DR. NORITA SHAMSUDIN
DR. NORITA SHAMSUDIN

“Sejak Mac tahun ini aktiviti EV71 semakin meningkat berbanding tahun lalu. E71 boleh menyebabkan komplikasi termasuk dehidrasi, encephalitis (radang otak), kegagalan jantung dan sistem pernafasan, dan paling teruk boleh menyebabkan kematian. Setakat ini tiada kematian disebabkan EV71,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Sehingga 14 Julai lalu, sejumlah 381 premis terpaksa ditutup melibatkan 179 taska, 181 tadika atau prasekolah dan 21 buah sekolah di seluruh negara.

Menurut Dr. Norita, sesiapa sahaja berisiko mendapat jangkitan HFMD tetapi kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mudah mendapat jangkitan tetapi jangkitan boleh berulang disebabkan virus yang berbeza.

“HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat disusuli kurang selera makan. Dalam masa sehari dua, luka atau ulcer di mulut akan muncul. Ada kanak-kanak mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang mungkin melepuh.

“Ruam boleh terjadi kepada lutut, siku atau bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan. Kekeringan badan atau dehidrasi mudah terjadi disebabkan sebilangan kanak-kanak menjadi kurang selera makan dan minum akibat sakit mulut,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua kanak-kanak dijangkiti HFMD mengalami tanda dan gelaja yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit, atau luka pada mulut. Manakala yang lain mungkin dijangkiti tanpa sebarang tanda atau gejala.

HFMD adalah penyakit berjangkit di mana virus penyebab boleh ditemui di hidung, tekak, cecair lepuhan kulit dan pada najis pesakit. Virus tersebar daripada pesakit kepada orang lain biasanya kanak-kanak melalui:

* batuk atau bersin.

* hubungan rapat seperti teman bermain.
* berlaku sentuhan dengan cecair lepuhan atau najis pesakit.

* perkongsian peralatan makanan seperti sudu, garpu atau peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan berus gigi.
* bersentuhan dengan permukaan atau barang yang telah dijangkiti virus seperti pemegang pintu tandas.


 Pesakit boleh menyebarkan virus dalam tempoh seminggu sebelum menunjukkan sebarang gejala dan tanda HFMD kerana tempoh pendam adalah tiga hingga tujuh hari atau purata lima hari.

“KKM mempunyai kemudahan melakukan ujian ke atas virus penyakit ini namun HFMD didiagnosis melalui gejala dan tanda klinikal penyakit. Ujian makmal biasanya tidak diperlukan kecuali jika berlaku wabak iaitu terdapat lebih daripada dua kes dalam satu lokaliti dalam tempoh lima hari.

“Diagnosis biasanya berdasarkan sejarah pesakit, ruam dan demam bagi membezakannya dengan ruam dan chicken pox,” kata Dr. Norita. Menurut beliau, rawatan bagi penyakit HFMD adalah simptomatik atau berdasarkan tanda atau gejala. Tiada rawatan atau ubat khusus untuk membunuh virus berkenaan. Rawatan diberikan bagi merendahkan suhu badan akibat demam dan kesakitan pada mulut. 
 “Amat penting kanak-kanak yang dijangkiti diberikan minum secara berterusan seperti ais atau aiskrim bagi meredakan kesakitan dan mengelakkan dehidrasi. Pastikan kanak-kanak makan dengan memberikan mereka apa sahaja makanan kegemaran,” katanya. 
Biasanya HFMD menyebabkan jangkitan ringan dan akan sembuh sendiri dalam tempoh tujuh hingga 10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk.

Kanak-kanak dengan jangkitan ringan boleh dirawat di rumah:

* Pesakit perlu mendapat rehat cukup.
* Diberi rawatan perubatan untuk mengurangkan demam dan sakit mulut.
* Galakkan pesakit meminum air dan mengambil makanan dan minuman kegemaran.
* Buat pemantauan rapi bagi mengenal pasti tanda dan gejala serius seperti kekeringan atau dehidrasi dan keletihan teruk.

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan akan sembuh sendiri. Sebahagian pesakit HFMD yang dijangkiti virus EV71 boleh mengalami komplikasi seperti radang otak dan jantung.

Apabila penyakit ini membawa kesan kepada otak atau jantung, kanak-kanak yang dijangkiti biasanya akan menunjukkan gejala seperti:

* Sakit kepala, pening dan ketegangan leher

* Cepat marah, mengantuk dan keliru

* Sawan atau pergerakan tidak normal

* Pernafasan cepat atau menjadi pucat

* Lesu

Dr. Norita menasihatkan ibu bapa pesakit agar sentiasa memantau anak-anak yang mengalami HFMD bagi mendapatkan rawatan segera. Jika kanak-kanak mempunyai tanda-tanda berkenaan mereka perlu dibawa ke hospital berdekatan dan dimasukkan ke wad. Sehingga kini tiada ubat atau vaksin boleh mencegah HFMD.

langkah awal

Orang awam perlu mengambil langkah pencegahan seperti:

* Basuh tangan terutama selepas menyentuh pesakit HFMD atau barangan digunakan pesakit.

* elak bersentuhan langsung dengan pesakit.

* elak berkongsi peralatan makanan atau barangan peribadi dengan pesakit HFMD.

* jangan menyentuh tubuh seperti mata, hidung dan mulut selepas menyentuh pesakit HFMD.

* pastikan kebersihan sekitar rumah atau tempat kerja dengan mencuci atau menyahkuman permukaan lantai dan tandas.

Biasanya wabak HFMD berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah.

Jika anak mempunyai tanda-tanda atau gejala HFMD, ibu bapa boleh memastikan kanak-kanak lain tidak dijangkiti dengan melakukan beberapa langkah mudah seperti:

* Tingkatkan kesedaran dan keupayaan mengenal pasti tanda-tanda HFMD pada kanak-kanak kurang sihat seperti tanda lepuh pada tangan, kaki dan mulut.

* Maklumkan pusat jagaan, tadika atau sekolah anak-anak.

* Pastikan anak berada di rumah dan tidak dibawa ke tempat awam, sekolah, taska, tadika, pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

* Amalkan budaya cuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas tukar lampin atau sentuh dan merawat lepuh.

* Pastikan peralatan makanan dan barangan peribadi anak sentiasa bersih dan tidak dikongsi dengan kanak-kanak lain.

* Bersihkan permainan anak, lantai dan tandas menggunakan larutan klorin atau sabun dan air bersih.

* Pastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuang ke dalam tong sampah bertutup.

Bagi menghalang penyebaran virus HFMD, langkah-langkah tersebut perlu diambil oleh pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika atau prasekolah:

* Sentiasa pastikan kebersihan premis terutama peralatan digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja kerusi serta permainan kanak-kanak.

* Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda HFMD. Kanak-kanak yang mempunyai gejala dinasihatkan tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan.

* Sentiasa amalkan kebersihan diri termasuk cuci tangan setiap kali menguruskan setiap seorang kanak-kanak.

* Bersihkan dan pastikan kebersihan tandas menggunakan larutan campuran klorin.

* Pastikan lampin pakai buang dibuang dalam tong sampah bertutup.

* Laporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tujuan kawalan dan pencegahan.