Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, buat permulaan pihaknya melaksanakan projek perintis tersebut di salah satu kawasan di Selangor dalam masa terdekat.

“Ini merupakan projek perintis untuk mengesan keberkesanan suntikan itu sama ada ia berkesan mencegah penularan wabak denggi di negara ini.

“Ia akan diteruskan sekiranya mampu mengawal demam denggi khususnya di kawasan paling tinggi mencatatkan penyakit tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini berhasrat memperkenalkan suntikan mikroorganisme wolbachia ke dalam telur nyamuk aedes yang dipercayai mampu menghalang penularan virus denggi.

Ini kerana nyamuk aedes terhasil daripada telur yang disuntik itu tidak mempunyai virus denggi dan seterusnya menghalangnya daripada menyebarkan penyakit berkenaan apabila menggigit manusia. - UTUSAN ONLINE