Influenza atau flu sering disalah- ertikan sebagai selesema biasa, bahkan ramai yang masih keliru antara kedua-duanya. 

Hakikatnya flu jauh lebih buruk dan berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa serta boleh menyebabkan kematian.

Lazimnya, influenza sering dikaitkan dengan penyakit musim sejuk di negara Barat. 

Ketika musim sejuk, jumlah kes dan kematian akan meningkat tetapi di Malaysia, penyakit ini tidak bermusim dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Tahukah anda gaya hidup dan karier  mempengaruhi tahap kesihatan dan vaksinasi ialah  sebahagian daripada langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan anda dapat menikmati hidup dengan lebih sihat dan berkualiti?

Bagi anda yang bekerja dengan orang awam, bekerja beramai-ramai dalam satu ruang yang tertutup lapan jam sehari, menghidap penyakit kronik yang stabil dan kerap tertekan atau stres di tempat kerja, vaksinasi influenza ialah salah satu perlindungan yang baik untuk mengelakkan komplikasi jangkitan kuman ini. 

Menurut Doktor Kesihatan Pekerjaan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Nurul ‘Afiah Mohd Isa (gambar kecil), influenza ialah sejenis kuman virus yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi yang parah termasuk kematian dan wabak jangkitan ini boleh merebak dengan mudah terutamanya di tempat yang sesak dan ramai orang seperti pejabat, ruang awam, pasar malam, pasar raya dan institusi seperti sekolah,
kolej dan universiti.

“Jangkitan influenza sering disalah tafsir seperti jangkitan selsema batuk biasa. Jangkitan influenza atau lebih dikenali sebagai jangkitan flu, tanda-tandanya berbeza daripada selesema  batuk biasa kerana kadar rebakan yang sangat cepat dari saat kontak dengan kuman atau orang lain yang menghidap flu. 

Demam yang tinggi disertai sakit-sakit badan yang sangat teruk, loya, rasa seram sejuk dan cuma kadang-kadang disertai dengan selesema, batuk dan sakit tekak. 

“Berbeza dengan selesema batuk, simptom yang utama dan jelas ialah demam yang tidak ketara dan selesema berhingus dan sakit tekak yang teruk. Bagi pesakit kronik seperti asma, darah tinggi, jantung dan kencing manis, respon terhadap jangkitan flu boleh menyebabkan komplikasi paru-paru dan seterusnya membawa kepada kematian,” katanya.

Jika kita seorang dewasa sihat yang mendapat jangkitan flu dan pulang ke rumah dan  ada kanak-kanak serta orang tua, jangkitan ini boleh merebak secara tidak langsung dan  menyebabkan wabak. 

Dalam pada itu, sekiranya anda tergolong dakam kalangan pelancong atau kerap bekerja luar kawasan, pengambilan vaksin influenza termasuk beberapa vaksin lain adalah amat digalakkan untuk mencegah jangkitan kuman kerana terdedah di tempat awam dan tempat baru.