Biasanya pembedahan kelenjar tiroid secara tradisional memakan masa yang agak lama dan rumit tetapi masih menjadi cara rawatan kelenjar tiroid yang terpilih untuk mengatasi sebarang masalah berkaitan dengan kelenjar tiroid.

Biasanya pembedahan berkenaan melibatkan potongan kulit yang panjang di bahagian leher. Potongan kulit ini biasanya bukan saja akan menyebabkan parut yang ketara dan tebal tetapi juga akan mengakibatkan kehilangan atau perubahan kulit di bahagian pembedahan yang akan merosakkan rupa paras seseorang. 

Tetapi kini dengan adanya teknologi laparoskopi atau endoskopi atau disebut juga sebagai pembedahan lubang kunci, pembedahan kelenjar tiroid dan paratiroid sudah direvolusikan supaya menjadi lebih mudah, cepat tanpa meninggalkan sebarang parut yang hodoh.

Sejak pembedahan paratiroid and tiroid secara endoskopi diperkenalkan buat pertama kali oleh Gagner and Huscher et al., pelbagai cara pembedahan secara endoskopi sudah dicuba dan dipromosikan, termasuk cara pembedahan melalui leher, ketiak, payudara serta depan dada.

Pakar Bedah Laparaskopik, Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Johor, Dr. Lam Ruey Shyang berkata, pembedahan tiroid secara endoskopi mula-mula dibuat pada pesakit yang mengalami bengkak kelenjar tiroid yang bukan kanser.

“Jadi dengan berkembangnya ilmu serta pengalaman pembedahan ini, jenis pembedahan endoskopi sudah dilanjutkan kepada kes-kes kanser tiroid terutama yang masih di peringkat awal.

“Pembedahan kelenjar tiroid melibatkan pembedahan sebahagian ataupun seluruh bahagian kelenjar tiroid,” katanya.

Kelenjar tiroid berbentuk rama-rama, terletak di bahagian bawah depan leher. Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang penting untuk kesihatan badan serta metabolisma badan. Hormon ini mempunyai pengaruh penting untuk pelbagai aktiviti sel-sel badan, termasuk kelajuan denyutan jantung serta jumlah kalori atau tenaga yang digunakan.

Dr. Lam berkata, pembedahan kelenjar tiroid biasanya melibatkan masalah kelenjar tiroid seperti kanser, kebengkakan tiroid yang bukan kanser (goiter) dan hyperthyroidism (keadaan penghasilan hormon kelenjar tiroid yang keterlaluan).

“Jumlah kelenjar tiroid yang akan dibedah, bergantung pada sebab pembedahan yang akan dibuat. Kalau sebahagian kelenjar tiroid dibedah iaitu pembedahan tiroid separa, kelenjar tiroid yang tertinggal masih berfungsi menghasilkan hormon untuk keperluan harian.

“Bagaimanapun jika seluruh kelenjar tiroid dibedah iaitu pembedahan tiroid menyeluruh, ubat hormon tiroid perlu dimakan sepanjang masa untuk keperluan harian,” katanya.

Dr. Lam berkata, pembedahan kelenjar tiroid yang menggunakan cara tradisional, adalah berkesan dan selamat. Tetapi pembedahan tradisional melibatkan potongan kulit melintang yang panjang iaitu lebih kurang 7 hingga 10 cm di leher,” katanya.

Oleh sebab masalah kelenjar tiroid kebanyakannya menimpa kaum perempuan, mereka biasanya mendapati kesan atau parut akibat pembedahan tiroid bukan saja tidak selesa tetapi tidak cantik dan mengurangkan keyakinan diri mereka.

Oleh yang demikian, teknik pembedahan laparoskopi atau endoskopi akan memainkan peranan yang semakin penting dalam rawatan kelenjar tiroid dalam kalangan pesakit wanita kerana tidak memakan masa yang lama dan paling penting tidak meninggalkan parut yang hodoh,” katanya.