Jika adapun, si ibu hanya mengamalkannya dalam tempoh berpantang kerana ada bidan yang boleh membuat urutan tradisional kepada bayi mereka.

Sama seperti menyusukan sendiri bayi, usapan lembut tangan ibu pada bayi adalah keperluan semula jadi sebagai salah satu bentuk komunikasi antara ibu dan bayi sebaik dilahirkan.

Jika orang dewasa gemar melakukan urutan di spa untuk mengurangkan tekanan, begitu juga bayi yang baru lahir kerana urutan merupakan terapi semula jadi yang seharusnya dijadikan rutin harian.

Kesan positif pada kesihatan sememangnya diakui oleh pakar-pakar perubatan.

Juruterapi urutan bayi, Nur Shazren Mohd. Shah berkata, di negara luar seperti Taiwan, kesedaran terhadap terapi urutan bayi amat tinggi dan dianggap sebagai keperluan penting yang perlu disediakan seseorang ibu sebelum melahirkan anak.

“Berbanding masyarakat negara ini yang menganggap mengurut adalah sesuatu yang tradisional dan hanya bidan sahaja boleh melakukannya, di Taiwan mereka boleh mendapatkan terapi urutan bayi di hospital dan pusat kesihatan kanak-kanak.

“Masyarakat di sana sudah mula menerima dan menyedari akan kebaikannya kepada anak kecil.

“Bahkan, kerajaan juga amat menyokong ibu bapa yang ingin mempelajari teknik urutan bayi sehingga mereka menawarkan insentif kerana mahu menggalakkan terapi tersebut seawal usia bayi,” katanya yang berpeluang menyertai konvensyen urutan bayi di Taiwan, baru-baru ini.

Menganggotai Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa, Nur Shazren, berkata, urutan bayi dapat membantu bayi membesar menjadi lebih sihat selain memberi kebaikan dari segi perkembangan fizikal dan mental.

Katanya, urutan bayi seeloknya bermula sebaik saja bayi dilahirkan dan tiada had umur had untuk melakukannya terpulang kepada keselesaan anak tersebut.

Terapi ini juga dapat memperkuatkan daya ketahanan melawan penyakit, selain mencergaskan bayi.

Ujarnya, ada segelintir ibu bapa di negara ini sedar akan kebaikan urutan bayi, tetapi menyerahkan tugas itu kepada juruterapi di spa bayi .

Baginya, langkah itu agak merugikan kerana kebaikan urutan bayi tidak terhad kepada kesihatan semata-mata.

“Sentuhan ibu yang penuh kelembutan dan kasih sayang yang sebenarnya melengkapkan lagi pertumbuhan mental dan fizikal si bayi. Ini kerana sentuhan adalah ekspresi fizikal yang mampu membentuk ikatan perhubungan semula jadi antara ibu dan anak.

“Percakapan dan hubungan mata yang dilakukan antara ibu bapa dan bayi semasa mengurut mengeratkan hubungan mereka.

“Apabila ibu menyentuh bayi mereka, secara automatik si bayi akan mengeluarkan hormon gembira dan menurunkan hormon tekanan.

“Dalam tempoh ini, hormon tersebut akan membantu dalam perkembangan sel-sel otak bayi yang sedang aktif,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Nilai, Negeri Sembilan.

Nur Shazren menambah, jika si ibu bekerja, masa dengan anak sudah tentu agak kurang.

Disebabkan masa yang terhad ini, digalakkan supaya si ibu mempraktikkan terapi urutan dengan meluangkan masa antara lima hingga 10 minit sebagai salah satu bentuk komunikasi bersama anak, terutama sebelum anak tidur.

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, terapi urutan juga mampu membantu melegakan masalah kesihatan biasa anak kecil seperti selesema, kembung perut, dan batuk, selain membentuk corak tidur bayi lebih baik.

Katanya, dahulu dia juga sama seperti ibu-ibu lain tidak mengetahui tentang kebaikan terapi urutan, sehinggalah diuji dengan masalah kesihatan anak sulungnya.

Pada usia empat tahun, anak sulungnya mendapat serangan sawan yang sangat teruk tanpa diketahui puncanya. Doktor mencadangkan pembedahan otak ke atas anaknya, namun dia dan suami menolak kerana memikirkan risiko tinggi yang bakal dihadapi.

“Saya berusaha mencari alternatif dan ketika itulah saya mengetahui tentang terapi urutan. Apabila melihat kembali kejadian yang menimpa anak saya, sebenarnya dia pernah mengalami trauma.

“Trauma pula berkait rapat dengan emosi, jadi saya perlu merawat emosinya terlebih dahulu. Ketika itu baru saya tahu untuk bantu anak dari segi emosi, saya perlu menggunakan teknik terapi sentuhan.

“Lebih setahun setengah saya mempraktikkannya pada anak saya, dengan menggabungkan bersama rawatan homeopati. Akhirnya, saya dapat melihat perubahan yang berlaku,” katanya.

Dia kemudian mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang terapi dan psikologi kanak-kanak di School of Natural Health Science, United Kingdom.

Nur Shazren mahu menggunakan kepakarannya dalam terapi urutan bayi untuk membantu ibu bapa.

Melalui laman sesawang sentuhanibu.com, dia berkongsi teknik-teknik urutan, selain menganjurkan pelbagai bengkel dan kelas untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan urutan bayi.

“Alhamdulillah, kini sudah ada beberapa hospital yang menawarkan pakej urutan bayi untuk ibu yang baru bersalin. Ini sekurang-kurangnya dapat mempromosikan urutan bayi sebagai unsur paling penting dalam penjagaan bayi baru lahir sama seperti penyusuan ibu.

“Saya berharap tidak terhenti begitu sahaja kerana si ibu juga perlu mempraktikkan secara konsisten kepada bayi mereka agar kebaikan yang diperoleh membantu bayi berkembang dalam pelbagai cara yang positif,” katanya.