HILMI YAHYA
HILMI YAHYA

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahaya berkata, berdasarkan kajian Penyelidikan Klinikal dijalankan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) mendapati wujud peningkatan bilangan pesakit menghidap kanser usus berpunca daripada masalah penghadaman yang tidak teratur.

Beliau berkata, peningkatan bilangan pesakit itu secara langsung mendorong Kementerian Kesihatan menyediakan kit ujian rawatan penyakit usus di semua klinik kesihatan awam di seluruh negara sebagai langkah awal mencegah penyakit berkaitan usus.

“Hasil kajian kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Perunding Gastroenterologi Kanan, Profesor Dr. Raja Affendi Raja Ali telah mendapati bukan sahaja bilangan pesakit kanser usus meningkat saban tahun, malahan amalan kesihatan yang tidak seimbang turut mendorong kepada peningkatan jumlah penghidapnya.

“Lebih penting, masalah penghadaman yang menjadi punca kepada barah usus boleh dicegah dengan pengambilan susu berkultur mengandungi Lactobacillus Acidophilus dan Lactobacillus Casei yang terbukti mempunyai faedah kesihatan termasuk mengawal kadar jangkitan kanser usus yang kini banyak menjangkiti rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dan Timbalan Pengarah Urusan Vitagen, Micheal Thio.

Sambutan kali kesembilan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia turut mendapat kerjasama dari Vitagensebagai antara pengeluar utama minuman susu kultur di Malaysia. - UTUSAN ONLINE