahang, Kelantan dan Kedah, Karl Iskandar melahirkan rasa syukur kerana projek berkenaan mendapat perhatian ramai bagi membantu mengumpulkan dana.

“Menariknya, setiap minggu ada seorang penderma misteri tetap yang akan menyumbang RM12 iaitu harga sepapan telur. Saya pun tidak kenal siapa, namun yang penting insan ini mahu membantu,” jelasnya.

Menurut Noorianti, pada awal penglibatan dalam projek berkenaan, tindakan mereka membeli telur dengan kuantiti yang banyak turut mendapat perhatian pembekal telur di Syarikat Selasih Telur Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor.

Namun, selepas diterangkan tentang kerja amal berkenaan, pembekal itu sudi bekerjasama, malah sanggup menghantar bekalan telur sampai ke pintu rumah bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan memandangkan telur mudah pecah dan perlu diuruskan dengan cermat.

Mengakui kerja amal berkenaan membantu membentuk keperibadian anaknya, ujar ibu tunggal itu yang kini berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi, dia mahu Karl Iskandar menjadi anak yang bijak dan boleh berdikari pada masa depan.

Justeru, setiap kali mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan masjid, dia hanya akan memerhati anaknya itu berurusan selain bertindak sebagai jurucakap menerangkan projek yang dilaksanakan.

“Sejak berusia tujuh tahun, saya sering membawa dia ke rumah anak yatim serta masjid untuk memberi sumbangan kerana mahu dia merasai sendiri kesusahan insan-insan yang memerlukan.

“Malah, sebelum projek telur ini, kami pernah menyumbangkan selipar untuk kegunaan jemaah masjid dan anak saya itu sangat gembira dapat melakukan kerja amal berkenaan.

“Karl sudah terbiasa dengan kerja amal dan dia tidak sedikit pun rasa terbeban dan saya harap jika saya tiada kelak, dia masih meneruskan usaha murni ini,” jelasnya.