Laporan tersebut menyatakan pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menemui cacing mati dalam produk dari negara China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Hasil analisis Kementerian Kesihatan mendapati dua keluaran sardin dari negara China tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Tin sardin berperisa tomato berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd. dan TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Food Co. Ltd. tidak mematuhi akta makanan kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengambil tindakan penguatkuasaan yang mana syarikat pengimport terlibat diarah memanggil balik produk tersebut,

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat atau hubungi Kementerian Kesihatan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. - UTUSAN ONLINE