Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz
Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz

Pakar bedah kanser payudara Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz berkata, disebabkan kebimba­ngan itu mereka lebih rela tidak mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Lebih menyedihkan katanya, kebanyakan pesakit kanser pa­yudara di negara ini lebih sanggup memilih rawatan alternatif atau mengambil ubat sampingan walaupun tidak dijamin mampu mengubati, sebaliknya boleh memburukkan lagi keadaan.

“Masalah utama wanita adalah ketakutan. Mereka fikir doktor akan potong payudara apabila dikesan mempunyai ketulan atau benjolan menyebabkan mereka tidak pergi mendapatkan rawatan kerana takut kehilangan organ seksual itu.

“Sebenarnya, kalau dikesan pe­ringkat awal, doktor tidak akan potong semua payudara tetapi hanya buang kawasan terlibat. Mereka perlu sedar jangka hayat lebih tinggi jika buat rawatan awal. Tetapi kalau lambat dikesan sehingga merebak pada organ lain, membuat rawatan de­ngan apa cara sekalipun tidak lagi akan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Kempen Kesedaran Kan­ser Payudara Yakult bersama Utusan Melayu (M) Berhad bertemakan Pencegahan Adalah Penyelesaian Ter­baik di sini semalam.

Program dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) itu turut dihadiri Perunding Kesihatan, Pemakanan dan Kecergasan, Kevin Zahri serta selebriti popular Scha Alyahya, Awal Ashaari dan anak mereka, Lara Alana.

Dalam pada itu Azlina berkata, teknologi perubatan Malaysia telah diakui terbaik di dunia bagi mengesan atau mengubati kan­ser payudara, namun masih ramai tidak berusaha mendapatkan manfaat tersebut sedangkan ramai pesakit dari luar seperti dari Australia, United Kingdom (UK) dan Maldives datang ke negara ini semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

“Pesakit Malaysia lebih memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif atau pergi ke negara lain seperti China atau Singapura untuk tujuan itu. Sebenarnya mereka tidak perlu pergi tempat lain kerana Malaysia mempunyai pakar perubatan mencukupi malah lebih bagus berbanding negara lain.

“Tetapi, rakyat Malaysia tidak mahu gunakan peluang itu. Malah, mereka lebih gemar mendapatkan maklumat dan mempercayai informasi melalui laman web yang tidak bertauliah berbanding mendapatkan rundingan nasihat daripada doktor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia, Mazlyn Mena berkata, masyarakat negara ini terutama wanita perlu mempunyai kesedaran mengenai kanser payudara dan mengetepikan perasaan takut untuk membuat pemeriksaan awal.

Menurut beliau, sekitar 5,000 wanita Malaysia didiagnosis dengan kanser payudara setiap tahun dengan kebanyakannya berusia di antara 30 dan 60 tahun dan hampir separuh daripada mereka yang dikesan mempu­nyai kanser berusia di bawah 50 tahun.