Kecelaruan pembelajaran pernah diulas dalam ruangan Bersama Psikologi sebelum ini. Bagi mereka yang mengalami gangguan ini, ia memberi kesan fungsi terhadap keupayaan mereka untuk belajar. Secara amnya, individu dengan gangguan pembelajaran cenderung untuk menunjukkan keupayaan pembelajaran yang terkebawah berbanding kanak-kanak yang tidak mengalami gangguan tersebut.

Selain kecelaruan pembelajaran, satu lagi kecelaruan psikologi dengan permulaan gejala diperingkat umur kanak-kanak adalah kecelaruan spektrum autisme. Ciri-ciri kecelaruan ini boleh dikesan antara umur dua hingga tiga tahun.

Kecelaruan spektrum autisme atau autisme merupakan istilah yang digunapakai bagi menerangkan kumpulan kecelaruan yang mempunyai beberapa ciri-ciri yang sama dan mempunyai perkaitan dengan tahap perkembangan otak individu. Kecelaruan ini mempunyai ciri-ciri, dalam darjah yang berbeza-beza, dalam aspek interaksi sosial, komunikasi lisan dan bukan lisan dan tingkah laku berulang-ulang.

Kecelaruan ini memberi kesan terhadap pelbagai aspek perkembangan seseorang individu. Ini termasuk aspek penting dalam kehidupan seperti keupayaan untuk beinteraksi dan membentuk hubungan sosial dengan baik. Antara jenis kecelaruan khusus dalam kumpulan autisme ini adalah seperti kecelaruann Rett dan kecelaruan Asperger. Antara lain, spektrum memberi kesan terhadap keupayaan intelektual, kesukaran dalam koordinasi motor dan perhatian dan isu-isu kesihatan fizikal seperti tidur dan gangguan gastrousus.

Setiap individu cenderung untuk menunjukkan reaksi yang berbeza terhadap gejala kecelaruan ini dari aspek fungsi hidup. Bagi sesetengah individu, mereka masih dapat menjalani fungsi hidup disebalik kecelaruan yang dialami.

Di Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika melaporkan kira-kira 1 dalam 68 kanak-kanak Amerika mengalami autisme. Kajian juga menunjukkan bahawa autisme adalah empat hingga lima kali lebih biasa dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Dianggarkan 1 daripada 42 kanak-kanak lelaki dan 1 dalam 189 kanak-kanak perempuan disahkan menghidap autisme di Amerika Syarikat. Di Malaysia, dianggarkan 1 dari 625 kanak-kanak mengalami gejala autisme. Namun, disebabkan ketiadaan kajian berskala besar, berkemungkinan bilangan mereka yang mengalami gangguan ini adalah lebih besar.

Ciri-ciri Spektrum Autisme

Menurut buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, gangguan autistik mempunyai beberapa ciri-ciri ciri utama.

Pertama, individu yang mengalami gejala autisme cenderung untuk menunjukkan gangguan terhadap aspek interaksi sosial yang membataskan aktiviti sosial mereka. Kesan gangguan interaksi ini berbeza dari satu individu dengan yang lain bergantung kepada tahap umur mereka.

Aspek gangguan ini boleh dilihat dalam kepelbagaian aspek komunikasi sama ada lisan mahupun bukan lisan. Bagi aspek bukan lisan, gejala yang boleh dilihat adalah seperti mengelak dari bertentangan mata semasa berinteraksi, ekspressi wajah yang tidak mengikut norma komunikasi, dan juga postur dan gestur yang biasa ditunjukkan apabila seseorang berkomunikasi. Bagi aspek lisan, mereka cenderung untuk mengalami kesukaran untuk memilih perkataan bersesuaian, kesukaran memulakan dan juga mengekalkan perbualan.

Selain aspek komunikasi, kanak-kanak autistik juga menunjukkan minat yang rendah dalam membentuk hubungan sosial sesama rakan sebaya. Individu dengan ciri spektrum autisme menunjukkan minat yang rendah dalam berkongsi perasaan, minat dan pencapaian dengan orang lain.

Ciri utama lain autistisme adalah lakuan berulang dan berutin. Mereka cenderung untuk menunjukkan minat yang mendalam terhadap sesuatu aktiviti, pergerakan atau objek. Mereka juga cenderung untuk mempunyai rutin tersendiri dan perubahan dalam rutin tersebut cenderung untuk mencetuskan reaksi negatif.

Di sebalik cabaran yang ada, individu dengan spektrum autisme mempunyai keunikan dan kebolehan tersendiri. Antara kelebihan mereka seperti tahap kecerdasan minda melebihi purata biasa. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika contohnya melaporkan bahawa 46 peratus kanak-kanak spektrum autisme mempunyai tahap keupayaan intelek melebihi tahap biasa. Mereka juga berkebolehan untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara secara terperinci dan mampu mengingati maklumat untuk jangka masa yang panjang. Kanak kanak autisme juga cenderung untuk cemerlang dalam subjek seperti matematik, sains, muzik, atau seni.

Autisme merupakan satu gangguan terhadap perkembangan diri individu. Bagi membantu individu dengan autisme untuk menjalani hidup yang lebih sejahtera, kesedaran masyarakat terhadap ciri-ciri kecelaruan ini adalah penting bagi memastikan mereka yang mengalaminya dapat dibantu.