Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Produk kosmetik bahaya kepada kanak-kanak

Produk kosmetik bahaya kepada kanak-kanak 4

KULIT merupakan organ terbesar pada tubuh manusia yang bertindak sebagai pelindung dari sebarang ancaman luaran.

Selain mengandungi sel istimewa untuk sistem ketahanan badan manusia, kulit berfungsi sebagai pelindung radiasi dan jangkitan di mana melanin pigmen yang terkandung di dalamnya bertindak dalam situasi berbeza.

Oleh demikian ibu bapa terutama seharusnya mengetahui bahawa kulit anak-anak berbeza berbanding dengan orang dewasa.

Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti oleh penyakit kulit kerana kulit mereka yang lebih lembut dan sensitif akan lebih terdedah kepada jangkitan pelbagai kuman.

Disebabkan alasan ini juga, ibu diminta  berhati-hati ketika memakaikan produk kosmetik kepada anak-anak mereka.

Ini kerana, produk kosmetik dewasa sebenarnya tidak sesuai untuk kulit kanak-kanak yang boleh mengakibatkan pelbagai kemudaratan dan alahan pada kesihatan.

Menurut Pakar Estetik, Dr. Riza Hartini Razali, komponen-komponen yang terkandung dalam produk kosmetik dewasa boleh mengakibatkan dan menimbulkan pelbagai simptom alergi dan alahan pada kanak-kanak.

Katanya lagi, ini kerana terdapat pelbagai jenis campuran yang terkandung dalam produk kosmetik tersebut termasuklah pelbagai jenis bahan pewarna.

“Anak-anak kecil sebenarnya tidak sesuai untuk dipakaikan produk kosmetik kerana kadar metabolisme mereka tinggi jika hendak dibandingkan dengan orang dewasa.

“Disebabkan inilah sekiranya mereka dipakaikan produk kosmetik, kadar penyerapan lebih cepat, tinggi, dan akan menyerap terus ke dalam sistem badan.

“Dan untuk pengetahuan, kulit kanak-kanak akan menyerap hampir 100 peratus bahan-bahan ini (bahan kimia) kerana sistem imunisasi mereka belum matang dan tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana tidak. 

“Jadi badan anak-anak ini akan mendapat kesan serta merta,” ujarnya ketika ditemui Mega Rona di spa kecantikannya di Plaza Usahawan, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Riza Hartini berkata, kulit kanak-kanak sebenarnya tidak sama jika hendak dibandingkan dengan kulit orang dewasa kerana kulit kanak-kanak lebih nipis.

Jadi sekiranya kulit orang dewasa juga boleh mengalami pelbagai masalah  apabila memakai produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan tersebut, bayangkan apa akan terjadi pada kulit kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam produk kosmetik juga boleh menyebabkan kanak-kanak ini menghadapi masalah alahan atau iritasi, penyakit kulit seperti ekzema, kerengsaan saluran pernafasan dan mata, keracunan dan tidak ketinggalan masalah pada sistem penghadaman.

Menurut Dr. Riza Hartini lagi, sesetengah kosmetik dewasa turut mengandungi hormon-hormon yang boleh mengganggu kematangan seksual kanak-kanak dan agen perosak hormon yang boleh menyebabkan kerosakan hormon di dalam badan.

“Kanak-kanak masih berada dalam fasa pertumbuhan, iaitu  badan mereka masih lagi dalam proses tumbesaran.

“Sekiranya kulit mereka didedahkan terlalu awal dengan bahan-bahan ini (bahan kimia),  akan mengganggu pertumbuhan dari segi fizikal dan  otak.

“Memang tidak ada kajian khusus yang membuktikan bahan kimia ini boleh menyebabkan kanser atau pelbagai lagi penyakit berbahaya, tetapi jika dilihat kepada pesakit-pesakit kanser yang sedia ada, lazimnya kandungan darah mereka mengandungi bahan-bahan kimia ini,” ulasnya lanjut.

Dr. Riza Hartini memberitahu, antara kandungan bahan kimia berbahaya yang sering digunakan di dalam produk kosmetik dewasa ialah merkuri, paraben, dan hidrokuinon.

Oleh demikian, langkah yang terbaik adalah jangan sesekali membenarkan anak-anak menggunakan kosmetik dewasa.

Sekiranya masih mahu menggunakannya, ibu harus lebih peka dalam memilih produk–produk yang mesra kanak-kanak, semula jadi dan selamat.

Untuk lebih selamat, hari ini ibu-ibu boleh menguji produk kosmetik dengan penguji merkuri mudah alih bagi mengetahui tahap kandungan merkuri yang terdapat di dalam sesuatu produk kosmetik.

Sememangnya amat sukar bagi kita mengelak daripada bahan-bahan ini kerana kewujudannya sangat berleluasa.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan