Ya, memang benar melahirkan anak secara pembedahan caesarean tidak sama dengan kelahiran normal. Namun ia tidak sesekali merendahkan tahap seorang ibu yang melalui pembedahan untuk bertemu cahaya matanya. Malah, kesemua kenyataan di atas adalah tidak benar sama sekali. Tidak boleh hendak beranak rapat, tidak boleh lebih dari tiga orang, tidak boleh bersenam sehingga anak berusia dua tahun, kesemuanya adalah mitos.

Pakar Runding Obstrestrik dan Ginekologi KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur, Dr. Patricia Lim Su Lyn berkata, banyak mitos yang berlegar di dunia Internet malah melalui cerita dari mulut ke mulut dan ia perlu ditangani bagi mengelak salah tanggap mengenai kelahiran melalui pembedahan caesarean.

“Ada yang membandingkan ibu yang bersalin secara pembedahan caesarean tidak lengkap pengalamannya kerana tidak merasa sakit bersalin itu membuatkan golongan melalui pembedahan caesarean berkecil hati.

“Sedangkan kedua-dua teknik kelahiran ada sakitnya cuma cara yang berbeza. Walaupun tidak melalui pengalaman sakit meneran, tetapi efeknya kemudian malah selalunya rasa sakit lebih daripada mereka yang melahirkan secara normal terutama tiga hari terawal.

“Banyak faktor kesakitan pembedahan yang berpanjangan dan mungkin lebih dari normal selain akibat potongan, rahim mengecut, malah pembedahan itu juga akan menyebabkan usus mungkin banyak angin kerana bila perut dibedah, ia ada mengacau usus membuatkan angin tersangkut di situ.

“Oleh itu tidak adil membandingkan pengalaman antara pembedahan caesarean dan kelahiran normal, dan mitos ini perlu dibendung,” ujarnya ketika ditemui di Hospital KPJ Tawakkal, baru-baru ini.

Berikut merupakan beberapa contoh mitos mengenai pembedahan caesarean.

- Mitos

“Tidak boleh melahirkan anak lebih tiga kali jika melalui pembedahan caesarean.”

- Fakta

“Tiada masalah untuk melahirkan anak lebih tiga kali malah saya pernah membaca artikel mengenai wanita Arab Saudi yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean sebanyak lapan kali!

“Cuma ibu perlu tahu risiko akan bertambah-tambah bukan saja bermula dari kali ketiga pembedahan caesarean tetapi bermula dari kelahiran pembedahan caesarean yang pertama lagi.

Antara risikonya ialah tumpah darah, tercedera organ berdekatan seperti usus dan pundi kencing, sakit lepas caesarean kerana penyembuhan luka yang lama di dalam perut. Di kebanyakan hospital swasta, doktor pakar boleh menguruskan ibu bersalin secara pembedahan sehingga lima kali, bergantung kepada keadaan dalam perut yang dapat diperhatikan setiap kali pembedahan sama ada berisiko atau tidak. Tetapi biasanya di hospital kerajaan, doktor akan menasihatkan untuk mengikat selepas tiga kali pembedahan bagi mengelak risiko,” terangnya.

Tambah Dr. Patricia, perlu dilihat jika rahim sudah nipis, jadi ibu akan dinasihatkan merancang dua tahun dan perlu melakukan pembedahan Caesarean awal iaitu seawal 38 minggu tepat takut luka boleh terbuka.

- Mitos

“Ibu yang telah melahirkan anak secara pembedahan caesarean perlu menjarakkan kehamilan selama dua tahun.

- Fakta

“Tiada masalah untuk merancang untuk mengandung kurang dari tempoh dua tahun tetapi jika mahu cuba melahirkan anak secara normal selepas melalui caesarean, perlu menjarakkan dari mengandung sekurang-kurangnya 18 bulan kerana risau risiko yang dipanggil rahim pecah yang tandanya sama seperti sakit bersalin. Bagi yang sudah mengandung sebelum anak itu berusia 18 bulan, doktor akan nasihat pembedahan caesarean sekali lagi,” ujarnya.

