Dominans estrogen atau hormon estrogen berlebihan merupakan keadaan apabila paras estrogen seseorang berada di tahap yang berlebihan berbanding hormon lain, secara spesifik hormon progesteron yang sering dikatakan hormon lelaki. 

Boleh berlaku ketika zaman reproduktif, pra-putus haid dan putus haid, orang ramai tidak kira wanita atau pun lelaki juga boleh mengalami keadaan paras estrogen yang rendah dan masih mengalami simptom estrogen berlebihan jika badan tidak mengeluarkan jumlah progesteron yang mencukupi.

Antara gejala lain yang boleh dihidapi akibat penguasan hormon tersebut seperti berat badan berlebihan, keguguran rambut, cepat letih, sukar hamil, jerawat, sentiasa lapar, sindrom ovari polisistik (PCOS) dan sebagainya.

Sering tidak dipandang penting masalah paras hormon estrogen berlebihan kerana merasakan ia adalah masalah biasa yang dihidapi wanita, hakikatnya, masalah tersebut boleh menjejaskan hidup atas simptom-simptom yang turut mampu membawa maut.

Menurut Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar, hormon estrogen adalah amat penting untuk reproduktif tetapi ia memudaratkan apabila parasnya lebih dari sepatutnya.

“Estrogen secara khususnya berperanan kepada peranan wanita dari segi kitaran haid, mengandung, penyusuan ibu dan lain-lain dan bagi lelaki pula ia kurang menonjol. Namun ia akan menunjukkan kesan apabila berusia 40 tahun ke atas.

“Hormon estrogen perlu seimbang dengan hormon progesteron. JIka tidak seimbang, muncul pelbagai simptom seperti berat badan berlebihan, letih, lesu, keguguran rambut, berjerawat, sukar mengandung,kurang libido dan lain-lain.

“Namun, yang membimbangkan sebenarnya, selain simptom tersebut, pelbagai penyakit boleh muncul seperti endometriosis, fibroid, sis, gangguan tiroid, sindrom polisistik ovari dan ketumbuhan di payudara.

“Paling merisaukan ialah kesan jangka masa panjang yang boleh membawa maut seperti kanser payudara, kanser ovari, kanser uterus dan kanser prostat akibat daripada estrogen berlebihan.

“Risiko lain termasuk sakit jantung, strok dan alzheimer untuk lelaki. Sebab itu kita lihat semakin ramai lelaki yang mengalami serangan jantung diusia muda,” terangnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Primanora, Taman Tun Dr. Ismail, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, hormon estrogen berlebihan bukan disebabkan baka atau keturunan semata-mata tetapi lebih kepada gaya hidup serta amalan pemakanan seseorang. Walaupun begitu, terangnya, ia boleh dikawal dengan menukar gaya hidup yang lebih sihat dan menjauhi pencemaran alam.