Tanpa kita sedari, rasa simpati dan rasa belas itu hanya difokuskan kepada ‘derita’ empunya badan yang menanggungnya sahaja tanpa memikirkan kemelut emosi yang terpaksa dilalui oleh si penjaga pesakit atau caregiver.

Oleh itu, kedua-dua pihak pesakit dan penjaga memerlukan kekuatan ketika berdepan dengan kemelut kanser. Banyak kemelut emosi dan fizikal yang mereka rasai tidak dapat dilihat secara zahir. Penjaga pesakit turut berdepan dengan keadaan yang mengundang stres, rasa bersalah dalam diri, takut, murung, kelesuan dan sebagainya.

Bagi memberikan bimbingan dan mengurangkan bebanan masyarakat yang mempunyai ahli keluarga terbabit kanser, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) menganjurkan program Inisiatif Pengurusan Kanser Malaysia 2018 (MCCI), dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Grand Dorsett Hotel, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Program sehari ini bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mengenali lebih dekat cara pengurusan kanser paling berkesan merangkumi pencegahan, diagnosis dan rawatan bagi memberikan sokongan dari segi fizikal, mental dan emosi pesakit.

Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyampaikan ucapan mengenai pengurusan kanser di peringkat kebangsaan. Dengan lebih 350 peserta, sidang kemuncak ini turut dihadiri pakar kesihatan, tokoh korporat, pesakit kanser serta orang ramai yang menunjukkan minat mengenai pengurusan kanser terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga penghidap kanser.

“Secara global, kanser ialah punca kedua kematian serta mempunyai kaitan ke atas kematian 8.8 juta pada tahun 2015. Hampir satu dalam enam kematian berlaku di dunia disebabkan oleh kanser. Di Malaysia, kanser menyumbang kepada 13.56 peratus daripada semua kematian yang berlaku di hospital-hospital kerajaan pada 2015.

“Pada 2016, kematian yang berkaitan dengan kanser menyumbang kepada 26.7 peratus dan punca utama kematian berlaku di hospital swasta seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, rawatan segera dan pengesanan awal akan meningkatkan peluang untuk menyembuhkan kanser. Malangnya, kelewatan dalam penentangan biasanya terdapat antara pesakit-pesakit kanser. Hampir 60 peratus daripada kanser di Malaysia dikesan lewat (peringkat III dan IV). Ini adalah kerana kebanyakan pesakit itu tidak datang awal untuk pemeriksaan. Mengesan kanser peringkat lewat menyebabkan kos rawatan lebih tinggi dan mengurangkan peluang untuk sembuh. Ramai yang sama ada jahil atau sengaja mengabaikan tanda-tanda dan gejala awal tumor, manakala kemudahan perubatan dan kesihatan moden mungkin tempat pilihan pertama untuk mendapatkan bantuan.

“30 hinga 50 peratus kanser boleh dicegah melalui cara hidup sihat dan kira-kira satu pertiga (1/3) daripada kematian akibat kanser sebenarnya disebabkan oleh pemakanan, berat badan yang tinggi, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah, kurang aktiviti fizikal, pengambilan rokok dan alkohol. Pengambilan rokok merupakan faktor risiko yang paling penting untuk kanser dan bertanggungjawab untuk kira-kira 22 peratus daripada kematian akibat kanser,” jelasnya.

Beliau menambah, setiap orang perlu memahami bahawa kesihatan bukanlah tanggungjawab semata-mata oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini merupakan tanggungjawab bersama oleh semua pihak. Program pendidikan kesihatan yang berterusan berkaitan dengan kanser, bermula dengan pencegahan dan pemulihan mesti dilakukan dalam satu usaha yang bersepadu.

Turut diadakan dialog antara pakar kesihatan Malaysia dan antarabangsa yang membincangkan mengenai amalan penjagaan kesihatan untuk pesakit kanser.

Menurut Pegawai Eksekutif SJMC Dr. Vasuhi Murugiah, program ini diharap dapat menggalakkan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik untuk kebaikan penjagaan kanser.

“MCCI 2018 bukan hanya satu platform untuk berkongsi perkembangan terbaru dalam teknologi rawatan kanser, diagnosis dan rawatan dengan sokongan. Ia juga menggalakkan pemeriksaan awal, pencegahan, memberi kesedaran tentang kepentingan sistem sokongan selepas kanser dan kepentingan penglibatan keluarga dalam kontinum rawatan kanser,” katanya.

Program ini diharap dapat diadakan berterusan apatah lagi ia turut menyediakan platform bagi pihak berke­pentingan dalam sektor penjagaan kesihatan dari segi rawatan, teknologi dan diagnosis.