Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohd. Azhari Yakub berkata, daripada jumlah ber­kenaan, sebanyak 97 peratus pembedahan dikategorikan sebagai berjaya tanpa komplikasi serius.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 5,000 pesakit juga telah menerima rawatan kardiologi di IJN dengan diselia pakar-pakar tempatan.

“Pada tahun ini pula, IJN bercadang untuk menggunakan beberapa teknologi baharu khususnya melibatkan pembedahan penukaran injap,” katanya ketika ditemui selepas Program Inisiatif Sosial Korporat IJN di sini semalam.

Sementara itu, tiada yang lebih menggembirakan seorang suri rumah dari Batu Maung di sini selain daripada melihat anaknya yang menghadapi masalah kerosakan jantung kongenital kembali sembuh.

Sejak empat tahun lalu, IJN di ibu negara bagaikan rumah kedua bagi Maziah Abdul Wahab, 29, yang menemani anaknya, Nur Qistina Shahirah Erwan mendapat rawatan.

Menurutnya, Nur Qistina Shahirah yang kini berusia lima tahun dikesan menghidap masalah jantung ketika usianya baru menjangkau setahun dan mendapat rawatan awal di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Akibat penyakit itu, paras oksigen dalam darahnya menjadi tidak normal menyebabkan doktor di HPP merujuk anak saya ke IJN.

“Sepanjang tempoh empat tahun itu, anak saya telah menjalani beberapa siri pembedahan di IJN dengan kos mencecah RM100,000.

“Syukurlah kerana hampir keseluruhan bil ditanggung oleh Yayasan IJN kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu lori dan sukar untuk kami membayar jumlah itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, Nur Qistina Shahirah dijangka menjalani satu lagi pembedahan pada Mei ini dan dia gembira kerana dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya sudah hampir pulih.