Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kebocoran buah pinggang: Apa perlu anda tahu?

AMAT penting masyarakat ambil tahu keputusan ujian kesihatan seperti ujian air kencing dan darah unt
AMAT penting masyarakat ambil tahu keputusan ujian kesihatan seperti ujian air kencing dan darah untuk mengenalpasti lebih awal punca penyakit. - Gambar hiasan

Secara umum ramai kurang jelas tentang pelbagai penyakit buah pinggang. Penyakit ini boleh dikategorikan dari segi kerosakan struktur buah pinggang seperti batu karang, sista (cysts), ketumbuhan di buah pinggang (kanser) dan kerosakan fungsi buah pinggang.

Kerosakan fungsi buah pinggang boleh dibahagikan kepada kerosakan fungsi penapis dan fungsi pembuangan bahan kumuh. Bagi kerosakan fungsi penapis buah pinggang, doktor biasanya menggunakan istilah kebocoran buah pinggang. Ini bukan ‘bocor’ seperti pecah. Tetapi kebocoran pada ultra-struktur dalaman buah pinggang atau glomerulus.

Buah pinggang adalah organ di bahagian belakang pinggang. Manusia mempunyai dua buah pinggang di kiri dan kanan dan merupakan organ amat penting untuk memastikan kesihatan anda sentiasa baik. Buah pinggang memainkan peranan penting dalam penapisan bahan tertentu daripada badan (seperti elektrolit dan protein), mengawal keasidan darah dan kandungan cecair badan serta membuang bahan kumuhan.

Ia dibahagikan kepada kortex dan medulla. Glomerulus terdapat pada bahagian kortex buah pinggang merupakan struktur utama untuk tugas penapisan. Protein dan sel darah merah tidak sepatutnya dikesan pada ujian air kencing. Jika tugas penapis rosak, maka protein dan darah didapati dalam ujian dipanggil proteinuria dan haematuria.

Masyarakat berpendapat pesakit buah pinggang biasa mengalami tanda kesakitan sekitar kiri atau kanan pinggang. Bagaimanapun, tanda kesakitan walaupun boleh disebabkan oleh batu karang namun kita perlu sedar bahawa majoriti pesakit buah pinggang bocor tidak mempunyai tanda kesakitan pada buah pinggang.

Kebocoran pada buah pinggang digelar dalam istilah perubatan sebagai glomerulonefritis bermaksud radang pada glomerulus. Keradangan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor sama ada radang dalaman pada buah pinggang sendiri (glomerulonefritis primer) atau faktor luaran lain (glomerulonefritis sekunder) seperti diabetes, hipertensi, systemic lupus erythematosus (SLE) dan obesiti.

Pesakit glomerulonefritis akan mengalami tanda-tanda seperti bengkak kaki dan muka, air kencing berbuih (frothy), kencing berdarah, tanda-tanda darah tinggi (hypertension) dan kegagalan pembuangan bahan kumuh badan. Glomerulonefritis boleh dibahagikan kepada sindrom nefrotik dan sindrom nefritic dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Pesakit boleh mengalami tanda-tanda lain seperti sukar bernafas dan kenaikan berat badan mendadak disebabkan kandungan air berlebihan dalam badan, keguguran rambut, sakit sendi, demam berpanjangan, luka di mulut (ulcers), ruam terutamanya di bahagian muka (malar rash). Ada juga penyakit ini dikesan secara rawak contohnya sewaktu saringan kesihatan (medical check-up) tanpa sebarang gejala.

Amat penting untuk masyarakat ambil tahu keputusan ujian kesihatan seperti ujian air kencing dan darah. Kehadiran protein atau darah pada ujian air kencing perlu dipandang serius dan pemeriksaan lanjut diperlukan.

Kebanyakan glomerulonefritis terdiri daripada golongon belia dan umur pertengahan. Ramai kanak-kanak mengalami penyakit ini. Apabila mengalami tanda seperti di atas atau dimaklumkan ujian air kencing atau darah tidak normal, pesakit perlu mendapat rawatan pakar.

Doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut dan mengambil sejarah kesihatan dengan lebih mendalam. Ujian darah, air kencing dan ultrasound buah pinggang perlu dilakukan dengan lebih terperinci. Adalah penting bagi doktor untuk mengenalpasti punca kerosakan penapisan buah pinggang. Doktor akan menyarankan sampel tisu buah pinggang diambil melalui ujian biopsi ginjal dan rawatan selanjutnya boleh dilakukan.

Biospi ginjal adalah proses di mana jarum dimasukkan ke dalam buah pinggang dan sampel tisu buah pinggang dihantar untuk pemeriksaan lanjut di bawah mikroskop selepas melalui proses teliti. Keputusan ujian biopsi boleh didapati seawal 24 jam dalam kes kecemasan. Pesakit yang telah diagnosis glomerulonefritis akan diberikan rawatan bergantung kepada punca kerosakan penapis.

Rawatan melibatkan pelbagai aspek seperti pengurangan pengambilan garam, ubatan mengeluarkan air berlebihan dari badan, sehingga kepada tahap memerlukan ubatan immunosupresi seperti kortikosteroid. Keperluan rawatan ditentukan oleh pakar buah pinggang. Jika penyakit dikesan awal dan rawatan sempurna diberikan, ia dapat mengelakkan kerosakan kekal buah pinggang .

Saya ingin menegaskan pada masyarakat agar jangan mempercayai rawatan alternatif untuk penyakit ini. Testimoni pesakit sembuh selepas rawatan alternatif sukar dipercayai dan tidak disokong bukti saintifik. Hakikatnya memang terdapat beberapa penyakit glomerulonefritis boleh sembuh dengan sendiri walaupun tanpa ubatan atau remisi spontan. Keadaan ini hanya berlaku pada kes tertentu pada kadar amat kecil.

Saya menyarankan masyarakat memandang serius tahap kesihatan buah pinggang. Perbincangan di atas lebih menjurus kepada penyakit glomerulonefritis. Kita perlu jelas dan maklum bahawa pengambilan makanan tambahan sembarangan boleh menyebabkan kerosakan fungsi penapis dan kumuhan buah pinggang.

Amalan hidup sihat amat digalakkan dan mengelakkan pengambilan makanan tambahan tanpa merujuk kepada pakar perubatan yang merawat terlebih dahulu terutama bagi pesakit yang sudah ada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Pastikan anda mendapat rawatan terbaik dan sempurna agar komplikasi buruk dapat dielakkan seperti dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang kekal.

Penulis adalah Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua, Unit Nefrologi dan Dialisis, Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan