Sesak nafas atau berasa susah hendak bernafas boleh menyebabkan cecair di dalam badan berkumpul di dalam paru-paru, yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa tercungap-cungap semasa melakukan aktiviti harian.

Ini merupakan salah satu daripada simptom biasa sakit jantung.

Kegagalan jantung adalah situasi perubatan yang serius, iaitu jantung tidak mengepam cukup darah di dalam tubuh seperti yang sepatutnya disebabkan kelemahan otot-otot jantung.

Ini bermakna tubuh tidak dapat mengalirkan cukup oksigen dan khasiat makanan bagi tubuh supaya dapat berfungsi dengan normal. Keadaan itu mungkin menyebabkan anda berasa letih dan lesu.

Ini juga bermakna anda tidak dapat mengeluarkan bahan buangan dari tubuh dengan betul, yang membawa kepada pengumpulan cecair di dalam paru-paru dan bahagian lain tubuh seperti kaki dan abdomen.

Walaupun keadaan ini dikatakan sebagai ‘kegagalan’ jantung, tidak bermakna bahawa jantung akan berhenti berfungsi atau menghadapi masalah bagi memenuhi keperluan tubuh terutama semasa aktiviti fizikal.

Kegagalan jantung boleh terjadi pada setiap peringkat umur, tetapi lebih kerap berlaku semasa umur meningkat.

Sekitar satu peratus mereka yang berumur di bawah 65 tahun menghidap kegagalan jantung. Angka ini meningkat pada tujuh peratus bagi yang berumur 75 hingga 84 tahun dan meningkat lagi menjadi 15 peratus bagi mereka yang berumur lebih 85 tahun. Kegagalan jantung menjadi sebab utama kemasukan ke hospital bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun.

Nisbah pesakit kegagalan jantung adalah antara tiga hingga 20 orang bagi setiap 1,000 orang, walaupun nisbah bagi mereka yang berumur lebih 65 tahun mungkin lebih tinggi, iaitu 100 orang bagi setiap 1,000 orang.

simptom kegagalan jantung

Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Runding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abd Rahim, berkata, pada awalnya mungkin seseorang itu tidak mengalami sebarang simptom mengenai kegagalan jantung.

Bagaimanapun kemudiannya, jantung dan tubuh mungkin mengalami tanda-tanda kegagalan jantung kerana jantung mengepam lebih laju dan mengepam lebih banyak darah pada setiap degupan.

“Sementara jantung berusaha mengepam cukup darah ke seluruh tubuh, simptom kegagalan jantung mula dapat dilihat. Simptom ini boleh menjadi lebih teruk atau berubah jika kegagalan jantung semakin teruk.

“Pada peringkat awal, pesakit mungkin mudah berasa penat, susah bernafas jika terlalu penat, jantung berdegup kencang dan berasa lemah atau pening.

“Apabila kegagalan jantung menjadi semakin teruk, cecair mula berkumpul pada paru-paru dan bahagian tubuh yang lain.

“Ini boleh menyebabkan pesakit berasa sukar bernafas walaupun sedang berehat, edema (membengkak) pada kaki dan buku lali, naik berat badan (ini boleh berlaku dalam masa sehari atau dua hari, atau lebih perlahan), batuk atau mendesah, terutama apabila baring, kerap membuang air kecil waktu malam dan berasa kembung atau sakit perut.

“Kegagalan jantung adalah keadaan yang kronik dan serius yang boleh menjurus kepada keadaan lebih teruk. Ia juga berkemungkinan boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Perkembangan kegagalan jantung sukar diramalkan dan berbeza daripada seorang kepada yang lain.

“Ramai orang tidak tahu bahawa kegagalan jantung lebih berbahaya daripada sesetengah kanser dan Malaysia mempunyai kadar penyakit kardiovaskular yang tinggi.

“Rakyat Malaysia menyangka, penyakit ini hanya berlaku kepada generasi lebih tua sedangkan hakikatnya, usia purata individu Asia diserang kegagalan jantung adalah rendah.

“Kegagalan jantung adalah punca utama kemasukan ke hospital mewakili kira-kira 6-10 peratus daripada semua kemasukan hospital perubatan akut di Malaysia.

“Lebih membimbangkan, separuh daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung meninggal dunia dalam masa lima tahun.

