Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kes kusta juga meningkat kepada 214 kes tahun lepas berbanding 206 kes pada 2016 dengan 13 kes baharu melibatkan kanak-kanak di Kelantan, Pahang, Sabah dan Terengganu.

“Peningkatan kes tibi adalah ekoran aktiviti pengesanan dan saringan yang dilakukan. Pada 2017, sejumlah 418,897 golongan berisiko tinggi tibi telah menjalani saringan imbasan dada dan 3,631 kes baharu dikesan serta dirawat.

“Kadar kematian tibi pada 2015 adalah 5.5 setiap 100,000 penduduk telah meningkat kepada 6.8 setiap 100,000 pada 2017,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan dengan tema ‘Ke Arah Malaysia Bebas Tibi dan Kusta: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh’ di Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Azman Abu Bakar.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah; ADUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sha’ari Ngadiman. - UTUSAN ONLINE