- Mitos

“Perlu jaga makan, elak makanan yang menggatalkan seperti telur dan kulit ayam.”

-Fakta

Ujar Dr. Patricia, tiada bukti kajian yang mengatakan pantang larang makanan yang menggatalkan. Yang penting ialah ibu menjaga luka pembedahan dengan baik.

- Mitos

“Tidak boleh bersenam atau membuat kerja berat selama dua tahun.”

- Fakta

Menafikan mitos tersebut, ujar Dr. Patricia, ibu yang melalui pembedahan caesarean hanya tidak boleh bersenam sekurang-kurangnya dalam enam minggu sahaja kerana luka sudah sembuh dalam tempoh tersebut. Saya sendiri melalui pembedahan caesarean sebanyak dua kali dan saya bersenam selepas tempoh enam minggu kerana bersenam amat baik untuk kesihatan. Cuma tidak digalakkan membuat perkara tidak biasa dilakukan contohnya jika anda sebelum ini tidak biasa mengangkat berat, elak daripada melakukannya,” jelasnya.

- Mitos

“Tidak boleh memakai minyak panas, urut dan pakai bengkung selama setahun.”

- Fakta

Terang Dr. Patricia, dia sering ditanya pesakit mengenai mitos ini yang mana sebenarnya minyak panas, urut dan pemakaian bengkung boleh dilakukan selepas tempoh dua minggu cuma perlu elak dari bahagian parut yang hanya boleh diletakkan krim antibiotik diberi doktor.

- Mitos

“Lebih baik bersalin melalui pembedahan jika kandungan lampau tempoh dari bersalin normal.”

- Fakta

Menurut Dr. Patricia, alasan kandungan telah melebihi tarikh kelahiran yang dijangka (EDD) bukan satu alasan kukuh untuk menjalani pembedahan caesarean. Banyak kes yang mana ibu mendesak untuk melahirkan anak secara pembedahan caesarean kerana risau bayi mereka lambat keluar yang boleh menyebabkan komplikasi. Perlu ingat, pengiraan EDD kadang- kala tidak tepat.

“Contohnya mereka yang mengalami masalah hormon seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), kitaran haid mereka tidak tetap membuatkan sukar menentukan tarikh persenyawaan dan usia kandungan.

“Sebab itu amat penting menghadiri pemeriksaan berkala di hujung kelahiran bagi memeriksan sebarang komplikasi yang berkemungkinan berlaku seperti air ketuban berkurangan atau jantung berdegup perlahan, keadaan yang mungkin memerlukan pencetus kelahiran (induce labour) atau pembedahan,” terangnya.

- Mitos

“Sukar memberi susu badan jika melakukan pembedahan caesarean dan ia akan berkurangan.”

- Fakta

Menepis sama sekali dakwaan tersebut, ujar Dr. Patricia, ia bergantung bergantung kepada ibu dan motivasinya sendiri mengenai penyusuan badan.

“Memang benar agak sukar untuk menyusu pada awalnya kerana pembedahan caesarean membuatkan badan tidak kuat dan tidak dapat duduk secara biasa seperti mereka yang melahirkan secara normal. Tetapi ada caranya seperti penyusuan cara football iaitu memegang bayi dari belakang yang tidak memberi tekanan pada abdomen. Malah sistem penyusuan tidak sama sekali terjejas dari pembedahan,” terangnya.

- Mitos

Tiada pengalaman sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi.”

- Fakta

Wanita yang melahirkan anak secara pembedahan juga dapat menikmati pengalaman sentuhan pertama bayi kulit ke kulit yang mana biasanya bayi akan diletakkan pada atas dada ibu yang bersalin untuk ikatan, bayi rasa kehangatan tubuh ibu dan mendengar denyutan jantung ibu supaya dia berasa tenang. Malah turut dibenarkan untuk terus menyusukan anak walaupun di dalam dewan bedah.