Menurut National Institute of Health, walaupun tanda-tanda dan simptomnya pelbagai, hampir semua pesakit mempunyai kulit wajah yang gelap dan bertompok-tompok semasa zaman awal kanak-kanak.

Semakin pesakit membesar, tompok-tompok berkenaan semakin membesar dan bertambah bilangannya dan banyak individu dewasa mempunyai tumor benign yang boleh menyebabkan kecacatan seperti mana yang berlaku kepada Hamon.

Transplan pertama pada wajah Hamon dijalankan pada 2010 telah berjaya sehinggalah pada tahun 2015 apabila beliau jatuh sakit dan rawatan yang diberikan tidak berinteraksi baik dengan ubat anti penolakan yang diambil.

Pada November 2017, tubuhnya terus menolak tisu wajah yang didermakan. Penolakan adalah risiko berbahaya untuk semua jenis transplan kerana sistem imun akan mengenal pasti organ asing sebagai musuh yang sangat berbahaya.

Oleh sebab isu penolakan, pesakit yang menerima organ transplan akan dibekalkan dengan ubat anti penolakan immunosuppressants bertujuan untuk ‘menipu’ tubuh dengan mengatakan organ yang didermakan adalah organ sendiri.

Pakar bedah yang merawat Hamon, Dr. Lantieri berkata, tisu wajah Hamon yang rosak akibat penolakan perlu dibuang dan meninggalkan wajah Harmon seperti mayat hidup menyebabkannya tidak boleh bercakap serta sukar berkomunikasi kecuali dengan menulis.

Nasib menyebelahi Hamon apabila awal tahun 2018, beliau telah mendapat penderma kedua yang sesuai menjadikannya beliau individu pertama di dunia menjalani dua kali pembedahan transplan wajah, pertama daripada penderma berusia 63 tahun dan kali ini penderma berusia 22 tahun.

“Saya berusia 43 tahun dan penderma berusia 22 tahun. Saya menjadi 20 tahun lebih muda,” kata Hamon semasa temu bual televisyen di Perancis.

Sementara itu, Dr. Lantieri berkata, Hamon seorang lelaki yang tabah semasa menjalani pembedahan transplan yang kedua walaupun banyak prosedur pembedahan dan risiko yang perlu dihadapi.

Menurut Dr. Lantieri, pembedahan transplan wajah sama seperti transplan organ lain. Lebih banyak yang berlaku semasa transplan wajah pesakit kerana lebih banyak risiko penolakan kronik diramalkan boleh berlaku selain jangka hayat transplan masih belum diketahui.

“Semuanya bergantung kepada keadaan, ada pesakit yang lebih bertuah dengan jangka hayat wajah mereka lebih panjang tetapi ada pesakit yang mengalami penolakan selepas beberapa tahun dan perlu digantikan,” katanya.