Buat beberapa ketika, mungkin antara gejala yang bakal dihadapi wanita menopaus seperti hangat memerah (hot flushes), peluh berlebihan, sukar untuk tidur dan keletihan. Seterusnya vagina akan berasa kering dan mungkin sakit ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan.

Menopaus juga dikaitkan dengan bermulanya ‘kedatangan’ penyakit yang selama ini mungkin tidak terfikir di fikiran, terutama yang sebelum ini tidak begitu mengendahkan aspek kesihatan mereka.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kecil Menopaus Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr. D. Premitha, kisah-kisah keadaan wanita yang bakal atau semasa menopaus menjadikan golongan Hawa gerun untuk menempuhi fasa tersebut.

Mereka melabelkan fasa menopaus satu keadaan yang menyeksakan kerana apabila berada pada peringkat itu, mereka akan menjadi tua dan uzur.

Wanita menopaus juga dikatakan mudah marah, kerap mengantuk, sering berasa gatal, berpeluh, kembung, dipengaruhi mood yang tidak menentu dan pelupa.

Beliau memberitahu, sebuah kajian tempatan mendapati bahawa purata umur bagi menopaus adalah kira-kira 50.7 tahun.

Ini bermakna purata golongan wanita yang akan menopaus bermula dari umur 50 tahun sehingga ke 55 tahun dan anggaran 10 tahun sebelum itu ialah peringkat fasa pramenopaus.

“Kita mahu mengingatkan bahawa menopaus seharusnya difahami dan diterima dengan hati yang terbuka oleh semua orang, kerana bagaimanapun keadaan wanita itu, dia akan berhadapan dengannya.

“Sepatutnya apa yang lebih penting ialah cara bagaimana kita berhadapan dengan keadaan itu dan seterusnya meneruskan kehidupan dengan cara yang berkualiti, di samping sokongan insan-insan tersayang, termasuk suami dan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laman sesawang menopaus kebangsaan yang pertama khas oleh Persatuan OGSM, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Presiden OGSM, Dr. J. Thaneemalai.

Menopaus

Jelas Dr. Premitha, menjelang tahun 2030, dianggarkan kira-kira 15 peratus penduduk di negara ini akan berumur lebih 60 tahun.

Dengan jangka hayat yang lebih panjang, seseorang wanita itu mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menghabiskan satu pertiga hayatnya dalam keadaan menopaus.

“Sebagai contoh, pada 2011 jangka hayat lelaki ialah 72.1 tahun dan wanita 76.8 tahun, manakala pada 2017, golongan lelaki ialah 72.7, manakala wanita ialah 77.4 tahun.

“Kesan yang bakal dihidapi oleh wanita dalam jangka panjang akibat menopaus membawa peningkatan abdominal lemak, peningkatan darah tinggi, peningkatan kolesterol, paras gula yang tinggi, peningkatan kanser, kemurungan, hilang daya ketumpatan tulang dan osteoporosis.

“Diakibatkan ini, perlunya golongan wanita menjaga tahap kesihatan mereka dari awal dan segera berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami pelbagai masalah kesihatan dan kemurungan.

“Apa yang penting hidup dengan cara yang sihat, berkualiti, ceria dan menerima keadaan sebagai sesuatu yang baru dan menyeronokkan,” tuturnya.

Memandangkan itu, kesedaran mengenai isu-isu kesihatan sama ada ketika hampir, semasa dan selepas menopaus boleh membantu seseorang wanita itu untuk bersedia berhadapan dengan fasa ini.

Misalnya risiko menghidap penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan osteoporosis, serta keretakan tulang, darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Katanya, setiap bulan Oktober terdapat pelbagai kempen kesedaran mengenai kanser payudara, malangnya tiada satu pun kempen kesedaran 
mengenai menopaus diuar-uarkan kepada masyarakat, sedangkan pada bulan yang sama juga sambutan bagi Hari Menopaus Sedunia.

Ini menimbulkan kesedaran kepada pihaknya dan OGSM untuk mewujudkan laman sesawang menopaus kebangsaan untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Laman sesawang bantu wanita menopaus

Bersempena dengan Hari Menopaus Sedunia 2017, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) telah melancarkan Menopause Facts (Fakta Menopaus), sebuah laman sesawang khas bagi memperkasa wanita-wanita di negara ini yang baru memulakan perjalanan fasa menopaus.

Pertama seumpamanya di Malaysia, laman sesawang komprehensif ini menawarkan pemahaman yang mendalam mengenai menopaus, termasuk maklumat terkini mengenai tanda-tanda awal, di samping pilihan-pilihan rawatan dan terapi.

Pemilihan kandungan yang relevan kepada negara ini sentiasa diberi penekanan dan dikawal rapi sepanjang penggunaan laman web ini, data statistik dan fakta yang dipaparkan di laman web ini dipastikan kesahihannya berdasarkan kajian-kajian klinikal di Malaysia melalui sumber-sumber dipercayai.

Pengguna juga boleh mencapai kandungan video dan podcast yang telah dibangunkan khas oleh individu-individu penting dari Malaysia dan serata dunia, serta menggunakan pelbagai perkakas atau talian bagi menilai risiko mereka dalam menghidap kanser payudara, penyakit jantung, strok dan keretakan tulang.

Pengguna boleh melayari www.menopausefacts.org bagi capaian yang jitu dan sebenar mengenai menopaus.