Amalan senaman bermanfaat bukan sahaja terhadap individu yang sihat, ia turut memberi manafaat terhadap pengurusan penyakit melalui pendekatan senaman dan aktiviti fizikal tertentu dan bersesuaian.

Ruangan terdahulu (Bersama Psikologis 31 Jan dan 5 Februari 2017) mengulas aspek kecelaruan spektrum autisme. Sebagai ulangan, austisme meerupakan satu gangguan perkembangan yang biasanya menjejaskan keupayaan individu untuk berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain dari segi sosial, menghadkan fungsi harian individu, dan juga menunjukkan kecenderungan lakuan berulang seperti rutin yang sangat khusus.

Pengurusan spektrum autisme termasuklah melalui aktiviti atau terapi yang menjurus terhadap pembangunan aspek komunikasi, sosial, dan juga kemahiran kognitif. Selain pendekatan biasa, ada bukti kajian saintifik yang menyokong aktiviti senaman dan fizikal sebagai salah satu terapi tambahan yang berguna untuk individu dengan autisme.

Kepentingan aktiviti fizikal terhadap semua golongan, termasuk mereka yang mengalami autisme. Dalam masyarakat, kekurangan aktiviti fizikal dan senaman adalah faktor utama risiko kegemukan. Dalam kalangan mereka yang mempunyai spektrum autisme, kajian dari Barat menunjukkan 19% sehingga 36% kanak-kanak dengan autisme mempunyai berat badan berlebihan. Umum sedia maklum bahawa berat badan berlebihan boleh meletakkan kanak-kanak berisiko tinggi untuk pelbagai masalah kesihatan.

Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang mengalami spektrum autisme memang tidak dapat dinafikan. Cabaran-cabaran ini secara langsung memberi kesan terhadap keupayaan mereka untuk menjalankan aktiviti harian termasuk aktiviti sukan dan senaman. Masalah kepekaan berlebihan terhadap rangsangan deria dan aktiviti yang melibatkan interaksi sosial seperti sukan berpasukan boleh menjadi sukar bagi individu dengan autisme.

Walau bagaimanapun, jika dilaksanakan dengan betul, aktiviti senaman dan fizikal untuk boleh membantu mengatasi banyak cabaran ini dan meningkatkan kualiti hidup individu dengan autisme.

Manfaat Senaman

Antara dapatan kajian yang ada menunjukkan bahawa aktiviti fizikal telah ditunjukkan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan fungsi motor umum individu dengan autisme. Dalam satu kajian yang melibatkan aktiviti berjalan di atas mesin treadmill dalam kalangan remaja yang mengalami spektrum autisme, dapatan kajian menunjukkan penurunan ketara indeks jisim badan (BMI) dalam kalangan peserta. Selain itu, dapatan kajian ini turut menunjukkan peningkatan umum kecergasan fizikal dalam kalangan peserta kajian.

Dalam satu kajian lain yang melibatkan latihan renang dan hidroterapi selama tiga jam seminggu, dapatan kajian menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tahap kecergasan melalui komponen kecergasan seperti keseimbangan, kelajuan, ketangkasan, kekuatan, fleksibiliti, dan juga aspek daya tahan. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan penurunan ketara dalam tingkah laku stereotaip yang sering dilihat dalam golongan autisme.

Satu mekanisme yang diutarakan oleh penyelidik – penyelidik terbabit di sebalik dapatan kajian ini berkait rapat dengan rutin yang berstruktur dan lakuan berulang yang wujud dalam aktiviti seperti berjalan dan berenang. Tumpuan terhadap aktiviti tersebut berkemungkinan mengalih perhatian mereka daripada perkara yang merangsang lakuan berulang lain yang berkaitan dengan autisme.

Selain meningkatkan tahap kecergasan fizikal, fungsi motor, dan juga tingkah laku individu dengan autisme, kesan positif lain yang diperhatikan adalah manfaat psikologi dan juga sosial. Aktiviti senaman dan fizikal diakui mempunyai manfaat terhadap aspek psikologi individu seperti aspek harga diri, meningkatkan mood dan keceriaan, dan menurunkan emosi negatif.

Bagi individu dengan autisme yang berupaya untuk mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan seperti sukan berpasukan, ini memberikan peluang untuk membina hubungan sosial di kalangan rakan sepasukan dan belajar bagaimana untuk mengenali isyarat sosial yang diperlukan. Namun, bagi mereka yang cenderung kepada aktiviti bersendirian seperti seperti berlari atau berenang, masih boleh mendapat manfaat daripada sifat-sifat positif aktiviti fizikal dan membentuk hubungan sosial dengan terapis atau jurulatih.

Dalam apa jua aktiviti yang dipilih, penglibatan dalam aktiviti senaman dan sukan memberi ruang kepada individu dengan autisme untuk bergaul dan berfungsi dalam konteks sosial. Di sebalik kesan postif aktiviti ini, ia bukanlah pengganti kepada pendekatan sedia ada dalam menguruskan gejala spektrum autisme ini, tetapi sebagai aktiviti tambahan berpotensi untuk memberi manafaat kepada golongan ini.