“Dengan meningkatkan kesedaran terhadap kegagalan jantung, kami berharap untuk menambah kefahaman tentang penyakit dan pengurusannya bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada pesakit supaya mereka boleh menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” ujarnya semasa bengkel media bertajuk Kegagalan Jantung - Lindungi Jantung Anda, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Dr. Azai Azan, dalam banyak kes, simptom kegagalan jantung akan kekal pada tahap stabil bagi jangka masa tertentu (bulan atau tahun) sebelum menjadi teruk.

Bagi sesetengah kes, keadaan akan menjadi lebih teruk atau menimbulkan trauma kesihatan yang lain seperti serangan jantung , kecelaruan degupan jantung atau jangkitan paru-paru.

Keadaan yang lebih akut biasanya akan memberikan tindak balas kepada rawatan. Apa yang lebih penting ialah memahami bahawa pengurusan diri yang baik bukan sahaja meredakan simptom, tetapi boleh memperbaiki prognosis dan menyelamatkan nyawa.

Doktor anda akan mencuba merawat keadaan anda menggunakan kombinasi rawatan perubatan dan perubahan pada gaya hidup anda.

Doktor akan mengesan masalah kegagalan jantung melalui ujian menyeluruh dan akan bertanya anda mengenai simptom yang anda alami, sejarah perubatan anda dan gaya hidup anda.

Adalah penting anda menjawab setiap soalan dengan jujur dan tepat supaya doktor boleh membuat diagnosis yang tepat dan boleh memberikan anda rawatan terbaik.

Katanya, rawatan bagi kegagalan jantung bergantung kepada jenis dan tahap keadaan tersebut.

Sasaran rawatan bagi semua jenis tahap kegagalan jantung termasuklah merawat punca di sebalik penyakit tersebut seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi atau kencing manis, mencuba mengurangkan kegagalan jantung daripada menjadi semakin serius dan menghalang daripada kemasukan ke hospital, meningkatkan kadar usia dan memperbaiki kualiti kehidupan.

Fakta

Kawal jumlah lemak dalam diet. Makan terlalu banyak makanan berlemak boleh meningkatkan kandungan lemak dan kolesterol dalam darah.

Pembendungan air dan garam, yang terjadi akibat makan terlalu banyak makanan masin atau karbohidrat bertapis seperti roti putih dan nasi turut boleh meningkatkan tekanan jantung.

Air yang berlebihan mungkin akan ditolak ke dalam paru-paru yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, Jika di dalam perut akan menyukarkan anda makan dan memproses makanan, atau mungkin ke bahagian bawah kaki.


Walaupun tubuh memerlukan garam untuk berfungsi, hanya sedikit sahaja yang diperlukan dan kebanyakan makanan mengandungi garam semula jadi.

Kegagalan jantung menyebabkan tubuh anda menyimpan garam dan air berlebihan dan menjadikan tubuh mempunyai banyak cecair. Cecair berlebihan ini menyebabkan bengkak pada buku lali, kaki dan perut dan menjadikan anda nampak gemuk.

Wujud salah tanggapan serius dan jurang ilmu pengetahuan berkaitan kegagalan jantung.

Akibatnya, Naib Pengarah Jabatan Kardiologi, Universiti Perubatan Charite CVK di Berlin, Jerman, Prof. Carsten Tshope berkata, sejumlah besar kematian awal masih berlaku.

“Kegagalan jantung menjejaskan kehidupan pesakit dengan ketara kerana mereka lazimnya tiada pengetahuan mengenai penyakit dan cara menguruskannya dengan sewajarnya.

“Gejala paling umum ialah sesak nafas, kelesuan dan bengkak buku lali yang mungkin berbeza mengikut individu sering disalah anggap sebagai tanda-tanda penuaan atau kurang cergas, bukannya ada kaitan dengan jantung.

“Pengetahuan dan kefahaman yang lebih baik tentang gejala-gejalanya akan mendorong pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat lebih awal membolehkan diagnosis lebih tepat dibuat lantas mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” katanya.

Tambahnya, berbanding dengan negara-negara Barat, kegagalan jantung bagi pesakit di Asia Tenggara berlaku pada usia lebih muda.

Ini menimbulkan ciri klinikal lebih teruk dengan faktor risiko vaskular seperti hipertensi, kegemukan dan diabetes.

Kajian menunjukkan bahawa usia pesakit Asia yang mengalami kegagalan jantung stabil juga sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit Eropah.

Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini.