Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor berkata, usaha akan dike­tuai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL melalui Operasi Ke­selamatan Makanan Bazar Ramadan 2018.

Katanya, operasi pemantauan oleh pegawai inspektor daripada Unit Kualiti Makanan itu akan menganalisa sampel yang diambil bagi mengelak pencemaran empat jenis kuman iaitu e-coli, coliform, salmonella dan staphyloccus aureus.

“Pemeriksaan dilakukan meliputi apek kebersihan, pengendalian, pemakaian apron, penutup kepala serta status suntikan tifoid bagi menjamin makanan yang dijual bersih dan selamat.

“Keputusan ujian sampel akan mengambil masa tiga hari. Tindakan susulan seperti kompaun akan dikenakan kepada penjaja jika makanan yang dijual didapati tercemar,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz sempena pelancaran Program Penguatkuasaan Pe­meriksaan Sanitasi dan Persampelan Makanan Bazar Ramadan DBKL 2018 di Bandar Sri Permaisuri, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Datin Dr. Noor Akma Shabudin.

Menurut Mustafa, pemeriksaan turut melibatkan pematuhan penggunaan pembungkus makanan mudah terurai iaitu jenis bio degradasi.

“Larangan ini adalah inisiatif untuk menguruskan sisa sampah secara mapan.

“Amaran akan dikeluarkan bagi kesalahan pertama dan disusuli kompaun jika kesalahan berulang,” katanya.