kerana selepas bersalin, mereka akan mengalami keletihan, sedikit pendarahan dan memerlukan rehat untuk sembuh serta pulih seperti sediakala.

Adalah menjadi kebiasaan bagi ibu-ibu mengalami pendarahan selepas bersalin. Darah itu mungkin keluar daripada rahim ataupun koyakan perineum (bahagian antara dubur dan alat sulit) yang terjadi semasa proses kelahiran itu sendiri.

Namun, terdapat beberapa perkara yang boleh berlaku di luar jangkaan dan wanita yang baru melahirkan harus peka terutama dalam beberapa jam selepas bersalin yang dinamakan pendarahan hematoma.

Hematoma diistilahkan sebagai penggumpalan darah atau darah beku di bahagian vulva (bahagian paling luar sistem reproduksi wanita).

Terdapat pelbagai jenis hematoma namun lazimnya, ramai ibu-ibu yang menderita hematoma postpartum iaitu pendarahan akibat kecederaan semasa proses kelahiran secara episiotomi, iaitu kaedah memotong sedikit bahagian perineum ataupun kecederaan pembuluh darah di sekitar tisu menyebabkan terjadinya kantung yang dipenuhi darah, membengkak selepas bersalin secara normal.

Menurut Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr. Tee Swi Peng, hematoma vulva boleh berlaku sama ada secara spontan ataupun akibat proses penyembuhan luka episiotomi yang tidak pulih.

Darah daripada kapilari darah, berkumpul di ruang tertutup yang tiada ruang terbuka untuk mengalirkannya keluar.

Darah yang terkumpul menyebabkan kawasan menjadi bengkak dengan kesakitan yang teruk.

“Hematoma vulva berisiko lebih kerap terjadi sekiranya menggunakan peralatan seperti forceps untuk membantu ibu bersalin.

“Sebenarnya, kaedah episiotomi digunakan bagi mengurangkan risiko terjadinya hematoma vulva dengan meningkatkan saiz pembukaan vagina.

“Tetapi pendarahan hematoma boleh juga berlaku selepas episiotomi dilakukan jika saluran darah tidak disambung dengan baik semasa prosedur tersebut,” katanya.

Dr. Swi Peng berkata, gejala hematoma berlaku apabila terjadinya pembengkakkan di satu sisi vagina, yang terasa tegang namun lembut apabila disentuh. Darah yang terkumpul boleh menyebabkan bengkak itu berwarna ungu atau kehitaman.

Pesakit jelasnya, akan mengadu kesakitan yang teruk, terutama jika cuba untuk duduk dan kesakitan ini tidak boleh diatasi dengan ubat penahan sakit.

Ada juga yang mengalami kesukaran untuk membuang air kecil sekiranya tekanan dan pembengkakkan berlaku pada uretra (saluran air kencing) dan juga memberi tekanan kepada rektum.

Pendarahan boleh menjadi sangat teruk yang menyebabkan pesakit mengalami kejutan hemorrhagic (pendarahan berlebihan).

“Rawatan yang akan diberikan kepada pesakit adalah menerusi ubat titis secara intravetrous dan penggunaan ubat-ubatan lain supaya pesakit tidak mengalami kejutan.

“Pembedahan dilakukan pada titik paling tinggi dari bahagian yang memgalami hematoma. Ia kemudian ditutup untuk mengelak pembekuan darah dari terus merebak.

“Kapilasi pendarahan yang dikenal pasti akan dijahit. Luka jahitan akan ditutup menggunakan lapisan jahitan berlainan. Aliran atau laluan akan dibuat bagi membolehkan darah mengalir keluar,” katanya.

Dr. Swi Peng turut menasihati semua ibu-ibu agar lebih peka dengan kesihatan diri, selepas bersalin.

Katanya, berbincanglah dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan.

“Jangan lupa maklumkan pasangan atau ahli keluarga terdekat sekiranya merasa sakit atau terdapat perubahan fisiologi pada ibu agar rawatan segera dapat dilakukan oleh doktor,” katanya yang memberitahu pendarahan ini boleh memudaratkan pesakit sekiranya dibiarkan berlarutan.

Contoh kes

Pesakit berusia 35 tahun dan bersalin secara normal. Bayi sihat. Selepas satu jam pesakit mengalami kesakitan di bahagian alat sulit. Tidak boleh membuang air kecil dan tidak boleh berjalan atau duduk. Pendarahan berlaku pada tuala wanita tetapi tidak terlalu banyak. Doktor membuat pemeriksaan dan mendapati bengkak pada salah satu perineum. Pembedahan kecil dilakukan di bilik pembedahan dan darah beku dapat dibuang dan perineorrhaphy (sumber pendarahan) dijahit semula. Pesakit tidak lagi merasa sakit dan boleh berjalan serta membuang air kecil seperti biasa. Pesakit dibenarkan untuk pulang hari berikutnya.