Di Malaysia, seorang wanita maut akibat kanser serviks setiap 14 jam dan setiap empat jam pula, seorang wanita disahkan menghidap kanser serviks.

Dianggarkan seramai 2,145 wanita didiagnosis menghidap kanser serviks setiap tahun dan 621 orang meninggal dunia akibat penyakit ini.

Angka ini amat membimbangkan kerana kanser serviks adalah satu-satunya kanser yang dapat dicegah melalui ujian saringan yang teratur.

Berdasarkan laporan tahunan Kementerian Kesihatan (KKM), peratusan wanita yang tampil untuk menjalani ujian Pap Smear pada masa ini adalah sangat rendah iaitu sekitar 18.2 peratus daripada jumlah yang layak.

Antara faktor yang menyumbang kepada kurangnya wanita menjalani ujian ini adalah disebabkan perasaan malu dan takut, kekangan masa dan terpaksa menunggu giliran yang lama.

Kebanyakan wanita juga menganggap ujian saringan kanser serviks adalah menyakitkan, di samping kurang kesedaran tentang kepentingan ujian saringan ini.

Melihatkan kepada faktor-faktor itu, syarikat pembekal teknologi, LaDIY Healthcare Sdn. Bhd. (LaDIY Healthcare) telah mencipta sejenis alat pengesanan awal kanser serviks yang dikenali sebagai Cervisafe Kit, iaitu alat yang sama fungsinya seperti ujian Pap Smear bagi mengesan kehadiran virus HPV.

Pengarah LaDIY Healthcare, Romli Ishak berkata, produk yang dibangunkan pada tahun 2012 itu telah bekerjasama bersama-sama Pusat Sumber dan Pendidikan kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Alat ini dibangunkan berdasarkan teknologi daripada Jepun dan Eropah serta diubah suai supaya sesuai dengan wanita di rantau Asia yang menjadikan proses pengambilan sampel secara sendiri lebih selesa dan praktikal.

“Apa yang penting, penggunaan lebih mudah, ringkas serta tidak menyakitkan selain lebih jimat dan boleh dilakukan sendiri tanpa bantuan doktor atau pakar perubatan menjadikan pengguna tidak akan berasa malu untuk menjalani ujian berkenaan,” katanya selepas majlis pelancaran Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, baru-baru ini.

Jelas Romli, prosedur penggunaan alat tersebut memerlukan pengguna mengambil sedikit sampel daripada serviks dan dihantar ke makmal untuk kajian. Sampel berkenaan mampu bertahan sehingga 14 hari dan keputusan ujian dapat diperoleh dalam jangka masa seminggu sahaja.

“Kit ini mempunyai bentuk yang kecil dengan pemegang dan kelopak getah yang sangat lembut dan tidak menyakitkan. Ujian melibatkan ujian HPV DNA dan ujian Pap yang mampu mengesan sehingga 100 peratus keganjilan pada serviks.

“Sekiranya keputusan ujian mendapati ada virus HPV, rawatan susulan akan segera dijalankan terutama dari segi meningkatkan imunisasi sistem tubuh badan,” katanya.

Tambahnya, Cervisafe merupakan produk tempatan yang telah berjaya dikomersialkan melalui pembiayaan dana Pengkomersialan Hasil R&D (CRDF) MOSTI yang disalurkan melalui Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

 

Kempen kesedaran sasar 700 wanita

 

Pengerusi Puspanita Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datin Seri Noorizan Abu Bakar berkata, Program MSI Seminar Kesedaran Kanser Serviks Bersama Alat Persampelan Sendiri, Cervisafe merupakan anjuran MOSTI melalui agensi bawahnya, MTDC dengan kerjasama LaDIY Healthcare dan CaRE UPM.

“Program tersebut banyak menumpukan kawasan luar bandar bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mencegah kanser dilakukan pada peringkat awal dan memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk melakukan persampelan serviks.

“Seramai 150 orang ahli kelab Puspanita daripada MOSTI dan agensi-agensi bawahnya telah hadir untuk menyertai seminar yang diadakan ini.

“Di samping itu, 85 orang ahli yang layak telah berpeluang untuk menjalani ujian saringan pengambilan sampel serviks menggunakan alat persampelan sendiri iaitu Cervisafe,” katanya.

Menurutnya lagi, program kesedaran seumpama itu telah diadakan di beberapa kawasan seperti Tamparuli, Sabah pada November tahun lalu; Balik Pulau, Pulau Pinang pada (Disember 2016); dan Sri Aman, Sarawak pada Februari 2017.

“Program ini banyak menumpukan kawasan luar bandar bagi memberi kesedaran betapa pentingnya pencegahan kanser serviks dilakukan dari peringkat awal serta memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk melakukan persampelan serviks.

“Dengan adanya program ini, ahli kelab Puspanita MOSTI serta agensi-agensi bawahnya dapat menghebahkan maklumat yang diperoleh serta dapat bertindak sebagai duta dalam mewujudkan kesedaran berkaitan punca dan langkah pencegahan kanser serviks,” ujarnya.

Katanya lagi, MTDC dan MOSTI menyasarkan untuk membuat persampelan ke atas 700 wanita yang layak pada penghujung program ini.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, program berkenaan merupakan projek untuk memberi peluang kepada golongan sasar yang kurang berkemampuan melakukan pensampelan serviks.

“Wanita di bandar dan luar bandar boleh menggunakan kit ini tanpa perlu ke pusat kesihatan, klinik ataupun hospital dengan sampel diuji di makmal berakreditasi dan keputusan diketahui dalam masa seminggu,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah MTDC, Mariamah Daud.

“Dengan adanya kaedah ini, diharap dapat meningkatkan pengesanan kanser serviks pada peringkat awal dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat daripada kanser itu di negara ini,” katanya.