Datuk Amir Hamzah Mohd Khalid misalnya adalah antara warga emas dalam lingkungan umur 65 tahun dan ke atas yang membentuk populasi warga emas di Malaysia. Seperti rakan-rakan beliau, pada usia 75 tahun, Amir mengalami cabaran atau masalah kesihatan yang sama, hasil daripada proses penuaan.

“Kehidupan ini sukar apabila anda sudah meningkat usia dan ia menjadi lebih sukar apabila anda seorang duda dan tinggal bersendirian” ujar Amir.

Amir menghidap degenarasi makula basah berkait usia yang merupakan penyakit degenarasi mata kronik. Kehidupannya berubah beberapa tahun yang lalu selepas menjalani pembedahan katarak dan mula mengalami ‘penglihatan berombak’ beberapa bulan kemudian.

“Saya berasa buntu kerana menghadapi masalah penglihatan apabila hidup bersendirian,” luahnya.

Amir berkongsi pengalamannya sebagai warga tua dalam satu forum bertajuk, Populasi Warga Tua Malaysia dan Nilai Inovasi Kesihatan yang antara lain mengupas cabaran sosial dan ekonomi yang dihadapi dalam kalangan warga tua di negara ini.

Forum anjuran Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) dengan kerjasama Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd., (Bayer) dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Jeyaindran Tan Sri Sinnadurai

Acara kemuncak bagi forum ini ialah perbincangan panel melibatkan pakar-pakar kesihatan yang dipengerusikan oleh Prof. Nathan Vytialingam.

Sesi itu turut membincangkan mengenai isu bagaimana penuaan menjadi punca peningkatan jumlah penyakit kronik serta bagaimana penerapan inovasi kesihatan memainkan peranan penting bagi menangani corak yang membimbangkan ini.

Mengulas mengenai kes Amir, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Fariza Ngah berkata, penglihatan Amir beransur pulih apabila bantuan yang betul diberikan dan dalam tempoh beberapa bulan, beliau berjaya pulih dan bersemangat bagi meneruskan kehidupan tanpa membebankan orang lain.

Tambah Dr. Nor Fariza, simptom awal bagi penyakit seperti wet age-related macular degeneration (wAMD) dan edema makular diabetes boleh membawa kehilangan penglihatan secara beransur-ansur.

Penyakit-penyakit ini merupakan antara punca utama bagi pengurangan penglihatan kritikal dalam kalangan golongan pekerja. Bagaimanapun, teknologi baru serta ubatan inovatif boleh membawa kepada pengesanan awal, memberikan hasil dan kualiti hidup yang lebih bagus kepada pesakit warga emas.

Dalam pada itu, Dr. Jeyaindran berkata, meskipun ramalan Persatuan Kesihatan Sedunia bahawa jumlah kematian tahunan disebabkan penyakit kronik di Asia Tenggara dan Pasifik Barat akan terus menjadi yang tertinggi di dunia, dengan peningkatan sebanyak 13 juta dan 14 juta pada tahun 2030, terdapat juga pelbagai sebab untuk terus optimis mengenai penuaan.

“Sebagai contoh, penduduk wanita di Malaysia yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-65 pada 2017 dianggarkan akan meneruskan kehidupan untuk 17.11 tahun lagi manakala peratus rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun dijangka mencapai 23.6 peratus pada tahun 2050.

“Jangkaan hayat yang lebih tinggi ini berdasarkan kemajuan kesihatan yang diperoleh pada hari ini jika dibandingkan dengan kemudahan yang ada pada 50 tahun lalu.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini memang mampu hidup lebih lama,” katanya.

Jangka hayat

Tambah beliau, walaupun penduduk negara ini mencatatkan kadar jangka hayat yang lebih baik, terdapat banyak lagi ruang pembaikan yang boleh dilakukan bagi menangani masalah peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan kanser.

Penyakit-penyakit tersebut menyebabkan orang ramai menjalani proses penuaan kurang sihat serta hidup lebih lama dalam keadaan sakit dan menghalang warga tua untuk menjalani kehidupan yang aktif dan produktif.

“KKM mengiktiraf inovasi kesihatan yang mampu menambah baik kualiti kehidupan bagi mereka yang hidup dengan penyakit kronik. Menurut Dr. Jeyaindran lagi, pihaknya melakukan yang terbaik bagi meningkatkan kesedaran serta faedah inovasi kesihatan.

“Ini termasuklah menambah baik proses penghantaran ubatan, penjagaan pesakit serta keberkesanan serta menggalakkan kerjasama orang ramai dan pihak swasta dalam membangunkan teknologi kesihatan bagi memenuhi keperluan populasi warga tua,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden MHAS, Prof. Dr. Philip George memberitahu, tidak seperti kebanyakan negara maju lain, keluarga menjadi sumber sokongan utama bagi warga tua di Malaysia.

“Penuaan yang sihat bukanlah hidup tanpa penyakit, seseorang mampu jatuh sakit pada bila-bila masa tetapi penuaan yang sihat ialah sebuah kehidupan membolehkan seseorang itu meneruskan aktiviti harian dan boleh melakukan apa yang dianggap bernilai bagi setiap manusia,’’ jelasnya.

Pada era sekarang, menurut beliau, warga tua mempunyai jangka hayat yang lebih panjang, lebih berdaya tahan dan tidak lemah.

“Walaupun penyelidikan serta sistem penjagaan kini lebih maju dalam mengenal pasti serta mengubati penyakit, adalah penting mengekalkan keupayaan fungsi seperti pergerakan, kognitif serta imunisasi yang baik ketika melalui proses penuaan,” katanya.