Sebaliknya, ada doktor seperti Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy yang sangat berbakat dalam bidang penulisan. Malah, beliau juga sangat aktif berkarya sejak di bangku sekolah lagi.

Sudah banyak puisi, cerpen, novel serta cerita tentang pengalamannya sebagai doktor dibukukan. Justeru, pemilik nama pena Fahd Razy ini cukup dikenali dalam dunia kesusasteraan tanah air. Bagi Fahd, perbezaan bidang sains dan kesusasteraan telah menarik perhatian beliau bagi menceburi dua bidang itu serentak. Ia juga telah banyak mencetuskan inspirasi kepadanya untuk menulis.

Menurut lulusan bidang perubatan dari Royal College of Surgeon, Dublin, Ireland ini, kebebasan dalam melontarkan idea serta kreativiti sewaktu menulis turut mengheretnya dalam bidang itu.

“Bidang sains dan matematik antaranya berkaitan dengan soal ketepatan, manakala dunia kesusasteraan pula lebih longgar yang memberi kebebasan kepada pengkaryanya untuk berkarya.

“Apatah lagi, bahagian otak yang berfungsi menentukan soal logik akal dan bahagian yang mencetuskan kreativiti berada pada bahagian berbeza. Inilah yang menarik minat saya dalam bidang ini,” katanya.

Ujar doktor perubatan berusia 33 tahun ini, latar pendidikan dalam bidang sains dan minat mendalam dalam dunia penulisan telah mendorongnya menghasilkan gaya penulisan unik.

Apatah lagi, dengan tugasan seharian beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu berdepan pelbagai masalah dan ragam pesakit turut mencetuskan inspirasi kepadanya untuk menulis pelbagai cerita.

Kata Fahd, pengalaman berharga yang dikongsinya itu secara tidak langsung telah membantu menambahkan kepelbagaian jalan cerita dalam genre-genre sastera yang ditulisnya selama ini.

“Pesakit saya datang daripada pelbagai latar belakang berbeza. Ada yang menghidap penyakit kronik, ada yang menghadapi masalah keluarga dan sebagainya. Semua itu adalah idea.

“Daripada situlah saya dapat idea atau inspirasi untuk menulis dalam bentuk puisi ataupun cerpen. Saya juga ada menulis buku tentang dunia perubatan yang ada kaitan dengan pesakit dan penyakit mereka,” ujarnya.

Menyorot pembabitan awalnya dalam bidang penulisan, anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, ia bermula sewaktu beliau menuntut di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur lebih sedekad lalu.

Fahd tidak boleh melupakan peranan serta jasa guru bahasa Melayu di sekolah itu, Shamsudin Osman yang banyak memberi galakan dan tunjuk ajar sehingga hatinya terpaut dalam bidang ini.

Ditambah dengan sokongan moral daripada kawan-kawan serta keluarga yang seolah-olah dapat ‘menghidu’ bakatnya hingga berada pada tahap ini.

“Cikgu Shamsudin Osman adalah antara individu yang banyak memberi galakan kepada saya dalam bidang ini. Beliau menjadi guru bahasa Melayu dan telah menarik minat saya terbabit dalam dunia sastera.

“Ketika di tingkatan empat misalnya, saya telah mengikuti program Minggu Penulis Muda (MPR) atas galakan beliau. Dalam bengkel selama seminggu itu, saya banyak belajar tentang teknik-teknik menulis,” katanya.

Dalam bengkel tersebut, beliau banyak bergaul dengan ramai penulis muda ketika itu termasuklah Hizairi Othman, Salina Ibrahim dan Faizal Tehrani yang tidak lokek berkongsi ilmu.

Ternyata tidak sia-sia minat dan kecenderungan beliau dalam bidang kesusasteraan biarpun pada masa sama masih mampu mengekalkan kerjaya hakikinya sebagai seorang doktor di hospital kerajaan.

Ini terbukti apabila sejak lebih 10 tahun terbabit dalam dunia penulisan banyak puisi, cerpen, novel dan buku beliau yang telah menemui para pembaca dan mendapat sambutan baik.

Beliau yang merupakan salah seorang pemenang pertandingan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tidak lama dulu, antaranya pernah muncul dengan novel popular bertajuk Tanah Tanpa. Karya-karya beliau yang lain termasuk Ilham Kembara: 21 Catatan Kembara, Menggeledah Nurani, Ikan Dalam Jiwa, Izrail Sibuk Di Gaza dan juga Pasca Sejarah yang juga telah mempopularkan namanya.

Biarpun dalam kesibukan tugas sehariannya menyantuni para pesakit di hospital, namun bapa kepada tiga orang anak ini tetap sentiasa cuba meluangkan masa lapangnya untuk menulis demi memenuhi minatnya itu.

“Kata orang, kalau minat orang akan buat apa sahaja. Sibuk atau tiada masa bukan menjadi alasan. Sama juga dengan menulis. Apabila ada idea dan cerita, rugi kalau ia terbiar begitu sahaja.

“Sebab itu, saya akan terus berkarya selagi terdaya. Ini kerana, melalui menulis saya juga menyumbang kepada masyarakat dengan pengalaman saya, sama juga sebagai doktor,” ujarnya.