“Saya ada sinus kerana selalu alami simptom-simptom ini, rasa tidak selesa,” katanya dengan yakin kepada rakan-rakan sebilik yang rimas dengan perlakuannya membersihkan hidung pada setiap pagi.

Tanpa pengetahuan Aida, perkataan sinus untuk merujuk kepada penyakit yang dihidapi itu salah penggunaannya dan lazimnya, masyarakat di negara ini menggunakan perkataan ini dengan sesuka hati tanpa mengetahui apa maksud sebenar.

Menurut pakar bedah perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Kuljit Singh, sinus sebenarnya merujuk kepada rongga udara anatomi (pada tengkorak wajah), yang mana setiap individu mempunyai empat rongga seumpamanya, iaitu di tepi sebelah kiri dan kanan hidung, dan di dahi, kiri dan kanan.

“Jadi, apabila seseorang itu mengatakan dia mengalami masalah sinus, mereka adalah silap kerana setiap orang memang mempunyai sinus dan rongga ini sebahagian daripada tubuh manusia.

“Masalah atau penyakit yang berkaitan dengan sinus ini sebenarnya dikenali sebagai sinusitis, Mungkin apabila seseorang mengalami simptom-simptom hidung berair, tersumbat dan gatal, terus terlintas dalam fikiran mereka mengalami simptom-simptom sinusitis.

“Ini juga tidak benar, kerana simptom seperti ini disebabkan oleh alahan (alergi). Ini bermakna apabila seseorang itu bersin dan hidungnya berair atau tersumbat, kemungkinan besar mereka mengalami rinitis alergi atau alahan hidung,” katanya.

Dalam kes sinusitis katanya, biarpun pesakit kebanyakannya akan mendapat simptom-simptom yang sama seperti alahan, tetapi lebih kronik kerana menghidap simptom-simptom akut seperti sakit kepala, sakit di sekitar pipi dan dahi yang terasa berat, selain lelehan kekuningan dan kehijauan dari hidung pada peringkat awal.

Pada kes sinusitis yang terlalu teruk, penghidapnya akan kehilangan deria bau (sukar untuk membau), terasa lelehan di tekak, sakit gigi, demam, batuk, nafas yang berbau dan sakit pada wajah ketika membongkok.

Menurut Dr. Kuljit, alahan hidung adalah perkara yang biasa berlaku kepada masyarakat di negara ini. Biarpun tiada kajian mengenainya, namun hasil daripada pemerhatian doktor daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital mendapati satu daripada lima orang mengalami masalah ini.

Alahan hidung termasuklah mendapatnya daripada persekitaran yang berdebu, karpet, bulu kucing, hama dan sebagainya.

Jika diperinci secara peratusan, hasil pemerhatian doktor, dianggarkan 20 peratus masyarakat di negara ini menghidap alahan hidung, lima peratus menghidap sinusitis dan lima peratus lagi menghidap kedua-duanya iaitu alahan hidung dan sinusitis.

Beritahu Dr. Kuljit, sinusitis terjadi apabila permukaan dalam sinus menjadi bengkak dan menyebabkan ruang rongga itu tersekat daripada pengaliran udara yang membolehkan udara dan cecair yang bertakung di dalam sinus atau rongga udara berkenaan keluar.

Rongga udara berkenaan tersumbat mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya struktur tulang hidung yang kecil, sempit atau bengkok, pencemaran kawasan sekeliling, alahan teruk dan individu merokok yang mengakibatkan jangkitan di dalam rongga.

Jangkitan tersebut menyebabkan rongga tersekat dan tidak membolehkan bendalir di dalam sinus berkenaan keluar dan mengering, menyebabkan jangkitan.

“Sinusitis juga tidak ada kena-mengena dengan makanan yang boleh menyebabkan kegatalan. Mungkin ada orang mengatakan individu yang menghidap sinusitis apabila makan makanan seperti makanan laut boleh menyebabkan kegatalan kepada hidung, sekitar wajah dan mata.

“Tetapi sebenarnya, mereka ini boleh makan makanan laut, tetapi sekiranya individu itu memang mempunyai alahan kepada makanan berkenaan, itu yang membuatkan anda harus mengelakkan daripada makan makanan itu,” katanya.

Cara rawatan

Dr. Kuljit Singh memberitahu, apabila pesakit ingin mendapatkan rawatan bagi penyakit sinusitis yang dihidapinya, langkah pertama yang akan dilakukan doktor akan bertanya dahulu mengenai sejarah penyakit berkenaan kepada si penghidapnya.

Jika pasti ia adalah alahan dan bukan sinusitis, doktor akan memberi ubat seperti ubat sembur dalam hidung dan ubat makan.

“Sekiranya dipastikan penghidap sinustitis, doktor akan memberi ubat dahulu kepada pesakit dan akan dipantau selama dua hingga tiga minggu. Kalau pesakit boleh baik, itu sudah mencukupi, namun sekiranya tidak doktor akan siasat lagi,” katanya.

Selain itu, pembedahan juga akan dilakukan sekiranya pengambilan ubat tidak memberikan sebarang kesan. Prinsip untuk melakukan pembedahan ialah untuk menjadikan sinus itu berfungsi semula dengan ‘membuka’ semula rongga udara yang tertutup tadi.

“Salah satu kaedah ialah menerusi cara fess, iaitu bagaimana doktor menggerudi menggunakan sebuah alat bagi membuka semula rongga yang tertutup.

“Cara lain ialah dengan menggunakan kaedah ‘belon’, iaitu membuka semula ruang rongga yang tertutup dengan menggunakan teknologi perubatan yang telah digunakan sejak 15 tahun lalu.

“Kaedah ini memang agak mahal, tetapi berkesan. Mungkin dengan pemberian ubat sahaja sinusitis ini berpotensi akan berulang kembali, namun teknologi belon ini cara terbaik untuk menyembuhkan sinusitis,” katanya.