Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ekzema tangan undang masalah

 2

Masalah kulit tangan pecah, kering, gatal dan berair memang akan menyebabkan rasa tidak selesa. Tangan terasa pedih apabila melakukan kerja-kerja rumah dan memasak, malah boleh menyebabkan kurang keyakinan diri apabila kulit tapak tangan kasar serta menggerutu.

Terdapat banyak sebab dan punca mengapa kulit tangan akan menjadi bermasalah, tetapi yang paling lazim ialah berhubung dengan ekzema tangan.

Menurut Pakar Dermatologi, Jabatan Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kartini Farah Rahim, dianggarkan seramai lima hingga 10 peratus penduduk negara ini mengalami masalah ini.

“Tangan kita adalah organ yang paling selalu terdedah kepada air, sabun dan bahan-bahan kimia yang lain.

“Contohnya, bagi suri rumah, penggunaan pencuci baju, pencuci pinggan mangkuk, menyentuh air dan bahan-bahan mentah seperti makanan laut dan bawang putih, akan melembut serta merosakkan lapisan kulit atas yang akhirnya menyebabkan kerengsaan dan iritasi kulit.

“Penggunaan sabun mandi dan syampu yang mengandungi kandungan SLS (sodium lauryl \sulphate), bahan antibakteria dan bahan-bahan pencuci yang tinggi juga boleh menghakis kulit.

“Pekerja binaan bangunan dan operator mesin juga boleh mendapat masalah yang sama jika menyentuh simen dan tidak menggunakan perlindungan tangan seperti sarung tangan yang sesuai.

“Pekerja salun rambut selalu juga mendapat masalah ini kerana terdedah kepada pewarna rambut, syampu dan bahan kimia untuk rambut,” katanya.

Tambah Dr. Kartini Farah, antara mereka yang paling kerap mendapat ekzema tangan adalah wanita dalam lingkungan 20 hingga 30-an yang berhadapan dengan pekerjaan paling banyak menggunakan bahan pencuci (cleaner).

Pekerja-pekerja dalam sektor kesihatan juga boleh mendapat alahan kepada sarung tangan getah dan iritasi kepada antiseptik tangan yang mengandungi alkohol, chlorhexidine dan pelbagai bahan lain.

“Selalunya, masalah ekzema tangan ini berlaku sebaik sahaja kita mula bekerja dan terpaksa berhadapan dengan bahan-bahan cucian berasid yang mengakibatkan kulit tangan tidak tahan, tetapi kanak-kanak dan orang dewasa juga mendapat masalah yang sama jika mereka pada asalnya memang sudah mengalami masalah ekzema ini sebagai contoh ekzema atopik.

“Sekiranya mereka berhadapan dengan masalah ekzema atopik, apabila mereka menyentuh, menggunakan atau memakai sesuatu bahan yang boleh menyebabkan iritasi atau reaksi alahan, kulit tangan mereka akan bertindak balas dengan keadaan ini,” katanya.

Tambah Dr. Kartini Farah, seseorang itu akan mengetahui bahawa dia mengalami ekzema tangan apabila sebaik sahaja menyentuh, menggunakan dan memakai sesuatu bahan.

Kulit tangan akan mula berasa kering, tegang dan gatal. Selepas itu kulit akan kelihatan bintik-bintik merah yang gatal atau bersisik dan kelihatan pecah.

“Kadangkala tumbuh belon-belon (gelembung) air yang kecil-kecil yang terasa gatal dan lazimnya berada di tepi-tepi jari.

“Apabila ia digaru, kulit akan mula merasa pedih dan berair, dan kadangkala bernanah jika ada infeksi bakteria,” jelasnya.

Elak terkena bahan pencetus ekzema 

Individu yang berhadapan dengan masalah ekzema tangan, cara rawatan yang efektif mesti bermula dengan mengenal pasti dan mengelak daripada terkena bahan-bahan pencetus ekzema.

Dr. Kartini Farah berkata, jika masalah itu bermula di tempat seseorang itu bekerja, pengambilan cuti beberapa hari untuk berehat adalah satu cara pemantauan kulit.

Katanya, apabila tangan sudah mendapat ekzema, semua jenis sabun dan pencuci boleh merengsakan penyakit itu, jadi tangan perlu ‘direhatkan’ sementara ia pulih.

Pemakaian sarung tangan yang sesuai, kering dan bersih boleh menolong menghalang bahan-bahan pencetus dari pada terkena kulit semula.

Kulit yang alahan kepada getah mesti menggunakan sarung tangan bebas getah atau lateks seperti yang diperbuat daripada vinyl atau nitrile.

“Pakar kulit akan mendapatkan keterangan daripada pesakit mengenai semua jenis dan bahan-bahan yang berkemungkinan menyebabkan ekzema, termasuk aktiviti masa lapang, bersukan dan memasak.

“Kadangkala pencetusnya tidak dapat dikenal pasti, dan dalam hal ini, doktor pakar perlu melakukan kerja-kerja pemeriksaan dan penyiasatan.

“Bagi mengesahkan adanya bahan-bahan alergi, doktor akan membuat ujian patch iaitu bahan-bahan yang berkemungkin alahan (allergen) akan dilekatkan dalam kuantiti yang kecil di belakang badan. Tindak balas kulit seperti kemerahan atau bintik-bintik akan timbul jika pesakit mempunyai alahan kepada bahan tersebut selepas beberapa hari.

“Bagi rawatan yang khusus, doktor akan memberi ubat sapu pelembap untuk mempercepat proses pembaik pulih tangan, dan sedikit krim atau salap steroid. Penderita ekzema tangan kadangkala tidak boleh langsung membuat apa-apa pekerjaan kerana sakit kulit yang amat tegang dan gatal, lebih-lebih lagi jika tumbuh belon-belon (gelembung) yang berair.

“Keadaan ini boleh dilegakan dengan merendamkan tangan ke dalam air garam yang lembut selama 30 minit beberapa kali sehari atau menggunakan air garam natrium suling yang dipasarkan di mana-mana farmasi (0.9 peratus NACl/sodium chloride) atau ubat kristal potasium permanganate yang dilarutkan dengan lembut (sehingga berwarna merah jambu),” katanya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan