Kini mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan serius pada muka mempunyai pilihan membetulkan semula kedudukan wajah menghampiri wajah asal menerusi implan muka cetakan-3D.

Pakar Bedah Oral Maksilofasial dan Oral Implantologis, Pusat Perubatan KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur, Dr. Shamsul Anuar Ahmad berkata, pihaknya menggunakan kaedah implan cetakan-3D untuk pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan sama ada untuk mangsa kemalangan atau pesakit yang ingin ‘membaiki’ wajah akibat kecacatan.

Kaedah sama digunakan untuk pembedahan Orthognathic, iaitu membetulkan tulang rahang yang tidak membesar dengan baik.

“Saya pernah merawat pesakit, mangsa kemalangan, telah menjalani pembedahan mencantum tulang muka dan rahang patah tetapi wajahnya masih tidak seimbang menyebabkan pembedahan lanjut perlu dilakukan,” katanya.

Dr. Shamsul menambah, pesakit yang mahu mendapatkan rawatan implan cetakan-3D perlu menjalani prosedur imbasan CT bagi memperolehi analisis tepat patologi pesakit dan menggambarkan sejauh mana kecederaan atau kerosakan ke atas tulang pesakit.

“Gambar imbasan dihantar ke sebuah syarikat perisian untuk dianalisis bagi menghasilkan implan cetakan-3D titanium lengkap sesuai dengan struktur wajah pesakit seperti diingini.

“Sebelum pembedahan gambaran wajah pesakit boleh dilihat di skrin komputer dan boleh diubah mengikut kesesuaian atau wajah asal pesakit. Dengan 3D, doktor boleh memahami anatomi unik pesakit serta hubungan tulang, tisu lembut dan struktur lain. Ini melibatkan penggunaan data imbasan CT pesakit dan membolehkan doktor mencari pendekatan pembedahan terbaik,” jelasnya.

Memulihkan

Prosedur pembedahan dirancang dengan jurutera klinikal dan implan direka serta dihasilkan sesuai dengan ukuran tepat muka pesakit. Implan cetakan-3D memberi sokongan di rahang bawah bagi memulihkan anatomi dan membolehkan tulang bercantum dan pulih dengan baik.

Berbanding implan muka tradisional yang perlu dibentuk semasa pembedahan, implan cetakan 3D lebih tepat mengikut anatomi pesakit dan pada masa sama mengekalkan kekuatan optimum yang tidak menyusahkan pesakit.

Setelah implan lengkap siap, doktor melakukan pembedahan meletakkan titanium untuk menyambung kembali rahang di tempatnya.

“Pembedahan lebih mudah kerana ukuran imbasan CT tepat dan kami hanya perlu meletakkan implan serta skru di tempatnya tanpa mengukur di mana implan perlu diletakkan,” katanya.

Dahulu doktor perlu membuat segala ukuran dan kadangkala ukuran tidak tepat menyebabkan implan diletakkan tidak berada di tempatnya dan hasilnya tidak sebaik diharapkan.

Dengan pembedahan cetakan-3D semua ukuran telah dianalisis dengan tepat bagi memudahkan doktor melakukan pembedahan.

“Pembedahan biasa mengambil masa agak lama tetapi pembedahan cetakan-3D mengambil masa singkat kerana semua ukuran cetakan implan tepat dan sesuai dengan struktur tulang tubuh pesakit.

“Ini memudahkan pertumbuhan semula jadi tulang dan direka untuk menangani perubahan suhu dan tahan impak.

“Memandangkan ia direka khusus untuk seseorang pesakit, ia memudahkan saya membuat implan dan menjimatkan masa di dewan bedah di samping memberi hasil lebih baik,” tambahnya.

Dr. Shamsul berkata, pembedahan sebelum ini menggunakan rujukan X-ray tetapi maklumat diperoleh terhad dan tidak cukup untuk mendapatkan analisis tepat tentang patologi pesakit dan menggambarkan sejauh mana pertumbuhan tumor atau kerosakan ke atas tulang pesakit,

Malah, prosedur pembedahan cetakan 3-D dapat membantu mengurangkan kesakitan dialami pesakit kerana jangka masa di dewan bedah lebih singkat, masa di wad yang lebih pendek.

Menurut Dr. Shamsul, profesion pakar bedah sedang mengalami perubahan dan lebih mengarah kepada penggunaan teknologi. Doktor perlu sentiasa peka dengan kaedah serta pilihan baru.

“Sebagai pakar bedah, jika kita tahu dengan tepat ukuran untuk insisi dan lokasi kerosakan, ini boleh membantu menghasilkan pembedahan yang baik.

“Teknologi perancangan 3D serta cetakan membantu pakar bedah membuat gambaran dan menjangka hasilnya,” katanya.

Bagaimanapun kos pembedahan percetakan 3D agak mahal kerana masih baru dan hanya terhad kepada mangsa kemalangan selain mereka yang melakukan untuk pembedahan membetulkan rahang.