Namun, kajian oleh Universiti Eastern Finland baru-baru ini menunjukkan yang jumlah pengambilan makanan berkoleseterol tinggi di dalam diet harian atau memakan satu hidangan telur ayam setiap hari tidak ada kena-mengena dengan peningkatan risiko insiden penyakit jantung koronari.

Malah, Jawatankuasa Penasihat Garis Panduan Pemakanan Amerika baru-baru ini memutuskan untuk menggugurkan amaran berkenaan mengambil makanan berkolesterol tinggi, satu langkah yang memadam usaha kerajaan memberi amaran akan bahayanya kolesterol selama hampir 40 tahun.

Penemuan kumpulan tersebut menunjukkan kolesterol dalam diet tidak perlu lagi dianggap sebagai nutrien yang perlu dibimbangkan, kontra dengan penemuan mereka lima tahun lalu yang mana seperti tahun-tahun sebelumnya, pakar menganggap isu kolesterol yang berlebihan dalam diet rakyat Amerika menjadi kebimbangan kesihatan awam.

Penemuan tersebut merupakan evolusi pemikiran ramai pakar nutrisi yang kini percaya, bagi orang dewasa yang sihat, memakan makanan yang tinggi kolesterol mungkin tidak memberi kesan ketara kepada tahap kolesterol dalam darah atau meningkatkan risiko penyakit jantung.

Pakar-pakar percaya yang bahaya lebih besar dalam hal ini bukan terletak pada produk seperti telur, udang atau udang karang yang berkolesterol tinggi, tetapi dari segi penyediaanya yang mengandungi lemak tepu terlalu banyak seperti lemak haiwan, susu penuh dan mentega.

Penyediaan makanan

Menurut Pakar Kardiologi Interventional (Cardiac Pacing & Electrophysiologist), Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Choy Chun Ngok, telur bukanlah ancaman kepada kesihatan jantung, sebaliknya penyediaan dan cara memakannya yang perlu diambil perhatian.

“Banyak kajian telah dibuat yang menunjukkan kolesterol di dalam telur sememangnya tiada kaitan kepada salur darah untuk menyebabkan penykait jantung. Ia sebenarnya lebih kepada cara penyediaan telur tersebut yang mengandungi lemak trans.

Dibanding­kan dengan telur yang direbus dan telur yang digoreng menggunakan marjerin, kedua-dua bahan asas adalah telur cuma bezanya cara penyediaan yang mana rebus sudah tentulah sihat manakala marjerin mengandungi lemak trans yang meningkatkan lagi kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) iaitu kolesterol jahat.

“Lemak tepu dan lemak trans akan menjadi kolesterol jahat,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terangnya, kolesterol di dalam darah terbahagi kepada dua iaitu LDL yang dikaitkan dengan kolesterol jahat dan kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) yang merupakan kolesterol baik.

LDL merupakan punca utama plak yang membuatkan arteri tersumbat manakala tugas HDL pula ialah membuang kolesterol dari dalam darah.

“Lemak pula terbahagi kepada dua iaitu lemak tepu dan lemak tidak tepu.Minyak sayur adalah contoh lemak tidak tepu iaitu dalam bentuk cecair manakala minyak tepu pula dalam bentuk pepejal seperti lemak haiwan.

“Apa yang paling perlu diambil perhatian ialah lemak trans, sejenis lemak dimana proses minyak yang asalnya cair menjadi minyak yang pepejal melalui proses penghidrogenan.

“Marjerin adalah contoh terbaik lemak trans, ia kekal keras walau tidak disimpan di dalam peti sejuk, berbeza dengan mentega. Lemak trans terbukti meningkatkan LDL dan mengurangkan HDL jadi ia amat tidak baik.

Tambahnya, contoh terbaik lain ialah kentang goreng yang banyak dihidangkan di outlet makanan segera. Ujar Dr. Choy, kentang merupakan sumber karbohidrat yang menyihatkan dengan jumlah hidangan tepat, namun cara penyediannya boleh menjadi punca penyakit jantung.

Terangnya, minyak yang digunakan dalam menggoreng kentang tersebut merupakan minyak khas yang bersifat lemak trans kerana lemak trans merupakan lemak istimewa mereka yang diproses untuk menahan haba makan boleh digunakan untuk menggoreng berulang kali.

“Sebab itu kentang goreng outlet makanan segera boleh menjadi penyumbang kolesterol dalam badan kita, bukan kerana kentang sebaliknya cara penyediaan makanan,” ujarnya yang menyarankan orang ramai untuk membuat sendiri kentang goreng di rumah dengan menggantikan cara penyediaannya yang lebih sihat.