“Dr. Irma, kalau saya cabut gigi, mata saya boleh jadi buta ke?”. Soalan ini pasti pernah juga bermain di benak minda pembaca semua. Hari ini, saya ingin bercerita tentang topik yang lebih santai. Maklumlah, kita masih dalam bulan raya dan saya pasti topik ini bakal menarik perhatian anda semua. Mitos gigi. Adakah anda salah seorang daripada yang terjerat olehnya?. Insya-Allah, saya akan cuba huraikan sebaik mungkin apakah disebalik mitos tersebut supaya anda tidak lagi berasa gusar mendapatkan rawatan pergigian.

Berbalik kepada soalan adakah mata seseorang boleh menjadi buta dengan mencabut gigi. Prosedur cabutan gigi itu sendiri tidak memberikan risiko seseorang menjadi buta atau hilang penglihatan. Cabutan gigi adalah prosedur yang ringkas dan selamat jika dilakukan di klinik gigi dan doktor pergigian yang berdaftar dan terlatih.

Selalunya selepas gigi dicabut, doktor gigi akan memastikan darah bergumpal dengan elok supaya penyembuhan sempurna soket cabutan dapat berlaku selalunya dalam masa tiga hari hingga seminggu. Walaupun benar setiap saraf di dalam sistem tubuh manusia adalah berhubungan, tetapi tiada hubungan secara terus di antara saraf di dalam gigi dengan saraf di kawasan mata yang boleh mengaitkan cabutan gigi dan kecederaan pada saraf gigi dengan hilang penglihatan.

Sebaliknya, jika berlaku jangkitan kuman pada gigi atas, dan dibiarkan tanpa rawatan atau dicabut, jangkitan itu boleh merebak ke kawasan tisu lembut pipi dan menyebabkan bengkak kawasan pipi dan sekeliling mata hingga membuatkan kelopak mata tidak dapat diangkat oleh pesakit dan menyebabkan pesakit tidak dapat melihat.

Ada juga mitos yang mengatakan rawatan mencabut atau pembedahan mengeluarkan geraham bongsu sebelah bawah akan menyebabkan hilang pendengaran. Ini adalah tidak benar sama sekali. Cabutan atau pembedahan geraham bongsu sama sekali tidak boleh menyebabkan seseorang menjadi pekak atau hilang pendengaran.

Mungkin tindak balas normal selepas pembedahan gigi, pesakit akan merasa sakit di kawasan cabutan, bengkak, tidak selesa dan mungkin susah untuk buka mulut dengan luas buat seketika tetapi tidak menjejas pendengaran seseorang. Jangan risau.

Satu lagi mitos berkaitan cabutan gigi yang perlu saya jelaskan ialah mitos berkumur selalu selepas cabut gigi untuk menghilangkan semua kuman di dalam soket cabutan. Ini adalah tidak benar sama sekali, malah perbuatan berkumur selepas cabut gigi akan mengeluarkan gumpalan darah beku dalam soket yang penting untuk penyembuhan.

Ini akan menyebabkan soket cabutan lambat sembuh dan berisiko mendapat alveolar osteitis atau jangkitan soket cabutan. Alveolar osteitis ini sangat menyakitkan dengan rasa berdenyut di dalam soket hingga boleh mengganggu tidur, tisu sekeliling yang membengkak, panas dan sakit bila disentuh serta nanah dan bau busuk dari soket cabutan. Jika ini berlaku, pesakit haruslah ke klinik gigi semula dan doktor gigi akan mencuci dalam soket dengan saline serta memberi antibiotik untuk merawat jangkitan soket tersebut.

Optimum

Mitos seterusnya ialah mengenai cuci gigi. Ada ramai yang masih percaya, jika ke klinik gigi untuk mencuci gigi (scaling dan polishing), gigi akan menjadi semakin nipis dan menjadi goyang. Anda digalakkan ke klinik gigi enam bulan sekali untuk menjalani pemeriksaan gigi dan mencuci gigi.

Proses mencuci gigi di klinik gigi didefinisikan dengan membuang karang, plak dan lekatan warna pada permukaan gigi di atas dan bawah paras gusi. Proses ini yang dilakukan secara berkala akan memastikan kesihatan gusi, supaya gusi tidak bengkak dan berdarah akibat jangkitan kuman daripada karang gigi dan plak sekali gus mengelakkan gigi menjadi goyang dan longgar akibat penyakit periodontitis.

Penggilapan gigi yang dilakukan oleh doktor gigi menggunakan bahan yang selamat dan sesuai untuk kegunaan pesakit di klinik serta saiz partikel penggilap yang kecil sama sekali tidak akan menipiskan struktur gigi. Mitos yang seterusnya saya kerap dengari daripada pesakit-pesakit yang agak senior.

Petua untuk menguatkan gigi supaya gigi kekal lama di dalam mulut, ketaplah dan gigit gigi sekuat-kuatnya semasa buang air besar dan jika ingin meluruskan gigi berlapis atau tidak tersusun, tekan gigi tersebut dengan jari.

Mungkin pembaca mempunyai soalan yang sama bermain dalam fikiran seperti saya. Kenapa semasa buang air besar? Saya fikir supaya dilakukan setiap hari sebagai rutin dan bila masa rutinnya agak unik, ia lebih mudah diingati.

Dari segi sains pergigian, tabiat mengetap gigi tidak menyumbang kepada ketahanan gigi di dalam mulut malah boleh menyebabkan masalah sendi rahang yang digelar TMJPDS (temporomandibular joint pain disfuction syndrome). Keadaan ini boleh mengakibatkan sendi membengkak dan sakit hingga sukar membuka mulut, bukaan mulut menjadi senget, terdapat bunyi klik dengan pergerakan sendi rahang serta otot pipi menjadi besar akibat terlalu aktif dan bekerja terlalu kuat.

Menekan gigi untuk menggerakkan gigi dengan tujuan meluruskan gigi yang tidak teratur amat tidak disarankan. Jika anda mengalami masalah gigi tidak tersusun, pergilah berjumpa doktor gigi terlatih untuk mendapatkan rawatan ortodontik yang sepatutnya untuk menyusun kembali gigi supaya kemas dan teratur.

Mitos ibu mengandung tidak boleh mendapatkan rawatan pergigian ialah tidak benar sama sekali. Walaupun cabutan gigi perlu dielakkan pada bulan-bulan tertentu kehamilan, ibu mengandung lebih perlu mendapatkan rawatan pergigian seperti tampalan gigi dan cucian gigi untuk memastikan keadaan mulut adalah dalam kesihatan optimum.

Paling penting menjaga gusi agar jauh daripada gingivitis dan periodontitis kerana terdapat kajian yang mengatakan adanya perkaitan di antara penyakit gusi dan kelahiran bayi pramatang.

Terdapat banyak lagi mitos gigi tetapi yang saya ceritakan tadi adalah yang paling kerap di dengari dan saya kira amat kritikal untuk diperbetulkan agar tidak lagi terikut-ikut dengan dogma kuno yang tidak membawa kebaikan malah ada yang boleh memudaratkan.

Hingga di helaian akan datang, senyumlah dari hati, senyuman yang ikhlas wajah pasti berseri.