Malaysia merupakan antara negara di dunia yang mana penularan HIV dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah. Penagih dadah jenis suntikan (IDU) merupakan majoriti kes terkumpul HIV di negara ini, iaitu 62 peratus.

Laporan yang diterbitkan oleh Majlis AIDS Malaysia (MAC) baru-baru ini, sebanyak 111,916 orang telah dijangkiti virus berkenaan yang melibatkan 18,827 kematian dari 1986 sehingga tahun lalu.

Daripada jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti, sebanyak 99,338 orang daripadanya adalah lelaki (89 peratus), manakala 12,578 (11 peratus) golongan wanita, dengan 1,146 ialah kanak-kanak bawah umur 13 tahun.

Dilaporkan juga, 68,392 ialah mereka yang dijangkiti menerusi penggunaan dadah jenis suntikan dan mereka yang dijangkiti HIV menerusi hubungan seksual sepanjang tiga dekad itu berjumlah 33,206 orang.

Menurut Bendahari Kehormat Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Datuk Maznah Abdul Jalil, pada 2016 sebanyak 3,397 jangkitan baru telah dilaporkan dengan 2,984 merupakan golongan lelaki, manakala 413 jangkitan membabitkan wanita dan 15 kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

Selain itu, sebanyak 911 kes membabitkan kematian pada tahun berkenaan.

Sepanjang tempoh itu katanya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama MAC dalam memastikan pencegahan serta penularan HIV.

“Antara langkah baharu yang diambil oleh pihak kerajaan dalam menangani masalah penularan HIV khususnya dalam kalangan penagih dadah dan pasangan seks mereka, ialah program pengurangan mudarat.

“Ia melibatkan program pendidikan bahaya mengenai dadah, program pertukaran jarum dan terapi gantian metadon bermula pada 2005.

“Hasilnya, penularan HIV dalam kalangan masyarakat setakat ini semakin menunjukkan penurunan dari segi peratusan sehingga 60 peratus pada tahun lalu jika dibandingkan pada 2002 iaitu dari 28.4 orang kepada 11.00 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

“Tahun 2002, merupakan tahun epidemik kerana menunjukkan peningkatan tertinggi penularan HIV,” katanya pada sidang media Nostalgia Nasi Lemak di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur.

Jelas Maznah, biarpun terdapat penurunan jangkitan menerusi penagihan dadah jenis suntikan jika dilihat pada 2005, iaitu 4,038 kes (66 peratus) kepada hanya 377 kes (11 peratus) kes pada 2016.

Namun, jangkitan virus ini masih ditahap tinggi menerusi hubungan seksual sama ada secara heteroseksual (1,311) dan homoseksual atau biseksual sebanyak 1,553 orang iaitu 84 peratus.

“Apa yang menggusarkan tentang trend terkini penularan jangkitan HIV bagi kes-kes baharu, ialah jangkitan dalam kalangan wanita tidak menunjukkan penurunan mahupun pergerakan yang perlahan di sebalik penurunan yang ketara dalam setiap kes HIV sejak berdekad-dekad lalu.

“Apa yang kita khuatiri kini, suri rumah dan wanita merupakan kumpulan sosial yang berisiko tinggi dijangkiti HIV. Golongan yang sebelum ini difikirkan peratusannya berkecenderungan untuk menurun, menyumbang sebanyak 1 bagi setiap tiga kes daripada jumlah kes terkumpul 12,578,” katanya.

Kata Maznah, wanita berhadapan dengan risiko tertinggi jangkitan mudah bagi HIV. Golongan ini yang lebih cenderung berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan suasana, pemalu, terpaksa berhadapan dengan stigma masyarakat dan kemiskinan, meletakkan mereka dalam situasi yang perlu ‘diselamatkan’, diberikan penjagaan, perlu ubat-ubatan dan sokongan masyarakat.

“Kita tidak boleh terima wanita terutama isteri yang dijangkiti HIV daripada suami mereka ini, hidup dalam persembunyian dan menderita dalam senyap.

“Suri rumah ini kadangkala terlalu naif, tidak mengtahui mereka dijangkiti HIV menerusi suami. Mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh suami, yang curang di belakang mereka.Terlalu percaya suami, enggan bertanya sekiranya mengesyaki sesuatu, kurang pengetahuan mengenai HIV dan sebagainya,” katanya.