Kira-kira seorang dari 20 orang wanita di negara ini menghidapi kanser payudara dalam hayat mereka dan kanser yang berpunca daripada perkembangan sel-sel dalam tisu payudara secara tidak terkawal ini juga merupakan pembunuh utama wanita.

Walaupun pelbagai kempen kesedaran kanser payudara dilakukan sepanjang tahun, namun dilihat jumlah pesakit yang menemui doktor di peringkat yang teruk tidak berkurangan.

Kebanyakan mereka dilihat kurang pengetahuan terhadap penyakit yang menghantui ramai ini kerana ditenggelami oleh kepercayaan dan mitos yang didengari dari kenalan apa lagi dengan maklumat yang dikongsikan di dalam Internet yang tidak betul.

Dek kerana percaya dengan mitos yang tidak tahu mana pucuk pangkalnya, ramai yang memilih untuk melakukan rawatan sendiri dari bertemu dengan pakar.

Menurut Pakar Runding Payudara dan Onkoplastik, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Tan Gie Hooi, kepercayaan dan mitos mengenai kanser payudara perlu dihapuskan dan masyarakat perlu maklum dengan fakta sebenar supaya pesakit dapat rawatan dengan baik.

“Sebagai contoh, ramai yang percaya jika disahkan menghidap kanser payudara, mastektomi (pembedahan membuang payudara) akan terus dilakukan tanpa pilihan lain.

“Ini membuatkan mereka lebih rela hidup dengan kanser atau menjalani rawatan alternatif kerana tidak rela hidup tanpa payudara.

“Mitos itu perlu dibanteras kerana sebenarnya ada pilihan lain terutama bagi mereka yang didiagnosis di peringkat awal seperti tahap kosong yang mana hanya sel kanser dan sekelilingnya sahaja yang akan dibuang.

“Jika mastektomi dilakukan sekalipun, masih ada cara mengembalikan bentuk payudara dengan pembedahan rekonstruktif payudara dengan menggunakan isi bahagian badan seperti punggung ataupun perut,” terangnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Tropicana, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berikut merupakan beberapa mitos yang terkenal mengenai kanser payudara.

Mitos: Deodoran antipeluh meningkatkan risiko kanser payudara. 

Fakta: Apabila mencukur, akan ada luka kecil dan bahan dari deodoran seperti aluminium dikatakan akan memasuki ke badan atau ia dikatakan menyekat liang roma yang menyebabkan peluh dan toksin tidak boleh keluar. 

Pada tahun 2004 pula, paraben ditemui pada tisu kanser payudara yang turut dikaitkan dengan deodoran antipeluh yang mana paraben mengandungi bahan seperti hormon estrogen yang lemah, hormon yang diketahui boleh menyebabkan pertumbuhan sel payudara (normal dan kanser). 

“Setakat ini kajian klinikal yang dilakukan tidak membuktikan ada kaitan kanser payudara dan deodoran antipeluh. Sebenarnya toksin utama di dalam badan kita dikumuh keluar dari hati dan ginjal, bukan mengikut kulit yang mana sedikit sahaja. 

“Malah kajian epidemiologi secara terperinci berkenaan isu ini yang diterbitkan pada tahun 2002 membandingkan 813 wanita dengan kanser payudara dan 793 wanita tidak mempunyai kanser payudara - menunjukkan tidak ada kaitan antara risiko kanser payudara dan penggunaan deodoran antipeluh.

“Berkenaan paraben pula, ia banyak digunakan dalam kehidupan seharian seperti di dalam alat solek dan produk pencuci dan produk penjagaan wajah. Kajian pada 2004 itu  hanya menunjukkan kehadiran paraben pada sampel sel kanser payudara.

“Ia umpama seorang lelaki dilihat berada di tempat kemalangan tetapi tidak bermakna ia penyebab kemalangan. Kalau benar paraben menyebabkan kanser, saya rasa paraben sudah tentu sudah diharamkan sedangkan ia ada pada kebanyakan bahan yang kita gunakan seharian,” ujarnya. 

Namun terangnya, salah faham berkenaan deodoran antipeluh juga timbul apabila sesetengah doktor menyarankan untuk tidak menggunakan deodoran pada hari melakukan mamogram. Ini kerana  deodoran mengandungi aluminium, logam yang akan kelihatan pada mesin imbasan mamogram yang boleh menyebabkan kekeliruan ketika pengesanan dijalankan.

Mitos: Lelaki tidak mendapat kanser payudara.

Fakta: Kanser payudara pada lelaki biasanya dikesan sebagai ketulan keras di bawah puting dan areola. Peratusan kematian pesakit kanser payudara dalam kalangan lelaki lebih tinggi daripada wanita kerana kesedaran yang kurang.

Setiap tahun dianggarkan kira-kira 2,190 lelaki didiagnosis dengan kanser payudara dan 410 mati akibatnya. Walaupun peratusan ini masih kecil, lelaki juga perlu memeriksa diri mereka secara berkala dengan melakukan peperiksaan sendiri payudara semasa mandi dan melaporkan apa-apa perubahan kepada doktor mereka.

Mitos: Hanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga mengalami kanser payudara berisiko menghidapinya.

Fakta: Hanya lima peratus hingga 10 peratus daripada kanser payudara yang dianggap berpunca dari keturunan iaitu disebabkan oleh gen tidak normal yang turun dari ibu bapa kepada anak. 

Sedangkan, 90 peratus penghidup kanser payudara mendapatnya dari faktor risiko lain yang sebahagian besarnya disebabkan oleh gaya hidup dan faktor persekitaran.

Mitos: Mamogram boleh menyebabkan kanser payudara merebak dari radiasi dan tekanan ketika mamogram.

Fakta: Mamogram kekal sebagai standard pengesanan awal kanser payudara. Mampatan payudara semasa mamogram tidak menyebabkan kanser tersebar. Malah pendedahan radiasi dari mamogram amat kecil dan risikonya adalah amat rendah. 

Mitos: Semua benjolan yang ditemui pada payudara bersifat kanser.

Fakta: Hanya sebilangan kecil ketulan payudara yang menjadi kanser. Tetapi jika anda mendapati benjolan berterusan di payudara anda atau perhatikan apa-apa perubahan dalam tisu payudara, ia tidak boleh diabaikan. Walau apapun, setiap kelainan pada payudara perlu diambil serius dengan mendapatkan pemeriksaan pakar.