Lazimnya, kebanyakan penghidap diabetes akan mengalami gejala kerosakan saraf atau lebih dikenali sebagai painful Diabetic Peripheral Neuropathy (DPN) yang mana dianggarkan kira-kira 60 peratus akan mengalaminya.

Apa yang membimbangkan, secara purata pesakit di negara ini mengambil masa sehingga 1.7 tahun selepas mengalami gejala kesakitan buat kali pertama sebelum berjumpa dan berbincang dengan doktor mengenainya.

Menurut Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, pesakit DPN tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami kerosakan saraf sehinggalah diperiksa melalui saringan pemeriksaan kesihatan.

“DPN adalah disebabkan oleh kerosakan saraf akibat daripada kencing manis yang kronik dan kandungan gula dalam darah yang tinggi. Apabila saraf mulai rosak, ianya tidak mampu untuk membawa mesej antara otak, saraf tunjang dan seluruh badan.

“Kesakitan akibat DPN boleh berlaku secara spontan seperti rasa kebas, mencucuk, renjatan, panas, kesakitan yang berdenyut-denyut, dan kepedihan malah ada penghidap yang pesakit juga akan mengalami lemah otot serta tidak dapat menyeimbangkan badan.

“Biasanya rasa sakit menjadi teruk pada waktu malam sehingga mengganggu waktu tidur mereka. Lama-kelamaan DPN akan memberi kemudaratan kepada pesakit itu sendiri yang boleh menyukarkan pesakit untuk berjalan, melakukan tugas seharian, dan mengganggu emosi pesakit sehingga menyebabkan depresi dan kebimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian terhadap persepsi pesakit dan doktor terhadap kesakitan akibat DPN oleh Pfizer di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, kajian menunjukkan 50 peratus daripada pesakit diabetes tidak membincangkan mengenai kesakitan pada saraf anggota badan mereka atau gejala yang dialami kerana menganggap ia adalah gejala ringan yang akan berlaku kepada semua penghidap diabetes.

Jelas Dr. Mafauzy lagi, ada juga pesakit yang memberi alasan ubat tahan sakit boleh membantu mengurangkan kesakitan dan ada juga yang memilih untuk bersikap ego, tidak mahu menunjukkan mereka seorang pesakit yang lemah, manja dan mengada-ada.

Ujarnya, kajian oleh Pfizer kepada 500 pesakit dan 500 pegawai perubatan di lima negara termasuk Malaysia, Hong Kong, Filipina, Taiwan dan Thailand menunjukkan, 68 peratus tidak tahu bahawa kencing manis boleh menyebabkan DPN.

Selain itu, 74 peratus pula bimbang ia akan melibatkan kos rawatan tambahan jika mereka mendapatkan rawatan, dan 55 peratus lagi berkata, tempoh yang terhad untuk berbincang dengan doktor menghalang mereka untuk membincangkan mengenai kesakitan kronik yang dialami.

“Cadangan Amalan Klinikal Persatuan Diabetes Amerika (PDA) 2015 menasihatkan supaya semua pesakit seharusnya menjalani pemeriksaan untuk mengesan DPN bermula daripada diagnosis kencing manis jenis 2 dan lima tahun selepas diagnosis kencing manis jenis 1.

“Pemeriksaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya secara tahunan selepas seseorang itu disahkan menghidap kencing manis.

“Pesakit sering kali menyalah tafsir bahawa gejala DPN sebagai tanda-tanda penuaan sedangkan kesakitan tersebut berkemungkinan menunjukkan gejala DPN yang boleh menjadi petunjuk kepada komplikasi yang lebih serius seperti penyakit kaki diabetes,” katanya.

Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Pesakit yang mempunyai gejala-gejala Diabetic Peripheral Neuropathy (DPN) agar segera berjumpa dengan doktor.

Dr. Mafauzy Mohamed berkata, pesakit hanya perlu mematuhi pelan rawatan yang rapi termasuk mengekalkan tahap glukosa darah yang sihat, mengambil ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit jenis nociceptif dan ubat antiradang dan ubat tahan sakit jenis antineuropatik seperti antiepileptik dan antidepresi.

Ujarnya, pesakit juga perlu mengamalkan pengurusan stres untuk mencegah kesakitan daripada menjadi lebih teruk.

“Membuat susulan tetap dengan doktor untuk membincangkan tentang kesakitan yang mereka alami dari semasa ke semasa juga penting untuk memastikan dapat mengurangkan gejala dan memperbaiki kualiti kehidupan keseluruhan pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Perubatan Serantau Pfizer Innivative Health, Dr. Salil Prakash Shinde berkata, peranan pegawai perubatan am terutama pakar endokrinologi penting memandangkan mereka merupakan pihak pertama yang dihubungi pesakit diabetes.

“Umumnya, pesakit di Asia mempunyai tahap kesedaran yang rendah terhadap DPN. Komunikasi yang lebih baik antara pesakit dan doktor akan memupuk persekitaran yang membolehkan pesakit berbincang secara terbuka tentang kesakitan mereka.

“Kajian yang dilakukan membuktikan bahawa hanya 43 peratus sahaja pegawai perubatan yang bertindak proaktif melakukan pemeriksaan untuk DPN kepada pesakit diabetes. Mereka juga mengakui pesakit yang seharusnya memulakan perbualan mengenai kesakitan mereka.

“Kami berharap adanya usaha antara kedua-dua pihak ke arah penambahbaikan terhadap diagnosis yang berterusan dan pengurusan DPN kepada pesakit mereka,” katanya.