Tidak ramai yang mahu menjalani ujian pendengaran, malah menyifatkan telinga tidak akan berlaku sebarang masalah sehinggalah berlaku sebaliknya.

Menurut tinjau selidik Nessa (penyedia penyelesaian penjagaan pendengaran) yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lepas, masalah pendengaran paling biasa yang dialami orang ramai ialah telinga berdengung (35 peratus), kesukaran untuk mendengar (25 peratus) dan selebihnya tidak pasti akan gejala-gejala yang dialami mereka.

Ketua Pegawai Operasi Nessa, Helder Araujo menjelaskan, ramai antara mereka yang mengesyaki atau diberitahu berlaku risiko kehilangan pendengaran, tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

Kebanyakannya menggunakan kaedah sendiri seperti mengorek telinga dengan putik kapas atau menggunakan kaedah tradisional termasuk terapi lilin telinga, yang boleh memudaratkan telinga.

“Hampir 70 peratus rakyat Malaysia belum pernah menjalani ujian pendengaran. Malah, kebanyakan salah sangka bahawa ujian telinga dan pendengaran adalah sama.

“Jika mereka berasa mempunyai masalah pendengaran, 60 peratus akan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), manakala selebihnya akan mendapatkan rawatan dan pemeriksaan daripada doktor atau pengamal perubatan am.

“Sesetengahnya pula cuba mendapatkan alat bantuan pendengaran dari kedai atau menggunakan kaedah rawatan tradisional atau merawat sendiri.

“Hakikatnya, cara paling berkesan adalah pergi berjumpa ahli audiologi yang khusus dalam pengurusan kehilangan pendengaran.

“Ahli audiologi ialah profesional terlatih yang mengukur atau mendiagnos isu-isu pendengaran atau kehilangan pendengaran dan layak untuk memasangkan alat bantuan pendengaran,” tegasnya.

Kata Araujo, kehilangan pendengaran adalah sebahagian daripada proses semula jadi dalam hidup apabila usia semakin meningkat.

Justeru, adalah perlu menjalani pemeriksaan pendengaran setiap tahun, seperti mana kita menjalani pemeriksaan kesihatan badan dan mata.

Jelasnya, apabila kehilangan pendengaran disahkan, penyelesaiannya adalah dengan memakai alat bantuan pendengaran, biarpun ramai yang keberatan untuk mendapatkan alat berkenaan.

“Mengikut penyelidikan, 90 peratus daripada orang yang kehilangan pendengaran di Malaysia tidak menggunakan alat bantuan pendengaran walaupun masalah ini boleh membawa kesan fizikal dan psikologi ke atas kehidupan mereka.

“Usaha untuk memulihkan pendengaran boleh terkesan akibat tanggapan kurang tepat mengenai alat bantuan pendengaran yang dianggap mahal, atau kebimbangan akan dilabel sebagai ‘tua’ dan ‘kurang upaya.

“Sesetengahnya pernah mencuba alat bantuan pendengaran tetapi tidak mendapat kesan yang memuaskan. Ada pula yang mungkin telah membeli amplifier (penguat bunyi) yang boleh memburukkan lagi keadaan atau tidak tahu di mana untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran yang baik dan sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pada peringkat global, seramai 360 juta orang (5.3 peratus) penduduk dunia) mengalami kehilangan pendengaran yang memudaratkan.

Dianggarkan bahawa lebih 25 juta orang di Asia Tenggara mengalami kehilangan pendengaran ‘yang boleh menjejaskan keupayaan’.

Menurut Araujo, seorang daripada tiga orang menunjukkan tanda-tanda kehilangan pendengaran apabila mencapai usia 65 tahun, malah, 30 peratus daripada penduduk Malaysia berusia melebihi 60 tahun telah mengalami kehilangan pendengaran.

Malah, gaya hidup moden yang sentiasa mendedahkan kita kepada pencemaran bunyi menyebabkan usia kehilangan pendengaran semakin menurun.

“Pada 2015, WHO juga melaporkan bahawa 1.1 bilion remaja dan orang dewasa muda berdepan dengan risiko kehilangan pendengaran disebabkan tahap bunyi yang tidak selamat akibat pendedahan terlalu lama kepada peralatan audio peribadi, kelab, konsert dan tempat kerja yang bising.

“Di Malaysia seramai 1,307 kanak-kanak sekolah rendah yang dipilih secara rambang telah diperiksa untuk mengesan kehilangan pendengaran dan gangguan bahagian tengah telinga,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga mendedahkan, pendengaran yang baik penting untuk menjamin perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.

Jika kehilangan pendengaran tidak dikesan semasa lahir, boleh mengakibatkan kelewatan pembelajaran bahasa dan perkembangan sosial.

Justeru, intervensi awal banyak membantu menambah baik prognosis kanak-kanak untuk mencapai pertumbuhan dan perkembangan sosial, emosi dan bahasa secara normal.

Pusat khidmat pendengaran

Sempena Hari Pendengaran Sedunia yang jatuh pada tanggal 3 Mac setiap tahun, Nessa telah membuka pusat khidmat pendengaran pertamanya yang menawarkan perkhidmatan penuh di Sunway Nexis, Petaling Jaya, Selangor, untuk membolehkan orang ramai mendapat pemeriksaan pendengaran.

Syarikat tersebut telah juga membuka kemudahan ujian pendengaran bersekutu di sembilan lokasi berlainan di seluruh Malaysia.

Helder Araujo berkata, dengan pembukaan pusat khidmat tersebut, orang ramai yang mengalami masalah pendengaran boleh mendapatkan bantuan di pusat khidmat seluas 279 meter persegi (3,000 kaki persegi) dengan tiga bilik ujian pendengaran yang dikendali oleh 10 ahli audiologi.

Katanya, setiap ahli audiologi ini mampu memberikan khidmat nasihat, menjalankan ujian dan membuat diagnosis jenis dan tahap kehilangan pendengaran secara profesional.

Mereka juga berkelayakan untuk menguruskan masalah kehilangan pendengaran dengan mengesyorkan penyelesaian penjagaan yang tepat dan memberikan preskripsi alat bantuan yang berkesan.

“Kami harap pusat ini akan menawarkan persekitaran yang sesuai untuk orang ramai menerima khidmat rundingan, pemeriksaan dan penyelesaian pendengaran,” katanya.

Sembilan kemudahan khidmat pendengaran lain juga dibuka menerusi kerjasama dengan kedai optik di sembilan lokasi di seluruh negara. Antaranya, di Alor Setar, Kuala Perlis, Butterworth, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru dan Kota Bahru.