Apabila kenderaan membrek secara mengejut atau terlibat dengan perlanggaran, risiko untuk bayi mahu pun kanak-kanak terbabit tercampak keluar kenderaan adalah besar. Mereka mungkin terhantuk di papan pemuka atau tempat duduk hadapan, yang kedua-duanya bukan sahaja boleh menyebabkan risiko kecederaan, bahkan kehilangan nyawa.

Hakikatnya, kesedaran mengenai keselamatan bayi atau anak-anak yang lebih kecil semasa berada di dalam kenderaan ketika perjalanan sering dipandang ringan oleh kebanyakan ibu bapa kerana mereka mempunyai tanggapan yang salah bahawa anak-anak mereka akan selamat atau dilindungi di dalam dakapan ibu bapa sekiranya terjadi kemalangan.

Ramai yang tidak menyedari bahawa dengan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak, mereka dapat menyelamatkan nyawa anak-anak atau mencegah mereka daripada mengalami kecederaan serius.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati bahawa kanak-kanak yang diangkut menggunakan kenderaan persendirian ialah kumpulan utama dan kedua yang menjadi mangsa kemalangan.

Golongan utama merupakan kanak-kanak di bawah kumpulan umur satu hingga empat tahun yang terdiri daripada 43.8 peratus dan golongan kedua berumur lima hingga sembilan tahun yang terdiri daripada 30.2 peratus. 

MIROS melaporkan, seramai 59 bayi berusia kurang setahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan jalan raya pada 2013.

Dalam pada itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat melaporkan, penggunaan kerusi bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan berupaya mengurangkan risiko kematian sehingga 71 peratus untuk bayi dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun. 

Menurut Perunding Pediatrik Rampai Puteri Medical Centre (RPMC), Dr. Fadzlina Abdul Aziz, penggunaan kerusi bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan berupaya mengurangkan risiko kematian. Langkah ini merupakan pencegahan awal menangani sebarang insiden yang mampu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan,” katanya.

Ini kerana penggunaan kerusi kereta tidak akan memudaratkan struktur tulang mereka memandangkan ia dipakai dalam tempoh tidak terlalu lama selain bentuk kerusi kereta yang menepati fizikal golongan berkenaan.

Penggunaan kerusi kereta juga dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang sangat mudah terdedah dengan kecederaan terutama jika kenderaan di brek secara tiba-tiba yang boleh menyebabkan bayi atau kanak-kanak terpelanting walaupun dipangku ibu.

“Pemasangan kerusi kereta juga perlu betul iaitu diletakkan di tempat duduk belakang dan dipasang tali keledar dengan ketat. Bagi kanak-kanak yang baru didedahkan dengan penggunaan kerusi kereta, ada baiknya orang dewasa menemani mereka di belakang agar mereka tidak bosan bersendirian dalam usaha mendidik mereka menggunakan kerusi itu sepanjang perjalanan,” jelasnya.

Penggunaan kerusi kereta merupakan langkah bersiap sedia memandangkan kerajaan juga telah berhasrat untuk menguatkuasakan penggunaan tempat duduk khas bagi kanak-kanak dan bayi di dalam kenderaan yang dijangka dilaksanakan pada 2019.