perkara itu boleh dielakkan terutama pada bulan Ramadan kerana bulan ini tidak hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi puasa juga merupakan ujian psikologikal untuk manusia. Secara tidak langsung, ia boleh mengurangkan risiko serangan jantung.

Menurut Pakar Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Zul Hilmi Yaakob, berpuasa juga boleh membantu mengurangkan risiko serangan jantung kerana tabiat pemakanan yang lebih berjaga-jaga dan teratur.

Bahkan, ramai perokok yang mampu menahan diri daripada merokok walaupun ia sangat sukar untuk dilakukan pada waktu yang lain.

“Apabila seseorang itu mengawal pemakanan, dia dapat mengawal kolestrol, kandungan gula dan tekanan darah. Ketiga-tiga ini merupakan faktor utama jantung. Ini kerana corak pemakanan tidak sihat itu tanpa disedari boleh menyumbang kepada risiko obesiti yang berkait rapat dengan penyakit jantung.

“Lemak badan yang berlebihan akan terkumpul di sekeliling jantung dan seterusnya mengganggu saluran darah. Pembuluh darah yang tersumbat akan menyukarkan oksigen sampai ke jantung lalu mengakibatkan strok dan serangan sakit jantung,” katanya.

Secara amnya, tiada masalah buat mereka untuk berpuasa. Malah terdapat kajian dari negara-negara di Asia Barat terhadap pesakit jantung yang menunjukkan bahawa bulan Ramadan mempengaruhi paras kolesterol darah terutamanya dalam menurunkan kolesterol tidak baik (LDL) dan meningkatkan paras kolesterol baik (HDL) yang boleh mengurangkan dan me- ngawal risiko serangan jantung.

Namun, kita perlu ingat bahawa penyakit jantung mempunyai pelbagai kategori. Paling berisiko untuk menghidap komplikasi ketika berpuasa adalah pesakit yang menghidap lemah jantung. Mereka dibolehkan berpuasa tetapi perlu berjaga-jaga mengawal penyakit ini.

“Sebaik-baiknya pesakit jantung dinasihatkan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebulan sebelum berpuasa bagi memastikan sama ada mereka boleh berpuasa atau sebaliknya kerana setiap pesakit mempunyai cabaran tersendiri dan berbeza antara satu sama lain,” jelasnya.

Tambahnya, doktor juga akan menasihatkan ubat yang boleh ditinggalkan dan perlu diambil berterusan atau ubat yang perlu diubah suai, kerana berpuasa agak panjang.

Dr. Zul memberitahu, bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung akibat saluran darah tersumbat, perlu meneruskan pengambilan ubat mereka. Misalnya, waktu pagi makan ubat sebelum sahur dan petang selepas berbuka puasa.

Puasa juga boleh menurun–kan kadar gula dalam darah, kolesterol dan mengendalikan tekanan darah. Itulah sebabnya, puasa berpotensi dalam membantu mengawal penyakit diabetes, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi.

Dalam pada itu, Dr. Zul menasihatkan orang ramai yang ghairah memilih menu untuk berbuka puasa supaya mengurangkan makanan bergula dan memisahkan menu waktu berbuka dan makan malam.

“Untuk berbuka, sebaik-baiknya kita hanya memilih makanan ringan seperti kurma. Kemudian, solat Maghrib dan selepas itu makan malam. Bagi mereka yang berisiko dengan pelbagai penyakit, sebaik-baiknya elakkan makan lewat malam se–perti moreh. Namun, saya galakkan pengambilan serat yang berat untuk sahur kerana kita memerlukan tenaga pada siang hari,” katanya.

Cara terbaik mengelak berat badan berlebihan ialah kurangkan makan. Jangan terjadi seperti sesetengah orang yang menjadi lebih gemuk pada bulan Ramadan. Nafsu makannya melebihi daripada biasa, terutama ketika berbuka.

Amalan berpuasa berkesan sebagai satu kaedah perawatan dan menjaga kesihatan yang terbaik. Jika telah menghidap penyakit, kita kena berpuasa sepanjang masa daripada memakan jenis makanan tertentu. Contohnya, orang menghidap penyakit kencing manis tidak berpeluang lagi untuk memakan makanan yang manis.

Pepatah Arab ada mengatakan: “Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar.”